Nama Dr. Wahbah Ibn Mustafa al-Zuhaili amat popular dalam kalangan penuntut ilmu dan para ulama. Banyak buku karangan beliau menjadi rujukan ummah seperti kitab Feqh Islami wa adilatuh, kitab usul fiqh dan lain-lain. Menariknya ulama kelahiran Syria pada 1932 ini mendapat pengiktirafan negara kita dengan menganugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah pada 2008.

Penganugerahan ini sudah tentu kerana sumbangan beliau yang amat besar dalam perkembangan ilmu kepada dunia Islam. Beliau mula mendalami ilmu agama di Syria dengan beberapa tokoh seperti Sheikh Hasan Habanakah dan Sheikh Soleh Farfur.

Seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir dan berguru dengan beberapa guru yang masyhur seperti Sheikh al-Azhar sendiri Syeikh Mahmud Syaltut, Sheikh Muhamad Abu Zahrah. Tesis ijazah doktor falsafah (PhD) beliau bertajuk ‘Kesan peperangan mengikut fiqh Islam: kajian perbandingan’ pada 1963 mendapat pangkat terbaik.

Dr. Wahbah Zuhaili pernah berkhidmat menabur ilmu di Syria dan beberapa negara lain seperti Libya, Sudan, Qatar, Kuwait dan Pakistan. Beliau juga menganggotai badan akademik pengkajian ilmu di peringkat antarabangsa seperti Majlis Diraja pengkajian ketamadunan Islam di Jordan, pakar rujuk di Majlis Fiqh Islam di Jeddah, Majlis Fiqh di Mekah, Majlis Fiqh Islam di India, Amerika Syarikat dan Sudan.

Allah SWT telah menganugerahkan Sheikh Wahbah ilmu yang luas, cepat pergerakan dan seorang yang mempunyai keazaman yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Akhlak beliau terpuji, bermuamalah dengan baik, lembut budi pekerti, senang didekati dan senang berbual dengan orang ramai.

Beliau seorang yang merendah diri dengan kemuliaan, tidak pernah membanggakan dirinya dengan ilmunya yang luas dan sentiasa memenuhi hajat yang memerlukan. Ingatan Sheikh Wahbah amat kuat. Beliau hadir dalam sesi pembentangan tesis sebagai penilai tanpa membawa apa-apa nota. Luar biasanya, beliau boleh memberi ulasan dan menunjukkan kesalahan pelajar di mana-mana halaman dengan tepat.

Mengenai kejayaan beliau dalam mengurus kehidupan iaitu menghasilkan banyak buku yang tinggi nilai ilmunya adalah berpandukan firman Allah yang bermaksud: bertakwalah kamu kepada Allah dengan melaksanakan perintahnya maka Allah mengajar kamu apa yang baik untuk kamu di dunia dan akhirat. Beliau menjelaskan: “Sesungguhnya rahsia kejayaan dalam hidup adalah baiknya hubungan dengan Allah”.

Gurunya, Sheikh Sadiq Habanakah berkata, “Sesungguhnya Sheikh Wahbah Zuhaili semoga Allah memeliharanya dan menambah kepadanya kebaikan apa yang telah diberi kepadanya – baginya dalam hatiku kedudukan yang tinggi begitulah yang sepatutnya dengan sebab sifat tawaduknya yang tidak menghina, sifat istiqamahnya tanpa diseleweng, sentiasa mencari ilmu yang bermanfaat dan beramal soleh, kitab-kitab yang ditulisnya amat baik dan berada di tempat yang memberi banyak manfaat”.

Tafsir al-Munir

Dalam mukadimah tafsirnya, beliau menyatakan kaedah yang digunakan adalah gabungan mathur dan ma’qul yang sahih. Manhaj mathur melalui sunnah, pendapat salaf dan ma’qul pula berpegang dengan usul yang dipersetujui iaitu meneliti kehendak kalimah dan kehendak ayat berdalilkan juga kepada asbab nuzul, pendapat imam mujtahidin, ahli hadis dan orang berilmu yang dipercayai.

Manhaj beliau juga ialah membezakan pendapat ahli tafsir dalam pelbagai kitab tafsir dengan melihat kepada maqasid syariah, rahsia syariat dan tujuannya.

Objektif Tafsir al-Munir adalah mengikat umat Islam dengan al-Quran dengan ikatan yang kuat berasas kepada ilmu. Ini kerana al-Quran adalah perlembagaan hidup manusia.

Oleh sebab itu, beliau tidak menghurai ayat berkaitan hukum dengan makna yang sempit tetapi cuba huraikan hukum dan rumuskannya berdasar ayat al-Quran dengan skop yang luas. Ia juga meliputi akidah, akhlak, manhaj kehidupan, perundangan dan manfaat yang boleh dipetik daripada ayat al-Quran sama ada secara jelas atau tersirat.

Al-Quran menyeru manusia kepada akidah yang betul, menghidupkan hati dan akal, menjauhkan manusia daripada kejahilan, khurafat dan mengelak manusia daripada ditekan perasaan waham.

Sebaliknya al-Quran memerdekakan manusia daripada perhambaan kepada selain Allah, memerdekakan daripada tunduk kepada hawa nafsu dan memerdekakan daripada bersikap meterialistik melampau yang membunuh perasaan kemanusiaan yang baik.

Dalam menulis Tafsir al-Munir, beliau tidak taksub kepada mazhab tertentu atau kefahaman lama. Sebaliknya, lebih berpandu kepada kebenaran yang dibawa oleh al-Quran dengan mentafsir mengikut tata bahasa arab yang betul bersama pendapat yang telah dibuat oleh para ulamak dengan amanah, ketelitian dan menjauhi taksub atau ekstrem.

Begitu juga amat menjauhi menggunakan ayat al-Quran untuk menyokong sebahagian pendapat atau menyokong ittijah sebahagian kumpulan Islam atau cuba secara paksa menafsir ayat untuk menyokong sesuatu teori sains moden atau yang lama. Ini kerana kedudukan al-Quran yang amat tinggi dan lebih mulia daripada semua pendapat mazhab dan kumpulan.

Al-Quran bukan kitab sains atau kitab ilmu biasa seperti ilmu angkasa, ilmu perubatan dan seumpamanya meskipun semua ilmu itu terdapat dalam al-Quran secara tersirat. Ia adalah kitab hidayah kepunyaan Allah, kitab yang mensyariatkan agama, cahaya yang menerangi akidah yang benar, manhaj kehidupan terbaik, terdapat di dalamnya prinsip akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.

USLUB AL-QURAN MENURUT TAFSIR AL-MUNIR


» Susunan yang menarik dan kemas. Penghujung ayat amat ajaib dan berlainan dengan semua kalam arab sama ada syair atau ucapan.
» Ketinggian dalam cantiknya lafaz, halusnya susunan ayat dan menakjubkan ta’bir.
» Urutan suara dalam susunan huruf dan kekemasanya serta tertibnya sehingga menjadikan ia amat sesuai untuk semua tahap pemikiran dan tahap keilmuan. Begitu juga dengan senang dan mudah untuk menghafalnya sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah mempermudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah orang yang mengambil iktibar daripadanya. (al-Qamar: 17).
» Kesesuaian lafaz dan makna. Kekuatan lafaz dan kesempurnaan makna. Amat sesuai ayat dengan maksud. Ringkas tanpa perlu penambahan. Keutuhan makna dengan bentuk kesenian yang boleh dirasai dan berinteraksi bersama maknanya meskipun ia berulang dengan gambaran yang amat menarik.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.