Persoalan yang sering bermain di minda masyarakat Islam untuk mendapatkan jawapan siapakah wali Allah atau biasa di sebut dalam al-Quran adalah kalimah Aulia Allah yang berlawanan dengan Aulia Syaitan.

Secara mudahnya, wali Allah ini adalah golongan yang bertakwa dan beramal soleh dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT akan diberikan ganjaran di dunia dan akhirat. Mereka ini digelar sebagai wali Allah SWT berdasarkan tingkat amal yang dilakukannya dan mereka ini adalah golongan yang bergembira di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۚ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

MaksudnyaUntuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.(Surah Yunus, 64)

Definisi Dan Pembahagian Wali Allah SWT

Oleh itu, kami datang pengenalan dari segi istilah serta pandangan para fuqaha’ supaya dapat difahami dengan lebih lanjut.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyahal-Wali dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahuwalyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh. ( al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah dan aulia’ al-Syaitan, hlm 9)

Berkenaan istilah Wali Allah SWT, ia bermaksud golongan orang yang beriman dan mereka itu menerima perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan. Dan mereka ini, dekat dan hampir kepada Allah SWT dengan penuh rasa kasih sayang, hidayah dan petunjuk. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135-137)

Ibnu Abi I’zz al-Hanafi mentakrifkan perkataan al-Wali kata lawannya al-A’du iaitu musuh, kata dasar daripada al-Wala’ iaitu dekat dan hampir. Wali Allah ialah golongan yang dekat dengan Allah SWT dan dipermudahkan urusannya serta di beri rasa kasih sayang ke atasnya. Mereka hampir dengan Allah SWT dengan keredhaan-Nya. (Syarah al-Tahawiyyah, 2/509)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan mereka para wali Allah adalah golongan yang mendapat berita gembira pada kehidupan di dunia dengan mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi mana mereka berlandaskan syariat Allah SWT di dalam kepercayaan mereka, mendiri solat, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. ( al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 2/987)

Dengan ini, dapat difahamkan bahawa golongan para wali Allah merupakan golongan yang dekat dan hampir kepada Allah SWT berlandaskan keimanan dan ketakwaan dengan melakukan amalan berlandaskan syariat Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan mereka juga sentiasa dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kerana ketakwaan dan keimanan mereka.

Secara umumnya, para ulama’ membahagikan golongan para wali ini kepada dua bahagian iaitu golongan yang digelar sebagai wali Allah serta golongan yang digelar sebagai wali Syaitan.

Di dalam hal ini, Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan di dalam kitabnya bahawa di antara wali Allah dan musuh Allah adalah mereka yang bersaksikan (mengikut) Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya ia wali Allah SWT iaitu wali al-Rahman. Dan sesiapa yang bersaksikan selain daripada itu maka ia adalah musuh Allah SWT iaitu dari golongan wali Syaitan. ( al-Furqan baina Aulia’ al-Rahman dan Aulia’ al-Syaitan, hlm 3)

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya, mereka yang dihitung sebagai wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT, malaikat-Nya, kitab yang diturunkan-Nya, para rasul dan takdir yang baik dan buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT maka mereka ini digelar sebagi wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu bukanlah daripada wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah (rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan). (Qatr al-Wali ala Hadis al-Wali, 1/256)

Golongan Yang Digelar Wali Allah

Terdapat pelbagai ayat suci al-Quran yang mencerita dan menerangkan perihal golongan yang digelar sebagai wali Allah SWT. Sememangnya wali-wali Allah SWT merupakan golongan yang diberi kedudukan yang istimewa berdasarkan tingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّـهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿٦٢﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ ﴿٦٣

MaksudnyaKetahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (63) (Surah Yunus, 62-63)

Ibnu Kathir mensyarahkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini adalah golongan yang beriman dan bertakwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia. ( Tafsir Ibnu Kathir, 4/242)

Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas menyatakan, Sesungguhnya wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakkal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti balasan di akhirat. (Tafsir al-Maraghi, 11/129)

Kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya yang bertakwa dan beramal soleh sehingga Allah SWT mengishtiharkan permusuhan-Nya terhadap sesiapa yang memusuhi kekasih-Nya iaitu para wali Allah. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW. Allah SWT berFirman:

مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ

MaksudnyaSesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengishtiharkan perang terhadapanya. Riwayat al-Bukhari (6502)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan, Dan yang dimaksudkan golongan wali Allah adalah orang yang mengenali Allah serta melakukan ketaatan dengan bersngguh-sungguh, ikhlas dalam melakukan ibadah. (Fathu al-Bari li Ibnu Hajar, 11/342)

Ibnu Daqiq al-A’id di dalam syarahnya menyatakan, Sesungguhnya Allah SWT memberi amaran kepada sesiapa yang memusuhi wali-Nya. Dan wali Allah mereka adalah golongan yang berpandukan apa yang disyariat Allah SWT, oleh itu, seseorang itu hendaklah berwaspada supaya tidak menyakiti hati para wali Allah. ( Syarah al-Arbai’n al-Nawawi li Ibn Daqiq al-A’id, 1/127)

Berdasarkan kepada nas dan pandangan yang diberikan, boleh dikatakan bahawa para wali Allah merupakan golongan yang mengasihi dan dikasihi Allah SWT serta golongan yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dengan melakukan amal ma’ruf dan nahi mungkar berpandukan syariat yang dibawa oleh Baginda SAW.

Di dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan terdapat golongan yang menjadi wali atau penolong kepada kebaikan, mereka ini diberi cahaya keimana serta kehidupan mereka berpandukan kepada syariat Allah SWT. Selain itu, golongan yang menjadi wali atau penolong kepada kemungkaran merupakan golongan yang dikeluarkan daripada cahaya kebenaran dan menjadi pengikut atau wali syaitan. Firman Allah SWT:

اللَّـهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

MaksudnyaAllah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah, 257)

Dr. Wahbah Zuhaili mentafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberi pelindungan kepada hamba-Nya yang beriman dengan memberi petunjuk kepada jalan yang benar dan mengeluarkan mereka dari kegelapan perkara yang syak dan syubhah kepada cahaya ilmu dan keyakinan. Disebalik itu, golongan yang kafir dan kufur kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, mereka ini dibantu oleh Taghut iaitu syaitan dalam setiap perkara yang dilakukannya dan mereka juga dikeluarkan daripada cahaya keimanan dan kebenaran kepada kegelapan dalam melakukan perkara yang kufur dan nifaq serta kesesatan. (al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/149)

Golongan para wali Allah adalah mereka yang membantu dalam urusan agama Allah SWT serta mereka juga diberi pertolongan daripada Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّـهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا

MaksudnyaPada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

(Surah al-Kahfi, 44)

Syeikh al-Sya’rawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Allah SWT memberi bantuan kepada golongan hamba-Nya yang beriman. Dan golongan para wali Allah mereka ini menolong di jalan Allah SWT maka Allah SWT juga akan menolong mereka. (Lihat, Tafsir al-Sya’rawi, 3/1410)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam syarahnya, bahawa setiap umat manusia daripada golongan mukmin dan kafir akan kembali kepada perintah dan patuh kepada Allah SWT. Al-Wilayah bermaksud penguasa, pemerintah, pembantu, penghukum. Allah SWT sebaik-baik pemberi balasan. Dan sebaik-baik ganjaran Allah SWT adalah kepada golongan para wali Allah dari kalangan orang yang beriman dengan memberi bantuan dan balasan di dunia dan akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 15/256)

Golongan Yang Digelar Wali Syaitan

Allah SWT menceritakan golongan yang menjadikan syaitan itu sebagai pemimpin merekaKehidupan mereka ini berpandukan kekufuran dan kemungkaran serta mereka menyangkakan bahawa diri mereka itu berada di dalam kebenaran, walhal mereka itu berada di dalam kesesatan yang nyata. Firman Allah SWT

إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ اللَّـهِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnyakerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.( al-A’raf, 30)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

Maksudnyadan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.(Surah al-An’am, 121)

Syeikh al-Maraghi menyifatkan bahawa golongan wali Syaitan dihiasi pada pandangan mereka dengan menyangkakan perkara yang mungkar dan keji itu seakan perkara kebaikan. Mereka juga menyangkakan diberikan pertunjuk dan hidayah untuk melakukannya. ( Tafsir al-Maraghi, 8/131)

Justeru, boleh difahami golongan wali syaitan ini seperti yang dinaqalkan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pandangan Ibnu Qayyim, bahawa golongan wali syaitan ini adalah mereka yang bercanggah dan berlawanan dengan perintah Allah SWT dan risalah yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/179)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan nas yang diberikan serta pandangan para ulama, dapat disimpulkan bahawa para wali Allah boleh dikenali dengan sifat keimanan dan ketakwaan mereka terhadap Allah SWT. Dan sifat para wali Allah sentiasa mendahului perintah Allah SWT dan syariat yang dibawa Baginda SAW daripada kehendak dirinya dan manusia. Mereka juga sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

Oleh itu, tiada sesiapa yang boleh menentukan secara pasti atau muktamad bahawa seseorang itu adalah wali kecuali Allah SWT. Manusia hanya dapat menilai seseorang itu hanya zahir amalannya sahaja dan sebaiknya kita bersangka baik terhadap sesama manusia. Ini kerana hanya Allah SWT yang Maha mengetahui zahir dan batin hamba-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اهْتَدَىٰ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.(Surah al-Najm, 30)

Justeru, sebagai hamba Allah SWT, sebaiknya kita berusaha dalam meningkatkan amalan kebaikan dengan cara mengikuti amalan yang dilakukan oleh para wali Allah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

MaksudnyaDemi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran (Surah Yusuf, 111).

Rujukan :

[zotpress items=”{5090062:QZYWPV3Z}” style=”apa”]

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.