Sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, mereka yang layak untuk mentakwilkan al-Quran ialah ar-Rasikhun dan Ulul Albab iaitu mereka yang mempunyai pendirian yang tetap atas perintah Allah dan Rasul, keimanan yang teguh, pengetahuan yang tinggi serta berhikmah dan bijaksana. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah:

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

(Al-Imran: 7)

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).

(Al-Baqarah: 269)

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.

(Az-Zumar: 18)

Rentetan daripada itu, Imam Suyuti telah menggariskan beberapa panduan dalam mengharuskan seseorang layak untuk mentakwilkan al-Quran. Pertama, muawwil perlulah menguasai ilmu bahasa atau disebutkan sebagai lughah. Hal ini sangat penting untuk memahami maksud ayat, lafaz dan dalil-dalil di dalam al-Quran.

Perkara ini termasuk ilmu nahu, sorf, isytiqaq, ma’ani, bayan dan badi’. Kedua, muawwil haruslah mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang Qiraat. Ketiga, muawwil haruslah menguasai ilmu usuluddin supaya dapat membezakan dalil bagi perkara mustahil, wajib dan harus bagi Allah SWT. Keempat, sebagai seorang muawwil perlulah menguasai ilmu fiqh dan usul fiqh supaya dapat mengetahui dalil dalam mengeluarkan hukum. Kelima, muawwil haruslah mengetahui asbab nuzul supaya tahu sejarah penurunan ayat dan nasikh Mansukh. Keenam, muawwil mestilah menguasai ilmu hadis supaya boleh mengenali ayat mujmal dan mubham.

Lanjutan itu, perlunya kita melihat etika-etika dan perbahasan ulama mufassirin dalam mendalami adab sebagai seorang mufassir kerana ia memiliki hubungkait dengan adab ketika mentakwilnya. Sebagaimana syarat untuk menjadi mufassir, begitu jugalah syarat menjadi seorang pentakwil yang perlu memiliki sifat atau ciri-ciri tertentu. Sehubungan dengan itu, para ulama’ telah menyebutkan ciri-ciri yang harus dimiliki oleh setiap mufassir dalam memberikan pentakwilan terhadap sesuatu ayat al-Quran. Kriteria tersebut adalah seperti yang berikut:

  • Berakidah yang lurus.

Para mufassir yang hendak mentakwilkan ayat al-Quran haruslah memiliki akidah yang lurus kerana akidah memiliki pengaruh yang besar terhadap jiwa pemiliknya. Sebaliknya, akidah yang tidak benar seringkali akan mendorongnya untuk mengubah nas-nas, tidak jujur dalam penyampaian berita. Hal ini boleh berlaku apabila seseorang menyusun sebuah kitab tafsir, maka dita’wilkannya ayat-ayat yang bercanggah dengan akidahnya, kemudian membawanya kepada mazhab yang batil, dengan matlamat memalingkan orang-orang daripada mengikuti golongan salaf dan daripada jalan petunjuk. Justeru itu, pentakwil haruslah memiliki akidah yang lurus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

  •  Bersih daripada hawa nafsu.

Para mufassir yang ingin mentakwilkan ayat al-Quran haruslah bersih daripada hawa nafsu. Hal ini kerana hawa nafsu akan mendorong pemiliknya untuk membela kepentingan mazhabnya, sehingga ia menipu manusia dengan kata-kata dan penjelasan menarik seperti yang dilakukan oleh kelompok Qadariyah, Syi’ah, Rafidah, Mu’tazilah dan para penyokong fanatik mazhab sejenis lainnya.

  • Berniat baik dan memiliki matlamat yang benar

Muawwil hendaklah berniat baik dan memiliki matlamat yang benar apabila ingin mentakwilkan al-Quran kerana setiap amal perbuatan itu bergantung kepada niat. Individu yang berada dalam bidang-bidang ilmu syariat, haruslah mempunyai matlamat dan azam untuk membina kemaslahatan umat, berbuat baik kepada Islam dan membersihkan diri daripada matlamat-matlamat duniawi agar Allah SWT meluruskan langkahnya dan menjadikan ilmunya bermanfaat sebagai buah daripada keikhlasan.

  • Berakhlak mulia.

Muawwil hendaklah berakhlak mulia kerana mereka seumpama seorang pendidik. Hal sedemikian kerana, pengajaran yang diberikan itu tidak akan berkesan ke dalam jiwa jika ia tidak menjadi teladan dalam akhlak dan perbuatan mulia. Kata-kata yang baik juga terkadang membuatkan pelajar tidak mahu mengambil manfaat daripada apa sahaja yang didengar dan dibacanya, bahkan kadang-kadang membuatkannya malas untuk berfikir.

  • Pengetahuan bahasa Arab yang baik.

Muawwil haruslah memiliki pengetahuan bahasa Arab yang baik kerana al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Pemahaman yang baik terhadap al-Quran amatlah bergantung pada penghuraian mufradat, lafaz-lafaz dan pengertian yang ditunjukkannya sesuai dengan struktur kalimah. Mengenai syarat ini, Mujahid berkata: Tidak dibenarkan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk berbicara tentang Kitabullah apabila ia tidak mengetahui pelbagai dialek Bahasa Arab.

Lanjutan itu, menurut Abd al-Jabbar mengatakan bahawa mengetahui bahasa Arab dan ilmu Nahu telah menjadi keharusan bagi ulama dalam memahami kalamullah kerana ianya adalah bahagian pertama yang diperlukan bagi pembaca al-Quran. Keduanya ialah perlu mengetahui ilmu riwayat dan menguasai ilmu usul fiqh. Ilmu usul fiqh ini sangat penting dan harus dikuasai oleh seorang yang bergelar muawwil. Ini kerana merupakan ilmu tentang kaedah-kaedah dan pembahasan yang mampu menghasilkan hukum-hukum syar’ie yang diambil dalil-dalilnya yang terperinci.

  • Taat dan beramal

Ilmu akan lebih dapat diterima melalui individu yang mengamalkannya daripada yang hanya hebat dalam teori dan konsep. Seterusnya, perbuatan yang mulia akan menjadikan muawwil sebagai teladan yang baik bagi pengamalan masalah-masalah agama yang ditetapkannya. Seringkali individu lain menolak untuk menerima ilmu daripada orang yang luas pengetahuannya hanya kerana individu tersebut berperilaku buruk dan tidak mengamalkan ilmunya.

  • Pengetahuan yang mendalam tentang ilmu al-Quran

Muawwil hendaklah mempunyai pengetahuan tentang asas-asas ilmu yang berkaitan erat dengan al-Quran seperti qira’ah, sebab dengan ilmu ini dapat diketahui bagaimana cara mengucapkan (lafaz-lafaz) al-Quran dan dapat memililih mana yang lebih kuat di antara pelbagai ragam bacaan yang diperkenankan seperti ilmu tauhid. Dengan ilmu ini, sudah semestinya mufassir tidak mentakwilkan ayat-ayat yang berkenaan dengan hak Allah dan sifat-sifatNya secara tidak betul sehingga melampaui hakNya.

Selain itu, antara kaedah yang perlu diikuti oleh seorang muawwil dalam proses pentakwilannya menurut al-Maturidi adalah seperti yang berikut:

1)        Merujuk kepada sumber wahyu.

Kaedah yang pertama adalah bersumberkan wahyu. Ulamak telah bersepakat bahawa takwil yang terbaik adalah merujuk kepada wahyu. Tingkatan tertinggi dalam pentakwilan adalah takwil al-Quran dengan al-Quran. Kemudian diikuti oleh takwil al-Quran dengan hadis.

2)        Takwil Generasi Salaf.

Ulamak meletakkan bahawa takwil bersandarkan kepada athar para sahabat berada pada kedudukan yang kedua setelah hadis Rasulullah SAW. Sebahagian besar ulamak berpegang bahawa proses takwil tidak boleh lari dari merujuk ungkapan golongan salaf. Hal ini kerana mereka merupakan generasi yang paling hampir dengan Rasulullah SAW dan zaman wahyu diturukan. Tambahan pula Rasulullah SAW sendiri telah mengiktiraf generasi salaf dalam hadis baginda seperti berikut:

“Sebaik-baik manusia adalah kurunku (sahabat) kemudian kurun selepasnya (tabi’in) dan kurun selepas kurun tersebut (tabi’ tabi’in)”

Selain itu, ulamak juga menggunakan kaedah ijmak. Ijmak diperlukan dalam menentukan makna lafaz atau menerangkan kedudukan ayat dalam i’rab atau berkaitan dengan qira’ah dan lain-lain. Al-Tabari dan al-Maturidi juga akan menolak sebarang takwilan yang bercanggah dengan ijmak para ulamak walaupun ianya datang dari Ibn Abbas dan Mujahid. Di samping itu, asbab nuzul juga turut digunakan dalam mentawil sesuatu ayat.

Fungsi asbab nuzul adalah supaya pentafsir mendapat gambaran yang jelas tentang sesuatu peristiwa dan kejadian yang berlaku. Antaranya terdapat ayat yang turun dalam situasi peperangan, menerangkan hukum, menjawab dakwaan golongan kafir, menceritakan perkara ghaib dan lain-lain. Daripada asbab nuzul tersebutlah akan membantu para ulamak untuk mentakwil al-Quran.

3) Pentakwilan berdasarkan aliran mazhab atau sesuatu kumpulan.

Setiap pentafsir dan pentakwil memiliki latarbelakang mazhab yang berbeza antara satu sama lain. Namun perbezaan ini perlu dinilai dengan pemikiran yang terbuka serta saling menghormati antara satu pihak dengan pihak yang lain. Contohnya dalam perbahasan berkaitan akidah ia menjadi cerminan bagi menggambarkan cara berfikir sesebuah masyarakat pada ketika itu.

4) Mengutamakan keaslian dan keautoritian sumber.

Setiap bidang ilmu terdapat orang yang pakar secara khusus tentangnya. Perkara ini juga berlaku dalam disiplin ilmu takwil al-Quran. Seseorang yang ingin mentakwil al-Quran tidak boleh mentakwil secara bermudah-mudah melainkan ia telah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan. Setelah melalui proses pentakwilan dengan bersumberkan wahyu, athar dan seumpamanya seseorang itu perlu menguasai beberapa aspek ilmu lagi seperti Bahasa Arab, mengutamakan zahir ayat, mahir ilmu qiraah dan tidak boleh mentakwilkan sifat am ayat sebelum ada dalil. Perbincangannya seperti berikut:

 a) Pertama, menguasai ilmu Bahasa Arab. Hal ini kerana ilmu bahasa sangat berperanan dalam memahami al-Quran. Menurut al-Zamakhshari seseorang yang ingin mendalami ilmu al-Quran perlu menguasai ilmu ma’ani (ilmu tentang makna) dan ilmu al-bayan (ilmu tentang penjelasan ungapan). Mujahid pula mengatakan tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah SWT dan hari kiamat untuk bercakap mengenai al-Quran sekiranya dia tidak menguasai Bahasa Arab.

 b) Kedua, para ulamak usul berpendapat bahawa zahir al-Quran boleh digunakan sebagai hujah. Menurut mereka ia akan memberikan gambaran bahasa al-Quran dari segi bahasa, susunan dan cara penyampaiannya. Oleh sebab itu ulamak usul menolak takwil al-Quran berpandukan makna lafaz, qiraah, nasikh mansukh, am khas dan sebagainya. Hal ini bagi menjaga makna al-Quran dari dipalingkan dari makna zahir secara tidak sedar.

c) Ketiga, pendirian terhadap qiraah. Menurut Yaqut al-Hamawi qiraah berperanan penting dalam menguatkan mazhab fiqh, kaedah tatabahasa dan juga elemen-elemen yang berkaitan dengan pemahaman suatu ayat. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat ulamak seperti al-Tabari dan al-Maturidi sering membawa bentuk-bentuk qiraah dalam memahami ayat al-Quran.

d) Keempat membiarkan sifat am ayat sebelum wujud dalil. Ayat am merujuk kepada lafaz yang memiliki makna yang umum dan boleh diterjemah dengan pelbagai cara tanpa ada halangan. Ulamak telah menyenaraikan beberapa perkataan sebagai ayat am seperti perkataan َ,ال,َأل,َكل من,َالذى,َما dan lain-lain. Kalimah-kalimah ini boleh diterjemahkan secara bebas tanpa terikat dengan apa-apa kaedah selagi tidak terdapat dalil-dalil yang kuat.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW adalah pentafsir al-Quran dan baginda telah meletakkan asas dan kaedah dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran. Metode al-tafsir dan al-ta`wil adalah terbaik dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran. Metod takwil wajar digunakan dengan cermat bagi memahami kandungan al-Quran yang merungkai permasalahan semasa umat Islam. Oleh itu, penguasaan disiplin ilmu pentafsiran dan pentakwilan serta pelbagai disiplin ilmu lain adalah satu keperluan untuk berinteraksi dengan kalam Allah SWT. Justeru itu, untuk menjadi seorang pentakwil, haruslah menguasai pelbagai disiplin ilmu serta berakhlak yang mulia.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.