Menurut Zulkifli Hasan (2011) fuqaha bersepakat mengatakan harta haram tidak boleh dilupuskan atau dibuang atau dibazirkan. Pandangan fuqaha tradisional dan kontemporari berpandangan bahawa harta ini perlu digunakan atau diagihkan demi kemaslahatan umum.
Perbuatan melupuskan harta haram ini juga menyalahi kaedah syara` yang melarang tindakan idhaâah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan. Bahkan apabila membincangkan isu harta haram berasaskan riba, Al- Qaradawi di dalam Fatawa Muasirah berpandangan bahawa adalah haram secara yakin untuk membiarkan atau meninggalkan wang dalam akaun bank konvensional yang bersandarkan riba. Ini kerana harta ini mampu memberi sokongan kepada pengutuhan konvensional bank yang jelas haram dalam Islam.
Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie juga berpandangan bahawa harta tidak patuh syariah boleh digunakan untuk pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum serta kepada faqir miskin menurut budi bicara pemerintah. Bahkan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin juga berpandangan harta tidak patuh syariah ini haram bagi pemiliknya tetapi ia boleh digunakan oleh faqir miskin. Ini secara jelas disokong oleh Yusuf al-Qaradawi di dalam Fatawa Muasirah yang berpandangan bahawa harta tidak patuh syariah tidak boleh menjadi hak milik pemiliknya tetapi ianya perlu disedekahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan untuk kemaslahatan umum (Dr Zulkifli Hasan, 2011).
Setelah memahami konsep, jenis dan hukum harta haram adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan harta sebegini diurus dan ditadbir secara berkesan dan mengikut hukum syarak. Pemilik harta tidak patuh syariah ini boleh menyerahkan secara terus harta ini kepada mana-mana institusi kebajikan termasuk baitul mal atau badan-badan amal untuk digunakan demi kemaslahatan umum.
Oleh itu, institusi-institusi tersebut perlu memastikan harta haram ini digunakan secara berkesan dan ianya tidak ditadbir sambil lewa serta tidak menepati kehendak syarak. Pemilik harta tidak patuh syariah ini juga boleh mengagihkan atau memberikan sejumlah harta ini terus kepada golongan yang memerlukan tanpa merujuk kepada mana-mana badan kebajikan atau pihak berautoriti seperti baitul mal (Muhammad Nasri Md. Hussain, Nasri Naiimi, & Mohd Sollehudin Shuib, 2013).
Menurut Zulkifli Hasan, (2011), pemilik harta tidak patuh syariah atau penerimanya sama ada baitul mal, badan kebajikan atau orang perseorangan perlu memastikan harta ini digunakan dalam aspek atau perkara yang diklasifikasikan sebagai kemaslahatan umum seperti :
a- Harta Tidak Patuh Syariah Perlu Dipulangkan Kepada Pemilik Asal
Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Ini bersepakatan dengan pandangan Imam al-Nawawi dalam kaedah penyelesaian harta tidak patuh syariah iaitu ianya perlu dikembalikan kepada pemilik asal sekiranya diketahui atau wakilnya atau ahli warisnya jika melibatkan kematian.
b- Harta Tidak Patuh Syariah Digunakan untuk Pembinaan Infrastruktur
Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah atau dibelanjakan kepada maslahah-maslahah umum umat Islam. Ini termasuk pembinaan infrastruktur awam seperti jalan, sekolah, dewan, jambatan, kenderaan pengangkutan dan masjid-masjid. Bukan itu sahaja harta ini juga boleh digunakan untuk tujuan penyelenggaraan infrastruktur termasuk pemeliharaan alam sekitar serta penjagaan kebersihan kawasan awam.
c- Harta Tidak Patuh Syariah Diagihkan Kepada Fakir Miskin
Sekiranya harta tidak patuh syariah ini tidak digunakan untuk pembinaan infrastruktur atau memerangi sektor haram, harta sebegini boleh dibelanjakan atau diagihkan kepada golongan fakir miskin. Harta ini juga boleh diberikan kepada anak-anak yatim, warga emas, orang kurang upaya, muallaf, ibu tunggal yang memerlukan dan pelajar-pelajar yang memerlukan pembiayaan. Golongan ini tidak perlu gusar untuk menerima wang tidak patuh syariah ini walaupun diketahui ianya dari sumber haram kerana ulama bersepakat mengatakan bahawa mereka boleh menggunakannya kerana jatuh dalam kategori kemaslahatan umum. Isu penerimaan wang haram bagi golongan ini tidak menjadi isu.
CADANGAN PENDEKATAN
Terdapat tiga pendekatan yang bersesuaian sebagai pendidikan kewangan Islam dalam urusan pelaburan masyarakat, penulis mencadangkan seperti berikut:
i-Mendapatkan Perunding Syariah
Perunding syariah adalah mereka yang pakar dalam bidang syariah. Maka seharusnya kita memastikan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka sebelum kita bertindak untuk melakukan sesuatu pelaburan agar dapat mengelak berlaku percampuran sumber yang haram dan halal yang mesti jelas sebelum melabur.Oleh itu, sekiranya sesebuah syarikat pelaburan menitik beratkan hal ehwal syariah dapat menghapuskan keraguan dalam isu halal dan haram.
ii-Memahami kategori pelaburan Islam
Dalam kitab-kitab fiqh, para fuqaha telah membuat beberapa gagasan mengenai bentuk media-media pelaburan yang bersesuaian dengan syariat Islam. Pada dasarnya pelaburan Islam ini terbentuk berdasarkan kepada dua matlamat utama iaitu : mengelakkan daripada unsur-unsur riba dan tipu helah dan menegakkan keadilan dan memperluaskan kerjasama. Bagi memenuhi tujuan besar tersebut, pelaburan yang disertai mesti diiktiraf oleh perundangan Islam seperti prinsip al-mudharabah, al-musyarakah, al-murabahah, al-ijarah, wakalah, jua`lah, al-bai` bithaman `ajil, bai` al-salam dan banyak lagi konsep kontrak Islam yang boleh digunapakai. Namun, umumnya, pelaburan Islam tidak lari daripada menggunakan salah satu atau lebih daripada konsep tersebut.
iii-Pemulangan harta tidak patuh syariah
Harta atau wang tidak patuh syariah adalah haram, tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga, sebagaimana yang dapat difahami dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
âDan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah..â
(Al-Baqarah 2:188)
Oleh itu, harta atau wang tidak mematuhi kehendak syariah boleh disalurkan ke Baitulmal. Menurut Dr. Yusof al-Qardawi, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah âammah. Dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar (jual beli yang tidak jelas), perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah, hasil penyeludupan, hiburan yang tidak menepati syarak dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri. Harta tersebut hendaklah diserah kepada baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya atau diserah kepada golongan fakir miskin atau jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Maka, cara untuk membolehkan wang tersebut digunakan adalah dengan menyerahkannya kepada Baitulmal (Majlis Agama Islam Negeri Johor, 2021).
Kesimpulan
Kesimpulan perbincangan ini, penulis menyimpulkan bahawa kaedah âjika bercampur antara halal dengan haram, dikira sebagai haramâ menuntut kepada umat Islam sebagai pedoman dalam urusan muamalat harta agar mematuhi perintah Allah SWT dengan sebaiknya dan diteliti dalam urusan pelaburan terutamanya. Petunjuk kepada kaedah ini membuka ruang kepada pemerkasaan sistem kewangan yang melingkari kita sekarang mesti selaras dengan perundangan Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-sunnah serta ijtihad para ulama. Ianya berasaskan ciri-ciri tertentu untuk membezakan dengan sistem pelaburan konvesional yang sedia ada seperti bebas dari unsur riba, judi, gharar dan aktiviti yang diharamkan oleh Islam seperti penjualan barnagna yang dilarang seperti arak, dadah, khinzir serta bebas daripada sebarang bentuk penindasan.
Kaedah ini sebagai jaminan untuk umat Islam dalam menentukan sumber haram dan halal bagi menyelamatkan umat Islam untuk memelihara daripada unsur haram yang dapat merosakkan fitrah suci asal manusia yang tidak perlu kepada kekotoran dan kejijikan daripada sumber haram. Justeru, pendidikan dalam menguruskan harta yang tidak patuh syariat dan pendekatan harus diambil oleh semua umat Islam untuk memberi kefahaman dalam menentukan keabsahan sesuatu harta tersebut adalah baik dan berkualiti.
[…] Pandangan Fuqaha: Pendekatan Pengendalikan Harta Yang Haram […]