Perlaksanaan perintah hadhanah merupakan satu tajuk yang membahaskan mengenai hak-hak penjagaan anak. Tulisan ini akan menyentuh berkenaan dengan beberapa aspek penting yang bermula daripada pengertian, dalil-dalil, syarat-syarat yang berkaitan dan juga berkenaan dengan prosedur mahkamah.

Hadhanah adalah merupakan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang masih kecil dalam semua hal kehidupan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur yang tertentu.

Walau bagaimanapun orang yang berhak menjaganya juga merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak tersebut sama ada dari kaum karabat atau mahramnya.

Walaupun hak jagaan itu melibatkan kaum kerabat atau mahram bagi kanak-kanak itu, akan tetapi ia tetap bergantung kepada keputusan mahkamah.

Dalam kes-kes hadhanah, perintah hak jagaan akan diputuskan oleh mahkamah setelah berpuas hati dengan keterangan-keterangan yang telah diberikan.

Penulisan ini akan memperincilkan berkenaan dengan hadhanah serta dari segi perlaksanaan perintah agar pemahaman mengenainya dapat dicungkil dengan lebih mendalam.

2.0 Definisi hadhanah

Pengertian hadhanah dari segi bahasa ialah disamping iaitu himpun disamping (di sisi) (Wahbah al-Zuhaili 2001: 897).

Asal perkataan hadhanah ialah hidhnu yang juga membawa maksud tepi atau sisi.

Ini disebabkan kerana orang yang ingin mengambil kanak-kanak tersebut meletakkan kanak-kanak itu disisinya (Mustofa al-Khin 2002 : 753).

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan hadhanah itu adalah berasal daripada perkataan arab dari kata dasar al-hidhan yang bererti lambung atau rusuk kerana setiap ibu yang mengandung atau mendukung anaknya akan meletakkannya dibahagian rusuk (Azhar b. Abd Aziz 2006 : 193).

Seterusnya pengertian hadhanah dari segi istilah pula ialah hak mendidik anak-anak bagi orang yang mempunyai hak penjagaan. Penjagaan itu termasuklah mendidik dan menjaga mereka yang tidak mampu mengurus diri sendiri bagi menjauhkan daripada perkara-perkara yang buruk mengenainya, kerana mereka tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Mereka dijaga dari segi makan dan minum, pakaian, tempat tidur dan kebersihannya dalam tempoh umur yang tertentu (Wahbah al-Zuhaili 2001 : 898).

Hadhanah dari segi istilah juga boleh membawa erti menjaga serta memelihara anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan atau anak-anak yang sudah dewasa tetapi belum mumaiyiz dari sebarang anasir yang boleh merosakkan fizikal mahupun mentalnya sehinggalah kanak-kanak itu mampu berdikari dan memikul tanggungjawab (Azhar b. Abd Aziz 2006 : 194).

Pengertian hadhanah juga bermaksud pemeliharaan kanak-kanak yang masih kecil, sama ada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak bodoh yang tidak mumaiyiz, sesudah berlaku perceraian antara kedua ibu bapa mereka (Mat Saat Abd. Rahman 2002 : 121)

3.0 Hukum penjagaan anak (hadhanah)

Penjagaan anak hukumnya adalah wajib. Ini adalah kerana jika kanak-kanak itu tidak di jaga dengan baik, maka kerosakan pasti akan berlaku berlaku terhadap kana-kanak itu (Wahbah al-Zuhailai 2001 : 898).

Penjagaan itulah yang akan mencorak serta mewarnai keperibadian kanak-kanak itu setelah dewasa kelak. Ini adalah berdasarkan kepada Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiap bayi itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi” (Mat Saad Abd. Rahman 2002 : 115) (Riwayat Muslim 4:2047)

4.0 Dalil-dalil yang mewajibkan hadhanah Islam telah mewajibkan pemeliharaan ke atas kanak-kanak sehingga ia mampu berdikari.

Oleh itu mengasuh kanak-kanak yang masih kecil adalah wajib kerana pengabaian terhadap anak-anak bererti mendedahkan anak-anak tersebut kepada bahaya.

Terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan kepada kewajipan mengasuh anak ini samada dari al-Quran, as-Sunnah dan Sirah sahabat.

Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 233: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara ma’ruf. Tidaklah dibebani seseorang melainkan menurut kemampuannya.

Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita Kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada).

Apabila keduanya ingin menjaga (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya.

Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut.

Bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahawa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan”.

Di dalam hadith nabi juga dijelaskan kewajipan penjagaan anak ini, antaranya yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bahawasanya telah datang seorang perempuan (menemui Rasulullah dan bertanya), ya Rasulullah, ini adalah anakku, perutku yang mengandungkannya, susuku yang memberi minumnya, pangkuankulah yang memangkunya. Sesungguhnya bapanya telah menceraikan aku dan dia hendak merampasnya dariku. Rasulullah SAW bersabda: Engkaulah yang berhak ke atasnya selagimana engkau belum berkahwin”. (H.R. Ahmad dan Abu Daud) Dan tentang hadhanah ini juga terdapat didalam sirah para sahabat. Antaranya ialah kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar r.a. Didalam satu riwayat ada menceritakan bahawa Saidina Umar Ibn al-Khattab telah menceraikan isterinya yang bernama Jamilah (seorang wanita Ansar) dan mereka meninggalkan sorang anak bernama ‘Ashim.

Mereka berebut tentang siapakah yang berhak untuk menjaga anak itu. Lalu mereka telah merujuk kepada Saidina Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu. Saidina Abu Bakar memutuskan bahawa ibunya lebih berhak.

Daripada dalil-dalil ini dapatlah difahami bahawa hadhanah adalah satu kewajipan kepada ibu bapa ataupun penjaganya. Pengabaian terhadap hadhanah ini adalah satu penganiayaan terhadap anak-anak (Raihanah Abdullah 2001: 161).

5.0 Penjaga yang lebih berhak menjaga anak

Bagi pasangan suami isteri yang telah bercerai dalam keadaan anak mereka samada lelaki atau perempuan masih kecil dan belum mencapai usia mumaiyiz, maka dalam keadaan seperti ini, ibu adalah lebih berhak menjaganya.

Alasan yang munasabah berkenaan dengan kenyataan ini ialah:

1. Seorang ibu mempunyai tahap kasih sayang serta kesabaran yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain walaupun si ibu terpaksa menanggung beban untuk menjaga dan mendidik anak itu.

2. Belaian dari seorang ibu lebih lembut ketika menjaga dan mendidik anaknya. Ibu juga mampu untuk memberi kasih sayang yang lebih sepertimana yang diperlukan oleh bayi tersebut.

Berdasarkan kenyataan di atas telah menunjukkan bahawa ibu lebih berhak menjaga anak berbanding bapa. Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dimana baginda telah menemui seorang ibu yang datang kepadanya untuk mengadu kepadanya berkenaan dengan siapa yang lebih berhak untuk menjaga anak.

Maka sebagaimana didalam Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Abdullah bin Amru r.a berkata: seorang wanita telah datang bertemu Nabi SAW dan berkata: wahai Rasulullah! Sesungguhnya anakku ini, akulah yang mengandungnya, susu akulah yang diminumnya dan akulah penjaganya. Bapanya telah menceraikan aku dan sekarang dia ingin mengambil anakku. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kamu lebih berhak (daripadanya) selagi kamu belum berkahwin”(Mustofa al-Bugha 2002 : 754) (Riwayat Abu Daud).

Jika diikutkan kepada tertibnya hak penjagaan selepas ibu ialah keluarga sebelah ibunya dan kemudiaannya barulah berpindah kepada keluarga sebelah bapa. Pertukaran hak jagaan daripada ibu kepada orang lain adalah disebabkan kerana si ibu tidak dapat lagi memenuhi syarat-syarat hadhanah atau telah meninggal dunia.

6.0 Syarat-syarat hadhinah

Walaupun telah jelas bahawa tanggungjawab menjaga dan mengasuh anak kecil menjadi tugas ibu, namun dia harus memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang telah digariskan oleh fuqaha. Dengan ini barulah mereka benar-benar layak untuk menjadi hadhinah. Imam syafie telah menggariskan tujuh kriteria yang utama untuk menjadi hadhinah. Antaranya ialah:

1. Berakal: orang gila tidak layak menjadi hadhinah kecuali gilanya amat sedikit sekali.

2. Merdeka: perempuan yang masih hamba tidak layak menjadi hadhinah kerana hamba bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tuannya. 3. Islam: orang kafir sama sekali tidak layak menjadi hadhinah kerana dikhuatiri akan merosakkan akidah anak tersebut.

4. Baik akhlaknya: orang yang buruk serta rosak akhlaknya tidak layak menjadi hadhinah.

5. Amanah: orang yang mempunyai sikap khianat terhadap amanah yang diberikan kepadanya tidak layak menjadi hadhinah.

6. Hadhinah perlu tinggal di tempat dimana kanak-kanak itu dipelihara: oleh itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan urusan penjagaan.

7. Tidak berkahwin dengan lelaki lain: syarat ini hanya tertakluk kepada pihak isteri sahaja. Jika ibu itu berkahwin lain, maka hak penjagaannya akan gugur. Pengecualian ini akan terbatal jika lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan kanak-kanak tersebut.

7.0 Upah hadhanah

Orang yang menjaga itu berhak mendapat upah. Seorang isteri tidak berhak mendapat upah hadhanah jika ada suami bersamanya atau isteri berada dalam iddah talak.

Ini kerana suami wajib memberi nafkah kepada isteri dalam tempoh iddahnya. Ini jelas daripada firman Allah dalam ayat 233 surah al-Baqarah: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. dan kewajiban bapa ialah memberi makan dan Pakaian kepada ibu dengan cara ma’ruf. Tidaklah dibebani seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita Kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Apabila keduanya ingin menjaga (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahawa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan”.

Maka tidak layak bagi isteri mendapat upah hadhanah. Jika dia bercerai mati, maka dia berhak mendapat upah hadhanah kerana dia tidak mendapat nafkah sebagaimana dia bercerai hidup.

Dan berhak bagi hadhinah tempat tinggal baginya dan anak tersebut sekiranya dia tidak mempunyai tempat tinggal.

Dan juga pembiayaan untuk orang gaji jika kanak-kanak itu memerlukan khidmat orang gaji. Upah hadhanah bersumberkan daripada harta anak tersebut sekiranya dia mempunyai harta. Jika tidak, haruslah menggunakan harta bapanya ataupun sesiapa yang bertanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tersebut sekiranya dia tidak mempunyai ayah.

Dan undang-undang mensyaratkan supaya upah hadhanah itu tidak melebihi separuh daripada sumber pendapatannya. Jika orang yang menanggung itu tidak mampu, maka penjagaan anak itu akan diserahkan kepada ahli kerabat yang mahram. Dan terpulang bagi orang yang menjaga itu sama ada dia mahu mengambil upah ataupun menjaganya secara percuma (Dr. Mustafa Siba’i 1997: 272).

8.0 Urutan keutamaan orang yang layak terhadap hadhanah .

Jika si ibu tidak memenuhi syarat-syarat hadhanah atau kehilangan salah satu syaratnya, ia tidak layak untuk ditugaskan sebagai hadhinah, dan tugas hadhanah itu diserahkan kepada ahli waris yang lain menurut urutan keutamaan seperti yang berikut:

1. Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya 2. Bapa

3. Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya 4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa

5. Kakak atau adik perempuan seibu

6. Kakak atau adik perempuan sebapa

7. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa

8. Anak perempuan dari kakak atau adik seibu

9. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa

10. Emak saudara sebelah ibu

11. Emak saudara sebelah bapa

12.Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah (Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi 2006:146).

Dibawah S. 81(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) menambah syarat bahawa penjagaan oleh orang lain itu tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. Manakala perenggan (3) dibawah seksyen yang sama pula menegaskan bahawa seseorang lelaki yang berhak terhadap penjagaan terhadap kanak-kanak perempuan mestilah seorang mahram, iaitu dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu iaitu dia diharamkan berkahwin dengannya.

9.0 Tamatnya tempoh hadhanah

Hadhanah berakhir apabila kanak-kanak itu tidak lagi memerlukan pengasuhan perempuan, telah mencapai umur mumaiyiz dan mampu berdikari iaitu mampu menguruskan sendiri keperluan asasnya seperti makan sendiri dan mandi sendiri. Oleh itu tidak ditentukan tempoh tertentu mengenai hadhanah ini.

Menurut mazhab Syafi’I dan Hanbali, tempoh hadhanah tidak dihadkan dengan tempoh masa atau umur tertentu. Bagaimanapun fatwa mazhab Hanafi dan lain-lain menyebut: “Masa hadhanah berakhir apabila kanak-kanak itu berumur tujuh tahun sekiranya lelaki dan sembilan tahun jika perempuan”. (Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi 2006:153)

Mazhab ini berpendapat bahawa penambahan masa bagi kanak-kanak perempuan adalah perlu bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan kebiasaan orang-orang perempuan yang mempelajarinya daripada pengasuhan tersebut. Selepas kanak-kanak itu mumaiyiz, ia diberi hak memilih sendiri untuk tinggal bersama ibu atau bapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang perempuan datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. katanya: wahai Rasulullah, sedangkan suamiku mahu membawa anakku pergi, sesungguhnya anak itu berguna kepadaku, dan dialah yang memberi aku air dari perahan Abi ‘Utbah, maka ketika itu datanglah suaminya lalu Rasulullah bersabda: Wahai anak, ini bapamu dan ini ibumu, pilihlah yang mana satu yang engkau sukai. Lantas anak itu memilih ibunya, lalu ibu tersebut membawa pergi anak itu”.

Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan juga Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di beberapa buah negeri yang lain memilih pendapat ini. Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan: “Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan”.

10.0 Pelaksanaan perintah hadhanah

Apabila sesuatu keputusan penjagaan diputuskan oleh hakim, maka surat keputusan tersebut hendaklah diberi kepada kedua-dua belah pihak. Dengan ini kedua-dua belah pihak hendaklah mematuhi segala perintah yang dikeluarkan. Pihak suami hendaklah menyerahkan anak kepada bekas isterinya dan pihak isteri mempunyai hak untuk menuntut penjagaan anak daripada pihak suami, begitu juga sebaliknya.

Perlaksanaan ini hendaklah berkuatkuasa bermula dari tarikh yang ditetapkan di dalam perintah mahkamah. Tetapi jika tarikh penyerahan tidak ditetapkan, maka menurut S. 152(3) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 menetapkan bahawa:

“Permohonan untuk mendapatkan suatu perintah dibawah seksyen ini hendaklah dibuat dalam Borang MS 34 dan salinan permohonan itu hendaklah, walau apa pun apa-apa peruntukan lain Akta ini, disampaikan kepada orang yang dikehendaki melakukan perbuatan yang berkenaan”.

Perintah ini hendaklah dihantar kepada pihak suami supaya dia menyerahkan hak jagaan anak kepada pihak isteri.

Apabila pihak suami tidak menyerahkan hak penjagaan kepada pihak isteri, maka perbuatan pihak suami ini dikira sebagai ‘menghina mahkamah’ dan boleh dikenakan tindakan. Menurut S.229(1) menyatakan bahawa: “Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit”

Manakala perenggan (3) pula menyatakan bahawa: “Dalam hal penghinaan yang dilakukan diluar mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu”.

Dengan ini, pihak isteri dikehendaki menyediakan ‘surat tunjuk sebab’ kepada mahkamah. Apabila surat ini telah disediakan, maka ia akan diendorskan oleh mahkamah untuk dihantar kepada pihak suami.

Contoh surat ini terdapat didalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 dan ditandakan sebagai Borang MS 45. Pihak suami dikehendaki hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sebab mengapa dia tidak dapat melaksanakan perintah mahkamah.

Jika alasan pihak suami tidak dapat memuaskan mahkamah, maka pihak suami boleh dikenakan tindakan pengkomitan sepertimana yang tertakluk dibawah S.229(1) Akta 585.

Contoh perintah pengkomitan ini terdapat didalam Borang MS 46 dalam Akta 585. Biasanya perintah ini akan dilakukan oleh Bailif dan akan dibantu oleh pihak polis.

Walaubagaimanapun, prosiding ini hanya akan dilakukan apabila terdapat permohonan atau aduan dari pihak isteri.

11.0 Kesimpulan

Setelah kita meneliti tentang hadhanah dan perkara yang berkaitan dengannya, dapatlah kita fahami bahawa tugas seorang hadhinah ini bukanlah suatu tugas yang ringan, tetapi ia memerlukan kita memberikan sepenuh perhatian dan tanggungjawab. Ini kerana kretiria dan syarat yang ditetapkan oleh Islam adalah bagi menjamin kemaslahatan dan masa depan anak-anak agar mereka tidak menjadi mangsa disebabkan perceraian di antara kedua ibu bapanya.

12.0 Rujukan

Abdul Monir Yacoob & Siti Shamsiah Md Supi. Undang-undang Keluarga Islam: 2006: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Dr. H. Ibnu Mas’ud & Dr. H. Zainal Abidin. Fiqih Mazhab Syafi’i: 2000: Penerbit Pustaka Setia Bandung.

Dr. Haji Mohd Radzuan Ibrahim. Munakahat: Undang-undang & Prosedur: 2006: Dri Publishing House.

Dr. Mat Saad Abd. Rahman. Undang-undang Keluarga Islam: Aturan Perkahwinan: Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa: 2007: Percetakan Zafar Sdn. Bhd.

Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. Kitab Fikah Mazhab Syafie: 2002: Prospecta Printers Sdn. Bhd.

Dr. Mustofa al-Siba’i. Syarh Qanun al-Ahwal Syakhsiah: 1997: Maktab Islami. Raihanah Abdullah. Wanita Dan Perundangan Islam: 2001: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd.

Wahbah Al-Zuhaili. Fiqh & Perundangan Islam: 2001: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.