Bila tuhan uji kita dengan satu2 masalah, baru boleh tahu setakat mana kefahaman kita tentang hukum agama. Hukum akidahnya macamana,hukum zahir fekahnya macammana,syariat batin tawakkalnya macamana.

Sampai ada tulisan diruangan social yang berbunyi “Sekarang manusia tidak bertuhankan Allah, bertuhankan Virus,sebab tu takut pada virus, dan takut pada virus itu syirik”

Jadi apa sebenarnya yang dia nak,orang macam ini melampau sebenarnya, tidak memahami dan tidak boleh beza antara syariat zahir fekah dan akidah pegangan.

Orang macam ni bawa pergi zoo letak tepi harimau, lepas tanya dia,takut tak pada makhluk, kalau takut pada makhluk syirik.

Kita orang awam memang takut pada makhluk yang berbahaya, tapi pegangan kita orang islam tetap, sesuatu yang berlaku itu adalah ketetapan Allah dan tidak akan berlaku sebarang manfaat dan mudharat melainkan yang telah ditentukan Allah.

Namun Syariat zahir fekah tetap suruh kita usahakan untuk menghindar daripada mudharat yang menimpa itu juga tuntutan agama.

Sebagaimana hadis “لاضرر ولاضرار”

Dan ayat alquran “ولاتلقوا بايديكم الى التهلكة”

Ilmu ini kena belajar bukan ikut faham sendiri.

Seperti pernah satu ketika dulu satu rakaman CCTV dikongsikan, semasa solat Jemaah didirikan berlaku gempa bumi yang kuat,lalu imam berhenti dan lari keluar masjid,ada beberapa orang makmum kekal solat tidak berganjak.Setelah ditarik baru makmum itu keluar,sejurus lepas itu masjid tersebut runtuh.

Berlakulah komen nitezen mengatakan imam tersebut tidak kuat imannya,makmum lebih kuat iman berbanding imam kerana tidak berganjak daripada solat.

Ini kejahilan,yang beri komen itu jahil,makmum yang tidak lari itu juga jahil dalam memahami ilmu, sebab tuntutan fekah wajib menyelamatkan diri bila berlaku mudharat.

*Kalau ikut sebenarnya imam yang lari keluar tersebut tidak perlu batalkan solat,solat boleh diteruskan dikenali dengan solat syiddatul khauf,berapakah langkah bergerak sekalipun tidak membatalkan solat cuma yang dilarang adalah menjerit/bercakap.Solat syiddatul khauf ada bab yang membicarakannya*

Pengenalan

Solat Khauf adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berperang dengan musuh atau dalam keadaan ketakutan akibat peperangan atau bencana alam dan malapetaka.

Dalam bahasa Arab, perkataan takut ini dikenali dengan istilah ‘khauf’.

Apabila perkataan solat dan khauf digabungkan, ia membawa maksud solat dalam situasi takut seperti dalam peperangan.

Ia berbeza dengan solat-solat yang lain kerana mempunyai beberapa rukhsah, terutamanya ketika berjemaah.

Ketika keadaan tidak aman dan memaksa seseorang sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau sentiasa terpaksa mengawasi sekelilingnya daripada ancaman musuh di dalam peperangan, solat boleh dilaksanakan dengan cara yang termampu bergantung kepada keadaan waktu itu.

Sebab-Sebab Yang Membolehkan Solat Khauf

Sepertimana solat musafir disyariatkan atas faktor kesulitan dengan syarat yang ditetapkan syarak, solat khauf juga disyariatkan dengan syarat-syarat tertentu dan disebabkan oleh faktor takut kepada ancaman dan serangan pihak musuh yang boleh mengancam keselamatan nyawa.

Antara sebab-sebab yang membolehkan solat khauf adalah seperti berikut:

Wujudnya musuh sama ada ia menggugat atau tidak (sekiranya terdapat tentera musuh yang bersedia untuk menyerang di sempadan, tentera Islam boleh solat Khauf walaupun pertempuran belum berlaku)
Melarikan diri daripada air banjir.
Melarikan diri daripada kebakaran.
Melarikan diri daripada perompak, penyamun atau pembunuh.
Apa-apa sahaja sebab yang boleh menimbulkan ketakutan secara umum.

Cara-Cara Mengerjakan Solat Khauf
Solat khauf sama ada dengan berjemaah atau bersendirian boleh dilakukan dengan beberapa cara mengikut kegawatan keadaan masa itu.

Panduannya boleh dilihat daripada apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Diharuskan untuk tentera melakukan solat dengan dua orang imam, di mana setiap kumpulan dengan seorang imam.

Diharuskan juga untuk tentera melakukan solat Khauf secara berjemaah dengan seorang imam mengikut mana-mana kaifiat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW telah melakukan beberapa kali solat khauf yang kesemuanya dengan berjemaah.

Solat khauf dilihat daripada kedudukan musuh dan peraturannya adalah seperti berikut:

1.Musuh tidak berada di arah kiblat
Apabila bilangan musuh sedikit dan orang Islam lebih ramai serta ada cukup kekuatan untuk bertahan, solat dilakukan dengan dua cara, iaitu:

Cara Pertama
Imam membahagikan tentera Muslimin kepada dua pasukan. Satu pasukan berjaga menghadap musuh dan pasukan yang kedua berbaris di belakang imam untuk solat berjemaah.
Apabila imam berdiri untuk rakaat kedua, makmum di belakang berniat mufaraqah dan menyudahkan solatnya secara bersendirian.
Selepas itu mereka mengambil alih tempat untuk berjaga. Pasukan yang berhadapan dengan musuh tadi pergi ke belakang imam untuk berjemaah dengan imam yang sedang solat rakaat kedua.
Apabila imam membaca tahiyat, makmum bangun mengerjakan rakaat kedua dan seterusnya solat seperti biasa dan mendapatkan imam yang sedang bertahiyat.
Seterusnya mereka memberi salam bersama imam.
Solat seperti ini sama seperti situasi dalam peperangan Zat ar-Riqa’
YouTube video
Dalam cara pertama ini, pasukan pertama boleh berimam sebanyak satu rakaat apabila solat itu hanya dua rakaat iaitu Subuh.

Tetapi apabila solat tiga atau empat rakaat, pasukan pertama boleh berimam sebanyak dua rakaat sebelum niat mufaraqah serta menghabiskan bakinya secara bersendirian sebelum masuk pasukan yang kedua.

Pasukan kedua walaupun hanya mengikut pergerakan imam satu atau dua rakaat iaitu baki rakaat imam, tetapi mereka boleh memberi salam bersama-sama imam.

Adilnya, pasukan pertama dapat bertakbiratul ihram bersama-sama imam.

Cara Kedua

Adalah dengan keadaan dan kedudukan sama, cuma setiap pasukan solat dengan sempurna.

Pasukan yang berada di belakang solat dengan sempurna bersama dengan imam.
Selepas salam, mereka berpindah ke hadapan mengambil untuk berjaga. Imam mendirikan pula solat sekali lagi dan kumpulan yang di hadapan pula solat bersama dengan imam.
Solat seperti ini sama seperti situasi solat dalam peperangan Batn-Nakhl.
2.Musuh berada di arah kiblat
Apabila tentera Muslimin hendak melakukan solat berjemaah serentak untuk mendapatkan fadilat jemaah yang lebih besar, imam hendaklah membahagikan jemaah kepada dua bahagian dalam dua, atau empat saf atau lebih.

Berikut adalah cara melakukan solat khauf dalam situasi ini:

Imam memerintahkan makmumnya berdiri dua saf dan solat serentak semua sekali.
Apabila imam sujud, makmum saf pertama sahaja sujud bersama, manakala makmum saf kedua tetap berdiri mengawal keadaan.
Apabila imam dan makmum saf pertama berdiri untuk rakaat yang kedua, barulah makmum saf yang kedua sujud dan mereka mendapatkan imam pada qiam rakaat kedua.
Apabila imam sujud rakaat kedua, makmum saf kedua berpindah ke hadapan dan sujud. Makmum saf pertama berpindah ke belakang berkawal dalam masa iktidal.
Kemudian mereka terus bersolat untuk menyertai kedudukan imam yang sedang duduk tahiyat dan semuanya memberi salam bersama-sama imam.
Solat ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peperangan di Usfan.

Sebuah hadis menceritakan, maksudnya:

Daripada Jabir r.a berkata: “Aku telah menyaksikan solat khauf bersama-sama Rasulullah SAW iaitu kami berbaris dua saf. Satu saf di belakang Rasulullah SAW sedangkan musuh diantara kami dan kiblat, lalu bertakbirlah Nabi SAW dan kami (semua barisan dari dua saf) juga takbir semua. Kemudian Baginda rukuk dan kami semua rukuk, kemudian Baginda mengangkat kepalanya lalu Baginda turun sujud bersama saf yang mengiringinya, sedangkan saf yang dibelakang tetap mengawasi musuh. Ketika Baginda selesai sujud, saf yang di hadapan juga selesai dan berdiri bersama Baginda. Dalam hadis lain, Jabir r.a berkata: kemudian Nabi SAW memberi salam dan kami pun ikut memberi salam semuanya.

Solat Ketika Sangat Takut
Ketika sangat takut disebabkan keadaan terlalu gawat dan tidak berupaya melakukan solat secara berjemaah, diharuskan solat berseorangan:

Sama ada ketika menaiki tunggangan, menaiki kenderaan atau berjalan kaki.
Sama ada menghadap kiblat atau tidak dengan memulakan takbiratul ihram ke arah kiblat jika berupaya.
Sama ada imam di hadapan atau di belakang, masing-masing boleh menghadap ke mana-mana pihak yang dapat.
Sah solatnya apabila terpaksa melakukan perbuatan yang banyak seperti menembak, menikam, menetak musuh berturut-turut beberapa kali.
Harus memegang senjata yang ada darah yang banyak kerana terpaksa. Walau bagaimanapun, tidak dibenarkan bercakap-cakap atau bertarik-tarik.

Sumber Rujukan & Penutup
Untuk memastikan panduan ini tepat, artikel ini adalah merujuk kepada Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa dan Praktik Solat Waktu Kritikal, Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff.

Semoga panduan ini dapat membantu anda dalam mengerjakan solat dalam waktu-waktu yang kritikal dan darurat.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.