Umat Islam perlu peduli mengenai hibah untuk membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dengan secara dokumentasi bukan hanya melalui lisan saja, demi kelangsungan untuk urus harta kita dengan lebih mudah dan berkesan. Sebelum ini saya telah menyampaikan dalam khutbah di Masjid Darus Saadah, Kuching, Sarawak untuk difahami dengan jelas mengenai hibah. Hal ini kerana, ia serius untuk dibincangkan, menurut laporan media dan pakar-pakar dalam pengurusan harta orang Islam mengatakan bahawa, Di Malaysia, dianggarkan RM90 bilion har­ta beku yang berbentuk tanah dan rumah (aset tetap).

Sementara itu, melebihi 6.6 bilion ringgit (aset tidak tetap) seperti dalam akaun bank dan insurans terbeku dan tergantung yang belum diwariskan dan belum dituntut setelah berlakunya kematian pemilik aset. Hakikatnya harta tersebut tetap mempunyai pewaris. Tetapi mempunyai halangan-halangan dalam pemindahan milik, antaranya kerana tidak dilakukan segera oleh ahli waris. Fenomena ini sangat merugikan ekonomi umat Islam secara amnya.

Perlu difahami, bahawa harta yang tidak dituntut di ne­gara ini sehingga tahun lepas yang melibatkan 90% daripadanya aset milik umat Islam sejak merdeka sehingga sekarang.

Jika melihat kita kepada kaedah penilaian hartanah ia akan meningkat setiap tahun paling kurang 5% setiap tahun, misalnya kalau nilai hari ini 100k ribu, tahun depan naik ke 105k, 106k, 110k dan seterusnya.

Walau bagaimanapun, angka ini sebenarnya amat membimbangkan kerana banyak kesan negatif, apabila waris atau masyarakat tidak memahami ilmu mengurus harta seperti hibah, wasiat, wakaf dan faraid.

Pembekuan harta pusaka ini berlaku disebabkan beberapa masalah besar seperti masalah kematian yang telah berlapis-lapis, anak angkat, anak tidak sah taraf atau tiada kesedaran atau ilmu dalam pengurusan harta. Oleh itu, sekirannya tanpa penyelesaian yang menyeluruh, masalah tersebut terus berpanjangan dan membelenggu harta pusaka orang Islam di Malaysia.

Berdasarkan laporan tersebut, maka dapatlah kita mengambil iktibar agar ia tidak berlaku kepada generasi-generasi yang akan datang. Maka mimbar pada hari ini, cuba memberi tumpuan kepada sidang Jumaat sekelian kepada dua perkara yang perlu difahami terlebih dahulu iaitu Hibah dan Wasiat yang merupakan dua instrument (alat) penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam.

Berdasarkan kepada petikan hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ

Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia.

Jelaslah kepada kita bahawa, hadis tersebut mengisyaratkan kepada umat Islam agar tidak meninggalkan waris-warisnya dalam keadaan kesusahan sehingga meminta-minta.

Dalam memahami yang dimaksudkan Hibah ini, terdapat dalam hadis yang direkodkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

“Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.”

Secara umumnya, perkataan Hibah yang berasal daripada bahasa arab iaitu HUB (Kasih Sayang) yang menunjukkan perasaan kasih sayang kita kepada seseorang.

Pada pandangan ulama Fekah, Hibah adalah salah satu akad pemberian sesuatu harta daripada seorang pemilik harta kepada seorang penerima harta semasa hidup mengikut rukun dan syarat sahnya sesuatu Hibah dibuat. Rukun merupakan perkara-perkara yang menyokong sesuatu transaksi (urusan) untuk menentusahkan dalam hukum syarak dan undang-undang Islam mengikut negeri-negeri di Malaysia.

Oleh itu, secara mudahnya, untuk mengesahkan sesuatu Hibah dibuat adalah sah dan patuh syariah. Khatib cuba memberi gambaran kepada jemaah sekalian, ia seumpama kita melaksanakan majlis akad nikah. Dalam majlis akad nikah, kalau kita berkahwin, kita akan ada orang yang memberi tawaran atau orang yang melakukan ijab Kebiasaannya wali kepada pengantin perempuan dan yang menerima itu adalah pengantin lelaki (suaminya atau wakli kepada suaminya).

Maka Hibah dalam Islam yang sah mengikut hukum syarak haruslah diadakan majlis akad yang jelas seperti juga majlis akad nikah berlangsung dalam sesuatu kedudukan dalam masa yang serentak, barulah kita panggil masa yang sama seperti kita buat majlis akad nikah. Maknanya ada berlaku sighah (lafaz ijab dan qabul) iaitu sebaik saja penawaran berlaku, orang yang menerima hibah itu terus terima. Itulah adalah gambaran pelaksanaan hibah yang betul iaitu sah dan sempurna dalam segi hukum syarak dan perundangan Islam agar tidak dicabar di mahkamah kelak dengan sebab berlaku pertikaian oleh ahli waris lain pada masa akan datang setelah kita meninggal dunia dan harta yang digunakan mendapat amalan jariah yang terus menerus dengan kebaikan dan keberkatan dunia dan akhirat.

Sekarang kita sudah nampak gambarannya, Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup oleh pemberi hibah secara sukarela dan tanpa ada balasan (iwad), Manakala, Wasiat pula bermaksud pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.

Kedua-dua instrument (alat) ini digalakkan dalam Islam kerana kedua-dua hukumnya adalah sunat, sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. Maka, melalui hibah dan wasiat dapat membantu kaum kerabat atau ahli waris kita dalam keadaan yang harmoni.

Setelah kita memahami dua perkara ini, maka tiada lagi tanggapan yang tidak tepat kerana Hibah dan Wasiat adalah perkara yang mesti ditumpukan terlebih dahulu kerana kedua-dua ini mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam Islam sebelum pembahagian hukum faraid terhadap para warisnya.

Dalam istilah moden, Hibah disebut sebagai pemberian kasih sayang. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT. dalam surah Al Baqarah ayat 177:

لَيْسَ الْبِرَّاَنْ تُوَلُّوْا وُجُوْهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ وَالْكِتٰبِ وَالنَّبِيّٖنَ ۚ وَاٰتَى الْمَالَ عَلٰى حُبِّهٖ ذَوِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِۙ وَالسَّاۤىِٕلِيْنَ وَفىِ الرِّقَابِۚ وَاَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ ۚ وَالْمُوْفُوْنَ بِعَهْدِهِمْ اِذَا عَاهَدُوْا ۚ وَالصّٰبِرِيْنَ فِى الْبَأْسَاۤءِ وَالضَّرَّاۤءِ وَحِيْنَ الْبَأْسِۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ

Maksudnya: Sesuatu kebajikan itu bukan hanya kamu menghadapkan wajahmu ke arah timur dan arah barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab, para Nabi-nabi; bahkan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang musafir, peminta-minta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan ketabahan mereka yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan, penderitaan dan pada masa peperangan.  Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.

Hibah mempunyai perbezaan yang jelas berbanding pemberian secara wasiat mahupun hak faraidh. Wasiat dan faraidh adalah pemberian atau hak yang berkaitan dengan kematian pemilik harta, manakala Hibah adalah pemberian semasa hidup.

Maka, mimbar hari ini, memberi gambaran kepada Jemaah sekalian dengan 4 kelebihan dalam Hibah iaitu:

Pertama: Kadar penentuan harta yang dihibahkan tidak ditetapkan.

Hal ini tidak sama dengan wasiat, di mana harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 harta pusaka. Manakala pembahagian harta mengikut faraidh pula adalah berdasarkan ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dengan jelas dalam surah an-Nisa` pada ayat 11,12 dan 176 yang perlu dirujuk oleh sidang jemaah sekalian.

Kedua: Harta boleh diurus sebelum kematian.

Di antara jalan untuk membolehkan kita dapat beramal menurut syariat, maka sewajarnya kita memutuskan untuk menghibahkan mana-mana harta yang di miliki kepada ahli waris atau yang bukan ahli waris. kerana itu, antara keutamaan bagi pemilik harta itu sendiri menghibahkan mana-mana hartanya supaya pemberi hibah dapat beramal dengan syariat Hibah dan dapat melakukan amal soleh ke atas hartanya sewaktu masih hidup.

Ketiga: Mengelak harta beku selepas kematian.

Amalan hibah dapat mengelakkan harta dari menjadi  beku dan tidak dapat di manfaatkan. Ini sering terjadi bagi yang tidak ada pewaris atau waris enggan membahagikan harta kerana tidak mahu dilihat seolah-olah tamak harta.

Keempat: Mengelakkan waris bertelagah selepas kematian.

Pertelingkahan ahli waris sering terjadi,terutama berkaitan aset tetap.seperti rumah sewa atau rumah kedai. disebabkan harta berada di tempat berbeza maka nilainya juga berbeza. Bagi mengelakkan kemungkinan pertelingkahan maka hibah juga adalah jalan penyelesaian awal yang baik.

Setelah kita memahami konsep Hibah dan Wasiat dalam Islam, Mimbar sekali lagi, menyeru seluruh jemaah mengambil manfaat dari kebaikan mengenai Hibah demi untuk kebaikan diri kita, keluarga dan umat Islam amnya. Berhibahlah, kerana harta yang dihibahkan akan menjadi penolong kita di akhirat di samping penyelesaian kepada persoalan harta beku yang d sebut pada awal khutbah tadi. Perlu juga di ingatkan, sebaik-baik cara hibah adalah dengan adanya dokumentasi yang sah dan mengikut undang-undang di negeri ini.

Akhirnya, mimbar dengan tegas, mengajak sidang Jumaat mengambil serius perkara yang telah diterangkan tadi agar kita menjadi insan yang bertanggungjawab terhadap waris dengan menimba ilmu yang cukup terutama dalam hukum syarak agar tidak berlaku perkelahian kelak. Oleh itu, sentiasalah mendapat bimbingan seperti melalui kuliah selepas maghrib yang diadakan setiap hari selasa malam rabu di masjid ini. Pesan Saidina Ali: Kalau kita ada ilmu, ilmu yang jaga kita, kalau kita ada harta kita kena jaga harta, sebab itu kalau hendak jaga harta mesti ada ilmu.

Justeru, walaupun kita bukan golongan hartawan, perlu diingatkan bahawa di luar sana, berapa ramai yang tiada ilmu untuk mengurus harta sehingga harta mereka beku dan tergantung, tambahan pula dengan berlaku pergaduhan dalam kalangan ahli waris setelah pemilik harta meninggal. Tetapi bagi kita, sekurang-kurang menjadi orang tengah untuk membantu mereka sebagai pembuka jalan keluar dengan sebab kita ada sedikit ilmu pengurusan harta dalam Islam.

Masih kesamaran tentang hibah? Bagaimana untuk buat pengesahan hibah atau perlukan peguam syarie untuk menyelesaikan masalah ini KLIK SINI untuk bantuan teknikal atau boleh teruskan bacaan tentang pemilikan harta dalam Islam.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.