Etika didefinisikan sebagai prinsip tingkah laku individu yang diterima dari segi moral. Etika juga bermaksud kepercayaan peribadi seseorang individu tentang kelakuan yang baik dan buruk. (Ho Jo Ann & Tee Keng Kok, 2013)

Walaupun definisi ringkas ini menyampaikan intipati etika, namun terdapat tiga implikasi yang perlu diberi pertimbangan lanjut iaitu:

i-Etika didefinisikan oleh individu. Hanya orang sahaja mempunyai etika, sedangkan organisasi tidak mempunyai etika;

ii-Apa yang membentuk kelakuan beretika boleh berbeza antara seorang dengan yang lain; dan

iii-Etika bersifat relatif; ia bukan mutlak. Ini bermaksud bahawa walaupun sesuatu kelakuan itu dianggap beretika mengikut kaca mata orang yang melihat, ia biasanya perlu akur kepada norma-norma sosial yang diterima umum.

Apakah yang menjadikan sesetengah individu beretika dan sesetengah yang lain tidak? Mengapa sesetengah orang jujur, manakala yang lain tidak? Menurut Ho Jo Ann & Tee Keng Kok (2013), menyatakan terdapat lima faktor yang menjadi peranan penting dalam pembentukan etika individu, iaitu :

Ilustrasi : Faktor Pembentukan Etika Individu

i-             Pengaruh Keluarga

Sedarkah kita bahawa individu mula membentuk piawai etika mereka sejak dari zaman kanak-kanak lagi? Kanak-kanak membentuk piawai etika mereka apabila persepsi mereka mula bertindak balas terhadap kelakuan ibu bapa mereka. Kanak-kanak lebih berkemungkinan akan menerap piawaian etika yang tinggi apabila mereka melihat ahli keluarga mereka berpegang kepada piawaian yang tinggi (seperti bercakap benar). Serta menerima ganjaran kerana mengikutinya, dan dihukum jika ingkar kepada piawaian tersebut.

Sebaliknya, jika ahli keluarga terlibat dengan kelakuan tidak beretika (seperti tidak bercakap benar), dan membiarkan anak-anak mereka melakukan perkara yang sama, maka kanak-kanak tersebut berkemungkinan akan membentuk piawaian etika yang lebih rendah.

ii-            Pengaruh Rakan Sebaya

Apabila kanak-kanak memasuki sekolah, mereka dipengaruhi oleh rakan- rakan sebaya yang berinteraksi dengan mereka setiap hari. Sebagai contoh, jika rakan sebaya seorang kanak-kanak yang terlibat dengan kegiatan mencuri barangan kedai, melakukan vandalisme atau menyalahguna dadah, maka kanak-kanak itu mungkin mengambil keputusan untuk melakukan perkara yang sama. Sebaliknya, jika rakan-rakannya mempunyai piawaian etika yang lebih tinggi dan menolak kelakuan tersebut, kanak-kanak berkenaan mungkin akan menerap piawaian tinggi ini.

iii-           Pengalaman Hidup

Pelbagai peristiwa positif mahu pun negatif membentuk kehidupan manusia dan mempengaruhi kepercayaan dan kelakuan etika kita. Peristiwa-peristiwa ini merupakan sebahagian daripada proses pembesaran dan menjadikan kita lebih matang.

Sebagai contoh, seseorang yang mencuri dan tidak tertangkap tidak akan berasa kesal dan akan terus mencuri. Walau bagaimanapun, seseorang yang telah tertangkap mungkin berasa sangat bersalah sehingga mengubah piawaian etikanya dan memastikan dirinya tidak lagi mencuri pada masa akan datang.

iv-          Nilai dan Moral Peribadi

Nilai dan moral juga mempengaruhi piawaian etika seseorang. Sebagai contoh, seseorang yang menjadikan wang dan kemajuan peribadi sebagai keutamaan tertingginya akan menyerapkan kod etika peribadi yang bersifat mengejar kekayaan.

Dengan itu, ia akan cuba mendapatkan ganjaran yang diingini dengan tidak menghiraukan kesannya terhadap orang lain tanpa sebarang belas kasihan.

Sebaliknya, bagi seseorang yang memberi keutamaan kepada keluarganya, dia akan menyerap suatu piawai etika yang berbeza.

v-           Faktor Keadaan

Faktor terakhir dalam mempengaruhi etika individu. Kadangkala tanpa disangka-sangka, manusia mendapati diri mereka dalam keadaan yang mendesak mereka bertindak bertentangan dengan pertimbangan baik mereka.

Sebagai contoh, terdapat sesetengah orang yang melakukan pemalsuan akaun perbelanjaan kerana kesempitan wang. Pernyataan ini bukan bertujuan untuk mewajarkan ketidakjujuran mereka, tetapi menjelaskan konteks untuk kita memahami mengapa individu kadangkala boleh berkelakuan tidak beretika apabila mereka tiada pilihan lain.

Rujukan:

Ho Jo Ann, & Tee Keng Kok. (2013). Etika Profesional. Open University Malaysia.

Mohd Arif, S. (2016, November 29). Rasuah: Maksud, Sejarah dan Amalan. http://apaituilmu.blogspot.com/2016/11/rasuah-maksudsejarah-dan-amalan.html

Zeckry, M. S. (2018a, May 29). Prinsip Etika: Ciri-ciri masalah dalam Etika • Muhammad Zeckry. Muhammad Zeckry. http://zeckry.net/2018/05/29/prinsip-etika-ciri-ciri-masalah-dalam-etika/

Zeckry, M. S. (2018b, May 29). Prinsip Etika: Ciri-ciri masalah dalam Etika • Muhammad Zeckry. Muhammad Zeckry. http://zeckry.net/2018/05/29/prinsip-etika-ciri-ciri-masalah-dalam-etika/

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.