Usul Feqh : Pengaruh Perubahan Hukum Islam

Pengaruh perubahan terhadap pembinaan hukum Islam ini telah diaplikasikan sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi, melalui kaedah Fiqh: ‘Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa” secara jelas membukti dan mengiktiraf boleh berlaku pembinaan hukum yang bersifat semasa. (Majid, 1998)

Ibn ‘Abidin al-Hanafi menjelaskan: Bahawa terdapat banyak juga hukum-hukum yang dibina oleh mujtahid berasaskan suasana yang ada pada zamannya. Oleh itu, hukum-hukum tersebut akan berbeza dengan berbezanya masa kerana berlaku perubahan ‘uruf ahlinya (penduduk setempat) atau kerana berlaku darurat atau kerana kerosakan akhlak masyarakat.

Sekiranya dikekalkan hukum itu atas sifat yang dahulu juga akan menimbulkan mashaqqah (kesukaran) dan kemudaratan kepada manusia dan akan menyalahi kaedah-kaedah syariat yang diasaskan atas dasar meringan, memudah dan menolak kemudaratan dan kerosakan, bagi tujuan mengekalkan sistem hidup di atas hukum-hukum yang terbaik.

Oleh kerana inilah kita dapati para fuqaha mazhab telah menyalahi hukum yang dinaskan oleh imam mujtahid mereka dalam banyak masalah yang dibina berasaskan suasana pada zamannya. Mereka berpendapat kalau beliau masih hidup pada zaman mereka, nescaya beliau akan memberi fatwa sepertimana mereka berfatwa berdasarkan kaedah-kaedah mazhabnya.”

Justeru, tugasan bertujuan untuk menilai dan menganalisis konsep perubahan hukum akibat pengaruh masa dan tempat menurut perspektif usul feqh dengan memberikan penumpuan kepada perubahan dan perbezaan hukum yang diambil dalam fatwa di Malaysia. Di samping itu, penulis mengemukakan cadangan solusi kepada masyarakat umum dalam menyingkapi perbezaan fatwa tersebut.

KONSEP PERUBAHAN HUKUM AKIBAT PENGARUH MASA DAN TEMPAT MENURUT PERSPEKTIF ILMU USUL FIQH

Imam Syihabuddin Al Qarafi berkata: “Sesungguhnya hukum yang muncul diakibatkan oleh pelbagai adat atau tradisi, tetap berlaku sepertimana adat tersebut berlaku. Sebaliknya, hukum-hakam tersebut juga boleh tidak berlaku jika adat atau tradisi tersebut tidak berlaku. Contohnya seperti wang dalam akad-akad muamalat dan yang lainnya. Jika wang tersebut berubah dengan menggunakan wang lain, maka nilai yang digunakan adalah wang yang baru tersebut.

Kaedah ini telah disepakati oleh para ulama dan beragam fatwa yang dikeluarkan sepanjang masa selalu diselaraskan dengannya. Selama adat atau tradisi berkembang atau berubah, maka keberadaannya tetap dipertimbangkan dalam penetapan hukum-hakam atau peniadaannya. (Sulong, 2017)

Justeru, konsep perubahan hukum akibat perubahan masa dan tempat, banyak disentuh dalam perbincangan ulama berkenaan ‘urf. ‘Urf bermaksud nilai semasa atau setempat yang kerap dilakukan oleh sesebuah masyarakat atau sesetengah golongan sehingga menyebabkan perkara tersebut perlu diambil kira dalam penentuan hukum syarak.

Namun, ‘urf bukanlah penentu sebenar kepada hukum, tetapi sebaliknya ia berperanan sebagai garis panduan dalam penentuan hukum agar ia benar-benar dapat menjamin kemaslahatan manusia.

Sebagai contoh, hukum memasuki tandas awam dengan kadar bayaran tetap adalah harus sekalipun amalan ini pada zahirnya bercanggah dengan kaedah umum dalam Islam iaitu kemungkinan berlaku gharar padanya.

Gharar yang dimaksudkan adalah merujuk kepada kekaburan dalam penentuan kadar penggunaan air serta tempoh masa berada di dalam tandas awam yang kadangkalanya tidak sepadan dengan kadar bayaran tetap yang telah dikenakan.

Namun demikian, para ulama telah bersepakat mengharuskan amalan ini berdasarkan kaedah masalih mursalah demi mengelak kesulitan yang bakal ditanggung oleh masyarakat awam jika ia tidak dilaksanakan. Tambahan pula, ia telah menjadi suatu kebiasaan atau ‘urf dalam masyarakat dan telah diamalkan secara baik tanpa menimbulkan sebarang masalah.

APLIKASI RASULULLAH SAW DAN PARA SAHABAT YANG MENGAMBIL KIRA PENGARUH MASA DAN TEMPAT

 

Pertama :       Kemaslahatan (Al-Masalih Al-Mursalah)

Perkatan al-Masalih adalah jama` daripada perkataan maslahah. Dari segi bahasa maslahah bermaksud manfaat atau kebaikan. Manakala dari segi istilah maslahah bermaksud : Menarik manfaat dan menolak kemudharatan. Ia juga bermaksud: Menjaga maksud Syara` untuk memelihara lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Al-Masalih al-Mursalah ialah maslahah yang tidak disyariatkan hukum untuk mencapainya oleh Syara dan tidak ada suatu dalil Syarak yang menetapkannya atau yang menghapuskannya.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah Ta`ala telah mensyariatkan Islam, maka dijadikannya mudah dan tidak menyusahkan dan Dia tidak menjadikannya sempit” (Riwayat Tabrani)

Terdapat amalan para sahabat Rasululah yang memberi fatwa hukum berdasarkan maslahah masyarakat pada waktu itu. Contohnya, Khalifah Abu Bakar al-Sidduq mengumpulkan al-Quran kepada satu mashaf.

Hukum-hukum Syariat yang dilandasi dengan kemaslahatan semasa boleh menerima perubahan hukum jika sandaran kepada kemaslahatan itu sendiri telah berubah. Ini sesuai dengan kaedah “sesuatu yang dilandaskan kepada suatu ‘illat berkisar menurut ‘illatnya ada atau tidak ada”  (Wan Mukhtar, 2009)

 Kedua : `Uruf

Dari segi bahasa `uruf bermaksud pengetahuan. Manakala menurut istilah Syarak `uruf ialah ” sesuatu adat majoriti sesuatu kaum dari segi perkatan, pengucapan atau amalan”

Ia juga bermaksud : Sesuatu yang sentiasa dilakukan secara berulang-ulang dalam sesuatu masyarakat yang diterima oleh akal dan jiwa untuk diamalkan sehingga menjadi adat kebiasaan masyarakat tersebut.

Firman Allah SWT : Ambillah yang mudah dan suruhlah kebaikan mengikut apa yang diketahui oleh manusia dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil (al-A`raaf : 199)

Dalam sejarah perkembangan hukum di zaman Rasulullah SAW, jelas kepada kita bagaimana Islam meneruskan dan mengambil kira `uruf masyarakat jahiliyyah yang baik dan tidak bercanggah dengan nas Syarak.

Contoh : Mengikut `uruf orang Arab, sekufu adalah sesuatu yang perlu diambilkira dalam perkahwinan, walaupun semua manusia sama di sisi Islam. Tujuannya ialah untuk menjaga masa depan perkahwinan pasangan tersebut.

 Ketiga : Syura

Syura atau disebut juga dengan perundingan bersama adalah prinsip utama dalam proses pembuatan sesuatu keputusan dan pelaksanaannya. Nabi Muhammad SAW telah diarahkan oleh Allah SWT untuk berunding dengan para sahabat dalam perkara-perkara yang kebaikan masyarakat secara umumnya. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW telah mempamerkan sifat kemurahan dan kemuliaan ketika berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan mereka percaya dengan kekuasaan Baginda SAW.

Contoh : Selepas peperangan Badar, Nabi Muhammad SAWmeminta pandangan para sahabat seperti Abu Bakr al-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab dan ‘Ali bin Abi Talib tentang nasib tawanan perang yang berjumlah seramai 70 orang. Abu Bakr al-Siddiq RA mencadangkan agar Nabi Muhammad SAW mengambil fidyah atau tebusan daripada tawanan perang yang merupakan kaum keluarga dan rakan-rakan Nabi Muhammad SAW ketika berada di Mekah. Abu Bakr memberi alasan bahawa tebusan yang diterima itu akan memberi kekuatan kepada umat Islam melawan golongan kuffar. Abu Bakr juga optimis bahawa dengan tebusan itu juga Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka untuk menerima agama Islam.

Sementara itu ‘Umar bin al-Khattab mengusulkan agar tawanan perang Badar itu dibunuh sahaja kerana menurut ‘Umar bahawa mereka adalah pemuka-pemuka dan ketua golongan kuffar di Mekah yang kuat memerangi Nabi Muhammad SAW.

Akhirnya, Nabi Muhammad SAW cenderung menerima pandangan Abu Bakr al-Siddiq dengan mengambil tebusan daripada tawanan yang tidak memiliki harta dengan jumlah 4,000 dirham. Manakala tawanan yang tidak memiliki harta untuk membayar tebusan yang dikehendaki, hendaklah mengajar kanak-kanak golongan Ansar menulis. Walau bagaimanapun, turun wahyu yang membenarkan pandangan ‘Umar bin al-Khattab berkenaan tawanan perang itu.

Firman Allah SWT bermaksud :

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Anfal ayat 67-69)

Dari aspek ini, nyatalah bahawa pada zaman Rasulullah SAW syura direalisasikan dengan berbagai cara. Pelaksanaan demikian dari sudut ilmiah mengundang pentafsiran dan analisis yang menunjukkan sunnah fi‘liyyah dalam kes ini bukanlah sebagai satu-satunya model yang mutlak dan abadi. Ini kerana perjalanan syura pada masa Baginda dilaksanakan dalam bentuk yang sederhana. (Aini, 2009)

Keempat : Keadilan

Melalui kaedah keadilan, Nabi Muhammad SAW berurusan dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, status, kepercayaan dan keturunan. Ini termasuklah peluang-peluang menjalankan kegiatan ekonomi, pendidikan, pemulihan, agihan harta rampasan perang, pengamalan agama dan kepercayaan dan sebagainya.

Sebagai contoh, orang-orang bukan Islam yang dikategorikan sebagai ahli zimmah atau zimmi. Mereka terikat dengan perjanjian yang dinamakan perjanjian zimmah. Perjanjian ini menyaksikan bahawa mereka boleh kekal dalam agama mereka dan boleh mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.

Di samping itu, mereka berhak mendapat perlindungan dan penjagaan daripada masyarakat Islam dcngan syarat mereka perlu membayar jizyah.

Mereka juga perlu mendisiplinkan diri dengan undang-undang Islam yang tidak berkaitan dengan urusan agama mereka. Dengan perjanjian tersebut, mereka diiktiraf secara automatik memiliki kewarganegaraan Islam.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengingatkan maksudnya “Sesiapa yang menganiaya ahli zimmah, mengurangi haknya, membebankan sesuatu di luar batas kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi hujah atas dirinya pada hari kiamat”.

Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah seorang perwira bagi bangsanya atau kaumnya sendiri. Baginda tidak terikat dengan kesejahteraan mana-mana puak, kelas, masyarakat atau bangsa. Justeru, ketika masih hidup, orang-orang Habsyah, Parsi, Rom dan Mesir menjadi kawan setia dan pendukungnya. Hasilnya, manusia dari pelbagai bangsa dan penjuru dunia telah menerima Baginda sebagai pemimpin mereka. Umpamanya dalam peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah (Ethiopia). (Aini, 2009).

ISU YANG BERBEZA HUKUM KESAN PENGARUH MASA DAN TEMPAT DALAM INSTITUSI FATWA DI MALAYSIA

Menurut (Muhammad Ikhlas Rosele, 2017) Institusi  fatwa  sentiasa  menjadi  rujukan  bagi  umat  Islam  di  Malaysia. Terdapat pelbagai fatwa yang diputuskan dalam berbagai  bidang kehidupan sama ada muamalat, ibadat hinggalah ke bidang sains dan teknologi. Ini menunjukkan institusi fatwa mempunyai peranan yang signifikan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Di Malaysia, fatwa yang diputuskan dapat dikategorikan dalam tiga bentuk, iaitu pertama, fatwa yang diwartakan; kedua, jawapan-jawapan fatwa yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa dan ketiga, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti secara persendirian  berbentuk lisan  dan  tulisan.  Hanya fatwa kategori pertama sahaja yang mengikat, manakala kategori kedua dan ketiga tiada sebarang implikasi undang-undang. Namun, terdapat perselisihan beberapa isu dengan sebab pengaruh masa dan tempat dalam institusi fatwa di Malaysia di antaranya :

  • Zakat pendapatan

Iaitu  antara  negeri  Selangor  dengan  Perak.  Kerajaan  Negeri  Selangor telah mewartakan fatwa mengenai kewajipan zakat gaji atau pendapatan pada 9 Mei 2001 dan membayarnya kepada Pusat Zakat Selangor.

Kaedah pembayaran zakat pendapatan tersebut adalah melalui Skim Potongan Gaji (SPG) oleh Lembaga Zakat Selangor  (LZS).  Kaedah  ini  dilaksanakan  dengan  melakukan taksiran  gaji,  iaitu  jumlah  zakat  pendapatan  setahun  (2.5%  X jumlah  pendapatan  setahun)  dibahagikan  dengan  12  bulan.

Terdapat beberapa kaedah taksiran zakat pendapatan iaitu kaedah tanpa penolakan keperluan asas yang mana [2.5% X pendapatan kasar setahun] dibahagikan dengan 12 bulan, atau kaedah dengan melakukan tolakan asas yang mana  2.5%  daripada  pendapatan kasar  setahun  yang  telah  ditolak  beberapa  perbelanjaan  yang dibenarkan (diri sendiri, isteri, anak-anak, KWSP) dan dibahagikan dengan 12 bulan.

Manakala kaedah seterusnya adalah melakukan tolakan terhadap perbelanjaan sebenar yang meliputi keperluan asas (makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan, pendidikan dan tempat tinggal), dan 2.5% daripada baki (sekiranya mencukupi nisab) akan dibahagikan dengan 12 bulan. SPG yang dilakukan oleh LZS ini dilihat cuba menerapkan  konsep ta‘jil zakat (membayar zakat sebelum cukup haul). Tetapi setelah dilakukan analisis, ianya tidak menepati syarat-syarat ta‘jilzakat (antara syaratnya adalah harus dilakukan selepas memiliki nisab yang sempurna).

Fatwa yang diputuskan oleh Mufti dan Jawatankuasa Perunding Hukum  Syarak  Selangor  ini  dilihat  berbeza  dengan  apa  yang diputuskan oleh Mufti dan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Keputusan fatwa berkenaan zakat gaji atau pendapatan di Negeri Perak adalah seperti berikut:

“Bahawa gaji atau pendapatan  termasuk  dalam kategori yang wajib zakat apabila cukup nisab dan haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan oleh  jumhur  ulama  dalam  mazhab  yang  empat.

Syarat ini tidak berlaku pada gaji atau pendapatan maka gaji atau pendapatan tidak wajib zakat”. Persamaan  fatwa  antara  dua  negeri  ini  adalah  menyatakan bahawa hasil pendapatan ataupun gaji adalah diwajibkan zakat.

Namun,  perbezaan  yang  berlaku  adalah  dari  sudut  penetapan haul dan nisab. Jawatankuasa Syariah Negeri Perak menegaskan bahawa zakat pendapatan diwajibkan hanya apabila cukup haul dan  nisab.  Manakala Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor memfatwakan kewajipan zakat tanpa meletakkan syarat  cukup  haul  dan  nisab.  Lebih-lebih  lagi  Lembaga  Zakat Selangor melaksanakan kutipan zakat sebelum cukup haul dan sebelum mencukupi nisab.

Konflik fatwa antara Jawatankuasa Kebangsaan dengan negeri dan antara negeri dengan negeri ini memperlihatkan berlakunya pertentangan  antara  pandangan  yang  mengharuskan  dengan pandangan yang mengharamkan sesuatu isu.

Dengan kata lain, dalam satu isu, ada pandangan yang membolehkan dan yang tidak membolehkan, bukan sekadar perbezaan dalam nada yang sama, iaitu  yang  membenarkan  sahaja  ataupun  pandangan-pandangan yang melarang sahaja tetapi dengan penghujahan berbeza. Situasi yang timbul ini menyebabkan masyarakat awam menjadi keliru dan autoriti fatwa dipertikaikan. (Khairuldin, 2014)

  • Perlantikan Hakim Syarie Wanita Di Mahkamah Syariah

Konflik (Mengikut Institusi Fatwa Negeri dan Muzakarah) Kelantan,  WPKL  &  MJKFMKBHEUIM  menyatakan  harus  kecuali dalam  kes  hudud  dan  qisas,  manakala  Pulau  Pinang  dan  Kedah menfatwakan wanita tidak boleh dilantik menjadi hakim.

Pada pertengahan tahun 2010 lalu, pertama kali dua wanita Melayu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah di negara ini, iaitu Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak yang diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong Malaysia.

Sebelum itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-73, yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006 memutuskan bahawa wanita harus dilantik menjadi hakim syarie dalam kes-kes selain hudud dan qisas. Selanjutnya, Muzakarah itu menyatakan pemilihan dan pelantikan itu hendaklah dibuat dengan penuh teliti dan teratur.

Di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di semua negeri pada masa ini, mahkamah syariah negeri kita hanya ada bidang kuasa membicarakan kes-kes jenayah takzir sahaja, di mana hukuman yang boleh dikenakan oleh hakim bicara tidak boleh melebihi maksima 3:5:6 (iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebat). Semua mahkamah syariah negeri kita tidak ada bidang kuasa mendengar dan membicarakan kes hudud dan qisas. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Fatwa Majlis Kebangsaan tidak menjadi undang-undang kecuali fatwa berkenaan diwartakan. Setelah diwartakan (lalu berwajah undang-undang), ia hanya berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja. Fatwa Majlis Kebangsaan, sekali pun telah diwartakan, tidak berkuatkuasa di negeri. Negeri memerlukan fatwanya tersendiri mengenai isu ini. Dan fatwa negeri itu pula mestilah juga diwartakan untuk menjadikannya berkuatkuasa sebagai undang-undang di negeri berkenaan. (Buang, 2016)

  • Pelaburan ASB dan ASN

Muzakarah  Jawatankuasa  Fatwa  Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFMKBHEUIM) Kali  Ke-80  yang  bersidang  pada  13  Februari  2008 telah  memutuskan  bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Berhad adalah harus.

Dividen  dan  bonus  yang  diterima  juga  adalah  diharuskan.  Keputusan  fatwa  ini  berbeza  dengan fatwa  yang  diputuskan  oleh  sebahagian  negeri  di  Malaysia,  contohnya  di  Negeri  Selangor. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 telah memutuskan bahawa Pelaburan ASN dan ASB adalah tidak halal (Jabatan Mufti Selangor).

Perbezaan keputusan fatwa antara dua institusi ini adalah ketara. Walaupun fatwa itu tidak diwartakan sehingga tidak melibatkan perundangan, namun ia mendatangkan kekeliruan terhadap masyarakat.  Asas keputusan fatwa  MJFMKBHEUIM  adalah  berasaskan  maslahah  dan  menjaga kepentingan umat Islam. Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melihat isu ini berteraskan

larangan mencampur adukkan perkara haram dan halal. Perbezaan ini adalah berpunca daripada perbezaan metodologi dan pendekatan di mana satu pihak rigid berpegang pada nas dan pihak yang lain melihat kepentingan dan kemaslahatan umat Islam. (Muhammad Ikhlas Rosele, 2017)

  • Fatwa Zakat KWSP

Menurut (Muhammad Ikhlas Rosele, 2017) antara isu yang fatwa yang berbeza adalah zakat KWSP. Contohnya perbezaan antara fatwa antara Terengganu  dan  Sarawak.  Jawatankuasa  Fatwa  Negeri  Terengganu  memutuskan  bahawa  zakat KWSP diwajibkan apabila  pencarum menerima wang tersebut dan melalui haul  setahun daripada tarikh  penerimaan.  Manakala  Lembaga  Fatwa  Negeri  Sarawak  memutuskan  bahawa  pencarum digalakkan mengeluarkan zakat sejurus wang tersebut diterima. Asas perbezaan ini wujud dalam  perbahasan  haul  harta al-mustafad,  iaitu  pemilikan sejumlah  harta  dalam  satu-satu  masa.

Menurut  mazhab  yang  empat mal  al-mustafad tidak dikenakan zakat kecuali cukup nisab dan melalui haul setahun (al-Zuhayli, 2004). Walaupun begitu, terdapat  juga  golongan  yang  tidak  mensyaratkan  haul bagi  zakat mal  al-mustafad,  mereka antaranya ialah Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud, Mu’awiyah, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, al-Hasan, al-Zuhri dan Imam   Ahmad  menurut   sesetengah   riwayat.   Al-Qaradawi   telah   mentarjihkan   pendapat   yang menyatakan  zakat al  al-mustafad hendaklah dibayar  sejurus diterima (al-Qaradawi,  1994).  Oleh itu, perbezaan  ini  adalah  berasaskan  pemilihan  pandangan  dan  pentarjihan  yang  dilakukan  oleh institusi fatwa.

 

CADANGAN SOLUSI KEPADA MASYARAKAT UMUM DALAM MENYINGKAPI PERBEZAAN FATWA TERSEBUT

 

  • Kewujudan perselisihan pendapat dalam  fatwa  di Malaysia, khususnya perbezaan dalam keputusan fatwa. Beberapa perbezaan fatwa dan konflik ini hakikatnya disebabkan beberapa faktor dan memberi implikasi dari pelbagai aspek. Justeru, ia Masyarakat perlu peka dan mendalami dalam sesuatu isu semasa dalam memelihara keharmonian  pengamalan  agama  Islam  di  Malaysia,  secara  tidak  langsung  mampu  mewujudkan kesepakatan dalam mempertimbangkan isu keagamaan.

 

  • Perselisihan pendapat di kalangan ulama-ulama Islam, terutama yang diakui kepakaran keilmuannya, mampu menunjukkan kedewasaan sikap dan toleransi yang tinggi. Keberadaan pendapat mereka bersandarkan Al Qur’an, Hadis dan Ijtihad, tidak memaksakan pendapat, dan sentiasa menerima kebenaran dari siapa pun datangnya. Namun, mereka tidak pernah memposisikan pendapat mereka sebagai yang paling absah sehingga wajib untuk diikuti. Oleh itu, masyarakat seharusnya memahami dengan memperluaskan keilmuan setiap masa agar dapat bersikap terbuka.

 

  • Kita tidak perlu bingung sekiranya mendapati perbezaan pendapat tentang suatu fatwa, jika mendapatkan fatwa yang berbeza, maka hendaklah kita mengikuti pendapat yang dilihatnya lebih mendekati kebenaran, iaitu berdasarkan keluasan ilmunya dan kekuatan imannya, sebagaimana jika seseorang sakit, lalu ada dua doktor yang memberikan nasiha tyang berbeza, maka hendaklah dia mengikuti perkataan doktor yang dipandangnya lebih benar dalam memberikan ubat. Sekiranya ada dua pendapat yang dipandangnya sama, atau tidak dapat menguatkan salah satu pendapat yang berbeza itu, maka menurut para ulama, hendaklah dia mengikuti pendapat yang lebih tegas, kerana itu lebih berhati-hati. Sebahagian ulama lainnya mengatakan, hendaklah dia mengikuti yang lebih mudah, kerana demikianlah dasar hukum dalam syari’ at Islam. Ada juga yang berpendapat, boleh memilih di antara pendapat yang ada.

 

  • Masyarakat dapat cadangan agar Jabatan Mufti Negara dapat ditubuhkan bagi penyelarasan khusus dan autoriti dalam lapangan kefatwaan di Malaysia agar isu Aqidah dan Syariah diseragamkan dalam negara.

 

KESIMPULAN

Keunikan hukum Islam ini memerlukan kita cukup berhati-hati di dalam menanggapi kehendak dan bentuknya yang sebenar. Apa yang disebut sebagai hukum Islam itu sebenarnya ialah ketentuan ketentuan yang difahami dari ideal dan prinsip Syariat. Ketentuan-ketentuan ini perlu kemaskini dan dapat melayani kehendak dan keperluan masyarakat. Tanpa memenuhi syarat-syarat ini sesuatu ketentuan atau kesimpulan hukum itu bukan bersifat Islam yang sebenarnya.

Maka ini, menggambarkan proses penerapan hukum harus mengambilkira faktor-faktor seperti keadaan, masa dan tempat. Langkah pengubahsuaian hukum boleh dilakukan andai mempunyai cukup alasan untuk disesuaikan dengan keperluan semasa dan setempat. Ini bererti hukum sedia ada dalam batas-batas tertentu boleh menerima modifikasi atau mengekalkannya bergantung kepada faktor-faktor tersebut. Perkara tersebut merupakan langkah pemeribumian hukum yang melibatkan suatu proses pemindahan satu hukum atau fahaman fiqh yang sedia ada kepada suatu bentuk hukum atau fahaman fiqh yang baru.

Justeru, prinsip Syariat adalah dasar-dasar hukum yang ditetapkan oleh Syariat Islam sebagaimana yang terdapat dalam wahyu. Ia merupakan nilai-nilai yang perlu diambil kira dan dihormati oleh setiap fuqaha dalam berijtihad mengenai hukum. Dalam banyak hal prinsip-prinsip ini merupakan suatu dasar umum yang boleh menerima pentafsiran-pentafsiran yang berbeza-beza mengikut perbezaan kenyataan dan keperluan hidup serta juga kematangan ilmu dan cara berfikir. Tetapi dalam setengah hal ianya berupa dasar-dasar, dan malah ketentuan-ketentuan terperinci yang tidak menerima banyak pentafsiran meski bagaimana sekalipun perubahan zaman dan keperluan.

Namun, perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ sememangnya sering terjadi. Ini adalah lumrah kerana manusia mempunyai perbezaan pendapat berdasarkan kefahaman dan hujah dalam sesuatu landasan ilmu. Oleh yang demikian, masyarakat seharusnya bersifat keterbukaan dalam menyingkapi konflik fatwa yang berbeza di antara negeri-negeri di Malaysia kerana ia berdasarkan `uruf keadaan setempat. Selain itu, kesedaran dan penyebaran ilmu usul feqh ini harus dikembangkan agar masyarakat lebih jelas dan memahami keadaan perselisihan fatwa hukum berlaku.

RUJUKAN

Aini, M. A. (2009). Sirah Nabawiyyah dan Akhlak. Selangor: Open University Malaysia.

Buang, S. (2016, Februari 29). Rencana Utusan Malaysia. Didapatkan dari Hakim Wanita Di Mahkamah Syariah: http://www.utusan.com.my/

Jamian, M. (2017, March 01). Konsep Perubahan Hukum Akibat Dipengaruhi Masa Dan Tempat. Didapatkan dari https://sites.google.com/

Khairuldin, W. M. (2014). Aplikasi Proses Penfatwaan Dalam Kaedah Penyelidikan Berteraskan Islam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Majid, M. Z. (1998). Sejarah Pembinaan Hukum Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.

Muhammad Amar . (2013). Kaedah Usul Fiqah. Selangor: Pustaka Al-Ehsan.

Muhammad Ikhlas Rosele, e. (2017, Februari 01). Konflik Fatwa Di Malaysia. Didapatkan dari https://www.academia.edu/

Rahman, N. N. (2009). Usul Fiqh ( I ). Selangor: Open University Malaysia.

Rosele, L. A. (2016). Isu Perbezaan Fatwa Di Malaysia : Satu Tinjauan. Seminar Fatwa Antarabangsa 2016 (hlm. 190-193). Kuala Lumpur: Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Sulong, M. Z. (2017, March 08). Pengaruh Perubahan Dalam Pembinaan Hukum Siyasah Syar`iyyah. Didapatkan dari https://www.researchgate.net

Wadi. (2011, November 24). Bagaimana Menghadapi Perbezaan Pendapat di Kalangan Ulama. Didapatkan dari http://addienblog.blogspot.my

Wan Mukhtar, W. M. (2009). ABSY1103 Pengenalan Kepada Syariah. Selangor: Open University Malaysia (OUM).

 

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *