Menurut (Kamus Dewan, 2016) usahawan merupakan orang yang mengusaha sesuatu perusahaan  atau seorang pengusaha. Keusahawan pula, bermaksud segala yang berkaitan dengan usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan seperti mencari teknik-teknik baru, sikap atau etika dalam mempercepatkan proses pembangunan dan pengurusan dalam bidang tersebut.

Mengikut (Mubarak, 2017) perkataan    keusahawanan    dan    usahawan    umumnya    tidak digunakan secara langsung dalam tradisi keilmuan Islam. Istilah berkenaan  berbeza  dengan  istilah  perniagaan,  peniaga  dan  jual beli (tijārah,  tājir  dan  al-bayᶜ)  (تجارة, تاجر,البيع)  yang biasa ditemui  dalam  perbahasan  berkaitan Fiqh  al-Tijārah (فقه التجارة) dan   ekonomi   Islam.

Istilah   tersebut   disebut secara langsung  dalam  al-Quran  dan  al- Sunnah  berkaitan  kedudukan dan  galakannya dalam  Islam,  akhlak,  serta  amalan  berkaitan dengan   perniagaan   atau   ekonomi   secara   prinsip   dan   juga praktikal.

(Siddiqi, 1979) pula berpendapat bahawa intipati   kelakuan keusahawanan    dalam    masyarakat    Islam    terarah    kepada keuntungan yang memuaskan, perkhidmatan kepada masyarakat dan sikap saling bantu-membantu dan menjaga keharmonian. Ini menunjukkan bahawa aktiviti  keusahawanan  Islam,  selain  faktor  pendapatan dan keuntungan, sebenarnya turut menekankan aspek kebajikan serta sumbangan terhadap keperluan dan kemaslahatan ummah.

Manakala, (Al-Qaraḍāwī, 2001)  membincangkan dari sudut soal  nilai  dan  akhlak  dalam  ekonomi  Islam dengan   mengatakan   bahawa   keusahawanan   sebagai   suatu bentuk  ibadah  melalui  aktiviti  ekonomi  dalam  pelbagai  sektor (pengeluaran dan perkhidmatan) yang memberi manfaat kepada manusia  untuk  meningkatkan  taraf  atau  keperluan  kehidupan agar  menjadi  lebih  sempurna  dan  sejahtera  mengikut  neraca Ilahi.

Dalam Islam, usahawan dapat difahami dengan golongan yang menjalankan kegiatan perniagaan dengan produk halal seperti urusniaga tanpa riba kerana pengharamannya berdasarkan perlanggaran prinsip-prinsip harta, akhlak dan menjaga kepentingan orang ramai serta berteraskan dengan nilai akhlak mulia yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana Nabi SAW telah menekankan kepentingan sifat amanah yang merupakan prinsip yang akan membawa kepada keberkatan dalam perniagaan.

EMPAT ciri usahawan menurut al-Quran, hadith, dan sirah.

-Amanah dan bertanggungjawab

Amanah adalah satu konsep yang luas meliputi sikap bertanggungjawab terhadap Allah SWT dan juga terhadap sesama manusia. Konsep tanggungjawab kepada Allah s.w.t. bermakna segala harta dan kekayaan adalah milik Allah SWT. Manusia bertanggungjawab menguruskannya bagi kesejahteraan dan faedah bagi seluruh umat manusia. Justeru, amanah dan tanggungjawab seorang usahawan dalam perniagaan ialah membawa manfaat dan faedah kepada sesama manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis bermaksud: Pengkhianat yang paling besar dan paling babaya ialah yang dilakukan oleh seseorang yang ditugaskan menjaga urusan orang ramai lalu diabaikan.

Tindakan dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang samada pembeli atau pengusaha mendapat haknya. Penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.

-Bersabar Untuk Kaya

Sabar bermakna mampu menanggung kesukaran tanpa gelisah untuk mendapatkan pulangan hasil walaupun lambat. Dalam dunia perniagaan, sifat sabar sangat penting kerana keuntungan tidak akan diperoleh dengan cepat. Selain itu, sikap sabar penting dalam menghadapi kerenah dalam perniagaan seperti, keadaan ekonomi yang meleset, peraturan dan tekanan penguatkuasaan dan pesaing.

Justeru, fenomena ini adalah berdasarkan prinsip al-Quran bahawa setiap manusia pasti akan diuji. Lantaran itu, manusia mesti mengatur segala persediaan untuk menghadapi ujian. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Muhammad, ayat 31: Maksudnya: Dan Sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar antara kamu dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwal kamu.

 

Sabar untuk mendapat keuntungan yang cepat, kelakuan peniaga yang tamak, mahu mendapat keuntungan dengan menyorok atau menyimpan barang-barang tersebut dalam jumlah yang  banyak  dengan  tujuan  untuk  menjual  barangan  tersebut dengan  harga  yang  mahal  apabila  masyarakat  menghadapi kesukaran untuk mendapatkannya, juga dilaknat Tuhan. Perbuatan ini adalah satu jenayah perniagaan dalam Islam.

Peniaga  Islam  sepatutnya  memahami  keuntungan  adalah ditentukan  oleh  Allah  berdasarkan  kepada  usaha  dan  cara mereka menjalankan  urusan  perniagaan.  Keuntungan  yang diperoleh  dengan  memonopoli  barang  secara  menyorok  atau

menyimpannya dengan  jumlah  yang  banyak  sehingga  menyukarkan masyarakat  bukan  satu  keuntungan  yang  berkekalan kerana  ia  adalah bertentangan dengan konsep dan prinsip perniagaan Islam. (Saodah, 2017)

 

Proaktif dan Kreatif

Seorang usahawan perlu bersikap proaktif dan berpandangan jauh ke hadapan. Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, merupakan seorang yang bersifat proaktif apabila setiap langkah tindakannya sangat jauh ke hadapan sehingga menjangkau pemikiran manusia biasa. Sikap proaktif ini boleh kita lihat apabila Baginda telah mengadakan aktiviti pemigaan di tempat yang strategik seperti pasar-pasar di Mekah yang merupakan tempat tumpuan orang ramai terutama pada musim haji. Hubungan perniagaan merupakan pembuka hubungan silaturahim dan penyebaran dakwah.

Sehinggakan hubungan tersebut membawa kepada termeterainya perjanjian Aqabah pertama dan kedua sebagai persediaan sebelum Baginda dan umat Islam berhijrah ke Madinah. Justeru itu, seorang usahawan perlu berfikiran kreatif dalam mengendalikan perniagaan. Seorang usahawan perlu kreatif terutama semasa melakukan perubahan atau pembaharuan dalam pemasaran barangan agar lebih baik daripada barangan yang dikeluarkan oleh para pesaing.

Berilmu Pengetahuan

Usahawan yang berjaya adalah mereka yang membina kemahiran, pengalaman dan sumber yang diperlukan sebagai kelebihan dalam merebut peluang. Ilmu berupaya meningkatkan kewibawaan, potensi dan keunggulan diri.

Nabi Muhammad SAW. telah dibekalkan dengan asas ilmu keusahawanan yang ditimba melalui bapa saudaranya, Abu Talib, sewaktu Baginda mengikutinya berniaga. Firman Allah SWT : Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman anataramu dan orang-orang yang diberi pengetahun beberapa darjat, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.(Surah al-Mujadalah : 11)

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.