Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya adalah perlanggaran di antara mana-mana kenderaan sama ada  kereta, lori, bas dan motosikal yang berlaku dengan pelanggaran sesama jenis kenderaan atau dengan mana-mana pejalan kaki, haiwan atau halangan yang diletakkan di tengah-tengah jalan.

Menurut Nordin (2010) kemalangan maut iaitu kemalangan yang mengorbankan nyawa pengguna jalan raya semakin kerap berlaku dan kemalangan tersebut telah melibatkan ramai penunggang motokar, pengguna kenderaan mewah dan penumpang bas-bas ekspres mati disebabkan kecuaian pemandu kenderaan. Maka, isu ini selalu terpampang berita media massa seperti kereta terbabas, mati kena langgar, terhimpit, terhumban dan tercedera.

Oleh yang demikian, kemalangan yang berlaku boleh menyebabkan banyak kecederaan atau kerosakan kepada harta benda. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kemalangan seperti reka bentuk jalan, kecuaian pemandu dan reka bentuk kenderaan yang boleh menyebabkan jenis kemalangan yang serius dan paling berbahaya. Mengikut laporan Kosmo (2005) pada tahun 2002, kecederaan akibat kemalangan jalan raya telah bertambah sebanyak 2.6 peratus dan angka ini dikatakan bersamaan dengan 23 peratus daripada keseluruhan punca kematian akibat kecederaan berbanding kes bunuh diri sebanyak 16.9 peratus, peperangan (3.4 peratus) dan kekejaman domestik (10.8 peratus).

Sebenarnya, isu kemalangan jalan raya semakin kerap diperkatakan oleh pelbagai pihak dengan nisbah sehari bagi setiap satu kemalangan yang berlaku. Kebimbangan terhadap setiap bilangan peningkatan kadar kemalangan perlu diambil kira bagi mengetahui punca utama kemalangan tersebut berlaku. Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia, hampir 1.2 juta penduduk di seluruh dunia mati akibat kemalangan jalan raya dan angka ini dipercayai akan terus meningkat sehingga 65 peratus dalam tempoh dua dekad yang akan datang. Kebanyakan dari kemalangan ini dilaporkan berlaku di negara-negara membangun (Kosmo, 2005)


Berita kemalangan jalan raya menjadi popular apabila musim cuti persekolahan dan musim sambutan perayaan. Hal ini akan mendorong warga kota tidak kira agama dan bangsa untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Justeru, tulisan ini bertujuan membincangkan sebab-sebab dan mencadangkan penyelesaian cara pencegahan kemalangan yang melibatkan kemalangan maut jalan raya di Malaysia.

2.0 Penyebab dan Penyelesaian Kemalangan Maut Jalan Raya

Terdapat tiga faktor dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan kemalangan jalan raya, kenderaan, pemandu dan jalan raya. Maka ini menjelaskan kepada kita bahawa pemandu, kenderaan dan jalan menjadi faktor kemalangan. Tiada satu daripada tiga perkara itu, kemalangan tidak berlaku.

Tetapi apabila diamati, jika tiada pemandu, kemalangan pasti tidak akan berlaku. Meurut Talib Ria Jaafar et.al (2003) faktor pengguna jalan raya adalah penyumbang utama kepada berlakunya kemalangan jalan raya. Faktor ini termasuklah ketidakmahiran, kelalaian, kecuaian dan ketidaksabaran semasa mengendali kenderaan. Sabey dan Staughton (1983) mencerapkan faktor pengguna menyumbang kepada 95% kemalangan jalan raya dan faktor yang berhubung kai tantara pengguna jalan dengan persekitaran pula menyumbang 25% kemalangan jalan raya.

Maka, disini penulis menjelaskan tiga penyebab kemalangan maut jalan raya iaitu :

i) Sikap Pemandu

Penyebab paling utama ialah pemandu. Persoalannya, pemandu bagaimanakah yang menyebabkan berlaku nahas di jalan raya. Tidak mungkin pemandu yang selalu berhati-hati dan bertanggungjawab sehingga menyebabkan kemalangan. Pastinya pemandu tidak bertanggungjawab dengan sikap suka mencelah, menghimpit, melanggar lampu isyarat, memecut sesuka hati di laluan tidak sepatutnya dan berlumba di jalan raya.

Selain itu, punca kemalangan kerana sikap pemandu yang gemar memotong di laluan kecemasan, menukar lorong sewenang-wenangnya dan tidak memberikan tumpuan ketika memandu. Manakala, pemandu yang tidak bertanggungjawab pula merupakan mereka yang tiada langsung tidak melakukan persediaan sebelum berada di jalan raya, tidak memeriksa kenderaan serta tidak mempedulikan keadaan jalan raya dan cuaca.

Oleh itu, sepatutnya tabiat negatif seperti itu perlu dihindarkan terlebih dahulu kerana jalan raya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai satu kemudahan, bukan tempat yang menyimpan kenangan pahit sepanjang hayat. Pengguna motosikal adalah merupakan 53% daripada penguna kenderaan bermotor dan mempunyai kadar kematian yang tinggi jika dibandingkan dengan penguna jalan raya yang lain.

Namun, ramai yang sudah menjadi korban dan kini tiba masanya untuk kita sama-sama mengubah pemikiran dan sikap daripada banyak melakukan kesilapan dan kecuaian semasa di jalan raya untuk mengurangkan kesilapan dan kecuaian tersebut.

ii-Kenderaan

Keselamatan kenderaan salah satu penyebab yang perlu diambil kira apabila berada di jalan raya, seperti kenderaan dipastikan berfungsi dengan baik, emosi terkawal, kesihatan diri serta keadaan jalan dan cuaca. Malah, pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua, sehinggakan mereka yang berumah di tepi jalan raya perlu diambil kira, kerana mereka juga mahu selamat.

Justeru, kita tidak boleh menganggap kerana kita berkenderaan lebih besar, tinggi dan panjang, seperti lori, bas dan pacuan empat roda, kita tidak akan mengalami apa-apa apabila bertembung dengan kenderaan lain. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, sewajarnya sikap bertimbang rasa di antara lain ketika memandu. Sebaliknya, apabila sudah menjadi mangsa, sewajarnya kita tidak mempersalahkan pihak lain.

Selain itu, permasalahan kenderaan yang tidak sesuai dengan jalan raya juga menjadi faktor sebagaimana menurut Sharul Othman Mansor (2018), bahawa peningkatan jumlah kenderaan yang tidak sejajar dengan pembangunan infrastruktur jaringan jalan raya dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan di Malaysia.

iii-Jalan Raya

Kemalangan yang berlaku akibat reka bentuk jalan yang tidak teratur dan kerosakan sehingga menyebabkan berlaku kemalangan. Ia boleh berlaku melalui penglihatan yang berbahaya yang terdiri daripada penyatuan lorong, ternakan atau lintasan pejalan kaki dan sebagainya (Essay UK, 2019).

Kemalangan itu juga berlaku disebabkan permukaan jalan yang tidak teratur yang menyebabkan ketidakseimbangan kenderaan dan menyebabkan perlanggaran dengan kenderaan atau infrastruktur lain. Persekitaran yang tidak sesuai kepada pengguna adalah seperti jalan yang berliku-liku dan terlalu curam, ketidaksuaian reka bentuk dan geometrik jalan, ketiadaan papan tanda, persilangan yang bersimpang siur dan lampu jalan yang tidak jelas di persimpangan jalan pada waktu malam.

Oleh yang demikian, penyelenggaraan jalan raya yang kurang baik juga menyumbang kepada beberapa kemalangan kereta. Menurut Talib Ria Jaafar et.al (2003) bilangan penduduk jauh lebih tinggi dalam  kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar. Sebaliknya, yang bilangan kematian trafik jalan raya di kawasan luar bandar (66%) adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kawasan bandar (34%). Trend ini mungkin disebabkan reka bentuk jalan raya, kedekatan perkhidmatan perubatan kecemasan dan tidak digunakan tali pinggang keledar serta kelajuan kenderaan tinggi di luar bandar kawasan-kawasan.

Menurut kajian Yusria Darma (2017) jalan raya negeri merupakan yang terbesar peratus daripada jumlah jalan raya persekutuan, dengan nilai 84.9%. Walau bagaimanapun, adalah menarik untuk diperhatikan bahawa bilangan kematian lalu lintas tertinggi berlaku di jalan persekutuan jalan raya. Kadar kematian jalan raya tertinggi setiap tahun kilometer berlaku di lebuh raya. Menurutnya, kenderaan yang tinggi kelajuannya mungkin menjadi sebab utama mengapa kadar tertinggi kematian berlaku di lebuh raya, kemudian diikuti oleh jalan raya persekutuan berbanding kemalangan di jalan negeri atau jalan kampung.

2.2 Penyelesaian mengelakkan kemalangan maut

Disini penulis membincangkan tedapat tiga penyelesaian yang akan membantu mengelakkan kemalangan maut jalan raya.

i- Kelakuan Pemandu

Ketika memandu, cuba amalkan selalu mencongak pada diri sendiri, kemungkinan yang bakal berlaku jika memecut, membelok atau memperlahankan kenderaan. Jika kemunginan itu tidak diingini carilah jawapan untuk mengelakkannya.

Pemandu bertanggungjawab sentiasa memastikan pemanduannya tidak berisiko, misalnya dalam perjalanan jauh, tidak alpa berhenti di kawasan rehat bagi menghilangkan penat. Ada juga yang mengamalkan petua minum kopi terlebih dulu, mengaktifkan sistem audio, menyanyi atau bercakap-cakap dengan penumpang dan sesekali membuka cermin tingkap bagi menghindarkan kelesuan dan mengantuk.

Menurut kajian di London misalnya, aroma kopi menjadikan pemandu berhemah, bau kayu manis mengurangkan risiko insiden buli di jalan raya, tetapi bau makanan segera menjadi pemanduan sebaliknya (Manan, 2010).

Selain itu, pendekatan pendidikan adalah bertujuan untuk menyedari pengguna jalan raya supaya berhemah dan berdisplin semasa di jalan raya seperti mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Sementara pendekatan penguatkuasaan pula bertujuan untuk mengubah kelakuan dan sikap pengguna jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang adalah merupakan kaedah yang lebih berkesan untuk mengubah kelakuan dan tabiat manusia jika dibandingkan dengan kaedah Pendidikan.

Hasilnya boleh dilihat dengan penurunan kemalangan dan kematian setiap kali apabila pihak polis melancarkan Ops Statik disepanjang tempoh tertentu semasa adanya perayaan . Penggunaan topi keledar meningkat dengan adanya undang-undang pengunaan dan peratus penggunaannya hanya 50 % sekiranya tiada undang-undang. Kajian yang di jalankan di Australia menunjukkan terdapat bukti yang mana pelajaran mengenai keselamatan jalan raya disertai dengan penguatkuasaan dapat meningkat prestasi keselamatan jalan raya. Oleh itu, kaedah yang paling berkesan untuk mengubah sikap dan tabiat manusia ialah melalui kaedah penguatkuasaan pada peringkat permulaan dan seterusnya melalui pendidikan. (Talib Ria Jaafar et.al, 2003).

Oleh itu, di antara perkara yang dapat kita mengelakkan kemalangan maut ini seperti pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan ke destinasi yang hendak dituju supaya tidak memandu dalam keadaan terburu-buru kerana kesesakan lalu lintas akan mengakibatkan kita lebih mudah menjadi tertekan. Selain itu, pemandu perlu tidur dan rehat secukupnya bagi memastikan tidak mengantuk dan keletihan ketika memandu terutamanya pemanduan dalam jarak yang jauh.

Disamping itu, pemandu juga perlu tanamkan sifat penyabar dan berhemah ketika di jalan raya manakala bagi golongan penunggang dan pembonceng motosikal pula, supaya sentiasa menggunakan jaket keselamatan yang berwarna cerah serta dilengkapi dengan bahan pemantul cahaya bagi menambahkan darjah kebolehlihatan kepada pengguna lain di jalan raya terutama pada waktu malam.

Menurut Sharul Othman Mansor (2018) terdapat lima perkara boleh dipraktikkan masyarakat untuk menjadi pemandu ataupun pengguna berhemah iaitu pandang jauh ke hadapan, buang segala gangguan, mempunyai pelan keselamatan, kekalkan jarak selamat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

a-Pandang jauh ke hadapan

Pandang jauh ke hadapan bermaksud kita perlu melihat sejauh yang boleh ketika pemanduan. Mengetahui apa yang ada di hadapan akan membolehkan kita bersedia kepada perkara yang paling buruk. Ini membolehkan kita mengambil langkah pencegahan yang berkesan terhadap perkara luar jangka.

b-Hindari gangguan

Hindari gangguan bermaksud kita buang segala gangguan. Perhatian yang terganggu ketika memandu ialah yang paling bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya. Penggunaan telefon, mendengar lagu atau makan kuih sekalipun adalah contoh kepada gangguan perhatian. Walaupun kita sekadar ‘mengintai’ mesej telefon sekadar lima saat, pada kelajuan 90 km/jam jaraknya sama seperti kita memandu sepanjang padang bola tanpa melihat jalan. Oleh itu, pemanduan hendaklah sentiasa memerlukan perhatian penuh kerana kita bukan saja perlu melihat jalan, tetapi juga perlu menjadi peka terhadap potensi bahaya di sekeliling kita .

c-Mempunyai pelan keselamatan

Ini bermaksud, ketika memandu kita perlu memastikan kenderaan dalam keadaan yang boleh dilihat dengan jelas pemandu lain. Kita juga perlu memberi isyarat kepada pemandu lain sebelum bertukar lorong atau membelok supaya pemandu lain boleh menjangkakan arah tuju pemanduan kita. Selain itu, pastikan kita menghidupkan lampu apabila menjelang senja di dalam terowong ataupun ketika hujan. Amalkan ia sebaik berada dalam kawasan yang sumber cahayanya terhad. Ini dapat mengelakkan pemandu lain dari bertembung dengan anda.

d- Mengekalkan jarak selamat

Kebarangkalian amat tinggi untuk kita kemalangan ialah merempuh kenderaan di depan kita. Maka, mengekalkan jarak selamat adalah cara yang paling mudah dan paling berkesan dalam pemanduan berhemah.Ia juga sebenarnya adalah peraturan yang kerap diabaikan pemandu. Jarak selamat antara kenderaan akan memberikan anda masa yang secukupnya untuk bertindak balas.

e-Peka dengan keadaan sekeliling

Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Ketika memandu, pastikan mata kita sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang. Mata kita perlu sentiasa sensitif. Jika kita dapati ada pemandu yang agresif atau cuai, tingkatkan jarak, beri laluan atau berhenti perlahan-lahan ke tepi. Selain itu, sentiasa peka dengan kehadiran motosikal, basikal dan pejalan kaki. Oleh itu, tingkatkan pemanduan secara berhati-hati pada hujung minggu, waktu pergi dan pulang sekolah atau cuti sekolah kerana kanak-kanak terdedah kepada bahaya jalan raya (Mansur, 2019).

ii-Keselamatan Kenderaan

Keselamatan kenderaan merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Menurut Yusria Darma (2017) punca kemalangan disebabkan oleh faktor kenderaan pula adalah 5.5%. Faktor kenderaan yang kerap menyebabkan berlaku perlanggaran adalah seperti sistem brek yang tidak berfungsi dan tayar yang pecah atau meletup semasa pemanduan.

Begitu juga dengan pemilik-pemilik kenderaan berat seperti lori dan bas, perlu patuh dengan standard piawaian yang telah ditetapkan ke atas kenderaan berat. Selain itu status tayar celup perlu dititik beratkan bagi kenderaan berat kerana jika diperhatikan, hanya dengan sebiji tayar terdapat pertindihan beberapa bidang kuasa antara pihak KPDNKK, MOSTI dan juga JPJ.

Oleh yang demikian, ketegasan status servis kenderaan berat misalnya, apabila berlaku rasuah dengan menyuap agensi yang berkaitan supaya kenderaan diluluskan untuk meneruskan perjalanan di atas jalan raya. Tetapi pengakhirannya, kenderaan berat anda telah merempuh beberapa biji kenderaan ringan dengan alasan brek tidak makan. Mati akibat kecuaian kenderaan berat adalah perkara biasa di negara Malaysia sejak kebelakangan ini.

Sewajarnya, budaya suap-menyuap di dalam industri berkenaan dapat diambil tindakan tegas. Maka, Kementerian Pengangkutan dapat menekankan tahap penguatkuasaan terhadap kenderaan berat terutamanya agar rakyat Malaysia sentiasa berasa yakin dan selamat apabila berada di jalan raya yang sama dengan kenderaan-kenderaan berat ini.

Selain itu juga zaman sekarang ciri keselamatan bertekologi tinggi yang telah diperkenalkan, namun terdapat juga pemandu leka sehingga bergantung sepenuhnya. Menurut Mukhtar (2019) satu kajian oleh pihak AAA Foundation of Traffic Safety mendapati satu masalah baru muncul di mana para pemandu gagal memahami batasan sistem keselamatan kenderaan walaupun ianya merupakan teknologi terbaru di pasaran. Mereka sepatutnya sedar yang setiap teknologi itu mempunyai batasannya tersendiri sehingga pemandu bergantung harap sepenuhnya kepada ciri keselamatan moden seperti adaptive cruise control, sistem pengawasan blind-spot dan brek automatik.

Kajian tersebut bertumpu kepada sama ada pemandu bersedia untuk kenderaan semi autonomi di mana mereka masih perlu mengawal kenderaan dalam keadaan tertentu dan bukannya sepertimana yang terdapat pada kenderaan autonomi penuh. Contohnya kemalangan maut di Arizona melibatkan kenderaan Uber Volvo XC60 dengan pelbagai ciri keselamatan terkini dan seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan pada waktu malam. Punca kejadian dikatakan bila pemandu tidak memberikan perhatian yang sepatutnya dan menyerahkan pemanduan kepada sistem sepenuhnya. Kajian AAA berjaya menemui tiga ciri keselamatan yang kebanyakannya membuatkan pemandu menjadi lalai. Selain itu, penggunaan sistem adaptive cruise control. Berdasarkan kajian AAA, hampir 29 peratus pemandu yang menggunaan sistem ini gemar melakukan ‘aktiviti’ lain sebaik sistem diaktifkan.

Menurut kajian tersebut juga, keyakinan pemandu terhadap sistem pengawasan blind-spot. 80 peratus responden didapati langsung tidak memahami had sistem ini khususnya dalam mengesan kehadiran kenderaan, basikal, pejalan kaki dan macam-macam lagi. Disebabkan itulah 25 peratus menukar lorong tanpa menoleh kiri dan kanan.

Selain itu menurutnya, perkara membimbangkan ialah ramai responden yang memahami perbezaan antara amaran perlanggaran hadapan (forward-collision warning) dan sistem brek automatik. Yang pertama tu sekadar untuk amaran manakala yang kedua itu adalah bertindak. 33 peratus lagi pula gagal memahami yang sistem brek automatik bergantung kepada kamera dan sensor yang mungkin terhalang oleh kotoran dan debu.

Oleh yang demikian sistem teknologi keselamatan kenderaan memang dihasilkan dengan tujuan dan keupayaan tersendiri tapi ia mungkin menjadi punca kemalangan khususnya dalam kenderaan semi-autonomi jika pemandu sentiasa leka dan gagal memahami fungsi-fungsinya.

Justeru, kemalangan maut di jalan raya boleh dielakkan dengan mamastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan semua kelengkapan keselamatan berfungsi dengan spesifikasi sepatutnya serta penggunaan sistem teknologi yang hadnya agar kita leka dengan aktiviti lain.

iii- Keselamatan Jalan Raya

Oleh itu, pemasangan kamera penguatkuasaan trafik seperti kamera kelajuan di lokasi blackspot (terutamanya lebuhraya dan jalan persekutuan) mungkin penyelesaian yang berdaya maju untuk mengurangkan bilangan kematian trafik jalan raya disebabkan oleh mempercepatkan. Kemalangan jalan raya boleh dikurangkan dengan pendekatan kaedah 3E (Engineering, Education, dan Enforcement).

Langkah yang boleh dilakukan di dalam pendekatan kejuruteraan ialah dengan menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada pengguna seperti melebarkan dan meluruskan jalan raya sempit dan berselekoh, menyediakan papan tanda yang jelas, menyediakan lorong pejalan kaki dan laluan motosikal, persimpangan yang teratur dan lampu jalan yang terang (Talib Ria Jaafar et.al, 2003).

Walau bagaimanapun, kerajaan telah memperkenalkan berbagai undang-undang dan telah memperbaiki persekitaran dan menaik taraf jalan raya dengan tujuan untuk mengurangkan kemalangan dan kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya. Penurunan kemalangan tidak akan tercapai walauapapun langkah pencegahan yang diambil selagi pengguna tidak mengubah sikap.

3.0 Kesimpulan

Hasil perbincangan ini dapatlah disimpulkan bahawa kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang masih tinggi disifatkan sebagai punca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan.

Ini menunjukkan faktor manusia seperti memandu melebihi had laju, cuai dan gagal mematuhi arahan keselamatan merupakan punca utama kemalangan jalan raya di negara ini. Sehubungan itu, pengguna jalan raya perlu lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati antara satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu.

Selain itu, persekitaran jalan raya dan keselamatan kenderaan juga menjadi faktor yang menyebabkan kemalangan maut di jalan raya. Kesedaran kempen keselamatan jalan raya seharusnya menjadi silibus wajib di semua peringkat sekolah sehingga institut pengajian tinggi yang bukan hanya terhenti setakat di sekolah memandu semasa mengambil lesen sahaja, bahkan pemandu sentiasa diberi pendidikan keselamatan secara berterusan agar melalui agar pemandu sentiasa sedar dengan keselamatan di jalan raya kerana sikap pemandu itu sendiri yang menjadi punca utama walaupun kerajaan telah menyediakan kemudahan jalan raya yang baik. Sebaliknya, jika sikap pemandu itu sendiri kurang pendedahan dan pendidikan dalam keselamatan jalan raya pasti memusnahkan nyawa sendiri dan mengancam nyawa orang lain.

Oleh itu, pelaksanaan Op Selamat tidak boleh dipandang remeh oleh pengguna jalan raya dan orang ramai kerana operasi pemantauan dan penguatkuasaan itu mempunyai banyak kebaikannya selain usaha untuk menurunkan kadar kemalangan dan kematian kerana jumlah kecederaan dan kematian pada pengguna boleh dikurangkan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan pasif kepada manusia, persekitaran dan kenderaan  

Rujukan

Essay UK. (2019, Februari 28). Essay UK. Didapatkan dari https://www.essay.uk.com/free-essays/management/road-accident.php

Geico. (2019, Februari 20). Top Ten Tips To Avoid An Accident. Didapatkan dari Preventing accidents is easy when you know what to do: https://www.geico.com/information/safety/auto/teendriving/top-ten-tips/

Manan, N. (2010). Ke Arah Mengurangkan Kemalangan Maut di Jalan Scotland, Pulau PInang : Satu Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Mansur, S. O. (2019, Februari 12). Enam Kesalahan Utama Pengguna Jalan Raya. Didapatkan dari https://www.hmetro.com.my/utama/2018/03/322201/6-kesalahan-utama-pengguna-jalan-raya

Mukhtar, M. H. (2019, Februari 20). Teknologi Keselamatan Kenderaan Ada Hadnya . Didapatkan dari https://www.mekanika.com.my/teknologi-keselamatan-kenderaan-ada-hadnya-tapi-ramai-yang-tidak-sedar/

Talib Ria Jaafar et.al. (2003). Kemalangan Jalan Raya : Analisis Data Membabitkan Pengguna Motosikal. Jurnal Teknologi, 1-14.

Yusria Darma, M. R. (2017). An analysis of Malaysia road traffic death distribution by road. Indian Academy of Sciences, 1605-1615.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.