Status berdasarkan sudut Perlembagaan Negara

Menurut Mohamad (2019), sejarah perundangan di Malaysia dikatakan bermula dengan kedatangan Islam di abad ketiga belas Masihi. Islam membawa undang-undang Islam ke rantau ini. Walaupun pada masa itu tidak terdapat mahkamah-mahkamah seperti sekarang, undang-undang Islam, di samping adat Melayu, menjadi teras undang-undang di negara ini sehingga kedatangan British.

Kedatangan British membawa bersamanya undang-undang Inggeris khususnya “Common Law of England” dan “the rules of equity” yang dibawa masuk melalui Charter, melalui peguam-peguam dan hakim-hakim yang terlatih di England dan kemudiannya melalui undang-undang bertulis seperti ordinan, enakmen, kanun, kaedah dan peraturan.  Pada masa itu cuma ada satu sistem mahkamah melaksanakan undang-undang yang dibuat di sini yang berasaskan undang-undang di England di samping memakai “common law of England” dan “the rules of equity”. Mahkamah syariah belum ada lagi masa tersebut. Maka, makin sehari semakin kukuhlah kedudukan undang-undang Inggeris dalam pelaksanaannya di negara ini.

Setahun sebelum British meninggalkan Malaya (pada masa itu) Civil Law Act 1956 dikanunkan. Ia memperuntukkan bahawa “common law of England” dan “the rules of equity” seperti yang berkuatkuasa di England pada 7 April 1956 hendaklah di pakai, melainkan jika ianya didapati tidak sesuai dengan keadaan di sini. Demikian juga dengan undang-undang perdagangan. (Peruntukan ini juga terpakai di Sabah dan Sarawak, tetapi tarikhnya berlainan).

Oleh yang demikian, pada asasnya, Pelembagaan Persekutuan memperuntukan tiga badan utama membentuk Sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia iaitu:

  1. Badan Perundangan yang hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh memilik kuasa,
  2. Badan Pemerintah (Eksekutif) yang melaksanakan kuasa eksekutif dan ia tidak membuat undang-undang dan penghakiman dan
  3. Badan Kehakiman mentafsirkan dan memutuskan perbalahan yang berbangkit dalam pelaksanan undang-undang itu (Karim, 1999).

Secara mudahnya, Badan Perundangan membuat undang-undang membolehkan seseorang ditahan selama dua tahun tanpa perbicaraan seperti di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Menteri Dalam Negeri (Eksekutif) membuat Perintah Tahanan. Orang Tahanan itu mencabar penahanannya sebagai tidak sah.

Badan Kehakiman (Mahkamah) memutuskan sama ada penahanan itu sah atau tidak, tegasnya, sama ada penahanan itu dibuat mengikut yang diperuntukkan oleh undang-undang itu atau tidak. Jikalau sah, penahanan itu diisytiharkan sah. Jika tidak diisytiharkan tidak sah. Oleh itu, dalam membuat keputusan itu mahkamah cuma memandang sama ada apa dilakukan oleh pihak Eksekutif itu selaras dengan apa yang diperuntukkan oleh undang-undang atau tidak.

Mahkamah tidak boleh mengatakan penahanan tanpa bicara itu tidak sah semata-mata kerana Hakim berkenaan tidak bersetuju dengan adanya kuasa penahanan tanpa perbicaraan. Itu bukan dalam bidang kuasa mahkamah. Sama ada undang-undang seperti itu hendak diadakan atau tidak terletak dalam bidangkuasa Badan Perundangan.

Justeru, mahkamah boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu tidak sah dan batal. Ini berlaku apabila undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan, kerana Perlembagaan adalah undang-undang utama di negara kita.

Oleh itu, Menurut Karim (1999), apabila membincangkan tentang mahkamah dalam badan kehakiman yang merupakan badan ketiga dalam Sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia. Mengikut Perlembangaan Persekutuan Perkara 121, kuasa kehakiman bagi Persekutuan adalah seperti berikut:

  1. Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya iaitu :
  2. Satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Malaya dan mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri-Negeri Tanah Melayu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
  • Satu di Negeri Sabah dan Sarawak, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan mempunyai pejabat pendaftaranya yang utama di mana-mana tempat di negeri-negeri Sabah an Sarawak sebagaimana ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

Kuasa Kehakiman juga terletak pada Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mempunyai kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam Perkara 126,128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohamad (2001) selepas Merdeka dan penubuhan Malaysia dan Singapura keluar dari Malaysia, mahkamah-mahkamah di Malaysia dari yang paling tinggi kepada yang paling rendah ialah:

  1. Jawatankuasa Privi (Privy Council)
  2. Mahkamah Persekutuan
  3. Mahkamah Tinggi Malaya/Borneo
  4. Mahkamah Sesyen
  5. Mahkamah Majistret
  6. Mahkamah Penghulu

Manakala, Mahkamah Kanak-Kanak pula, diperuntukkan oleh satu undang-undang lain iaitu The Juvenile Courts Act 1947 dan bolehlah dikatakan sebagai sebahagian daripada Mahkamah Sesyen).

Oleh yang demikian, setiap mahkamah mempunyai bidang kuasa masing-masing dan Rayuan daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret pergi ke Mahkamah Tinggi, dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan dan dari Mahkamah Persekutuan di Privy Council mengiku syarat-syarat tertentu.

Pada 01 Januari 1978 rayuan kes-kes jenayah dan perlembagaan ke Privy Council dihapuskan. Ertinya dalam kes-kes itu rayuan cuma boleh dibuat, paling tinggi, ke Mahkamah Persekutuan. Pada 01 Januari 1982 semua rayuan ke Privy Council dihapuskan. Mahkamah Agung ditubuh bagi menggantikan Mahkamah Persekutuan. Kesannya seorang yang tidak puashati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi cuma boleh merayu sekali, iaitu ke Mahkamah Agung.

Pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan Malaysia, Akta Mahkamah Keadilan 1964 dan Akta Mahkamah Rendah 1948. pindaan ini mula berkuat kuasa pada 24 Jun 1994. Pindaan tersebut Mahkamah Agung ditukarkan namanya kepada Mahkamah Persekutuan semula. Di antara Mahkamah Persekutuan baru itu dan Mahkamah Tinggi ditubuhkan satu mahkamah lagi, iaitu Mahkamah Rayuan. Kesannya ialah seseorang boleh merayu dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan dan selepas itu ke Mahkamah Persekutuan. Ertinya ada dua peluang rayuan, seperti semasa ada rayuan ke Privy Council (Mohamad, 2019).

Bidang kuasa dan kuasa

Terdapat perbezaan antara bidang kuasa dengan kuasa mahkamah. Bidang kuasa adalah perihal kes-kes yang boleh dibicarakan oleh mahkamah. Kuasa adalah perihal hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah itu. Contohnya, Mahkamah Majistret Kelas Satu mempunyai bidangkuasa membicarakan kes-kes jenayah yang hukuman maksimanya tidak melebihi 10 tahun penjara. Tetapi mahkamah itu cuma boleh menjatuhkan hukuman tidak melebihi 5 tahun penjara.

Berikut bidang kuasa dan kuasa mahkamah-mahkamah, dari yang paling rendah ke atas adalah seperti berikut:-

  1. Mahkamah Penghulu:-

Bidang kuasa:

 (a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang disebut dalam surat Kuasa yang sesuai dihukum denda tidak melebihi RM25.00

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM50.00

Mahkamah Penghulu cuma mempunyai bidang kuasa terhadap orang-orang yang berbangsa Asia. (Ini satu peninggalan penjajah yang tidak sepatutnya dibiar berkekalan dalam undang-undang kita 37 tahun selepas Merdeka.)

Kuasa: Jenayah dengan denda tidak melebihi RM25.00.

  1. Majistret Kelas Dua:-

Bidang kuasa:

(a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja.

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM3,000.00.

Kuasa (Jenayah) dengan Penjara tidak melebihi 6 bulan. Denda tidak melebihi RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Kelas Satu:-

Bidangkuasa:

(a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sahaja.

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM25,000.00.

Kuasa (Jenayah): Semua hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang melainkan hukuman mati.

Mahkamah Tinggi :-

Bidangkuasa :

Sivil dan jenayah – tidak terhad.

Kuasa :

  1. Tidak terhad, ertinya semua hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang.
  2. Mendengar rayuan jenayah dan sivil daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret
  3. Membuat penyemakan semula terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Majistret.
  • Mahkamah Rayuan:-

Bidangkuasa :

Bermula pada 24 Jun 1994 mulai mendengar rayuan dari Mahkamah Tinggi

Kuasa : tidak terhad.

  • Mahkamah Persekutuan:-

Bidangkuasa :

Mulai 24 Jun 1994, mendengar rayuan dari Mahkamah Rayuan.

Kuasa: Tidak terhad.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.