Polemik mengajar tanpa tauliah telah sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat dan cerdikiawan Islam di negara kita. Pembabitan pengajaran atau penceramah dalam menyampaikan dakwah Islamiah dikatakan terbantut apabila keperluan tauliah untuk mengajar agama dalam sesuatu negeri. Pada tahun 2009, liputan media tersebar meluas apabila kes penahanan ke atas Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tiada kebenaran mengajar yang dikeluarkan oleh JAIS dan didakwa atas kesalahan jenayah Islam (Ariffuddin Ishak, 2009).

Walaupun beliau merupakan seorang yang berkelayakan untuk berceramah dan ilmuwan Islam di Malaysia. Namun, keperluan untuk mendapatkan tauliah mengajar adalah sangat diperlukan sebagai menghormati peruntukan perundangan dalam pentadbiran agama Islam negeri. Senario ini, pelbagai dakwaan dalam kalangan masyarakat termasuk ahli politik kepartian mengenai keperluan tauliah mengajar agama menjadi isu yang berpanjangan.

PANDANGAN SOKONGAN KEPERLUAN TAULIAH MENGAJAR

Menelusi isu ini, terdapat pro dan kontra mengenai keperluan tauliah mengajar. Namun, atas dasar kepentingan umum bagi umat Islam agar wujud pengawalan dari sudut kesahihan pengambilan ilmu dan membanteras ajaran sesat. Bahkan, pendakwah atau pengajar mesti mempunyai kriteria-kriteria yang ditentukan oleh peraturan dalam Enakmen atau Ordinan yang berkuatkuasa mengikut negeri tertentu di Malaysia agar selari dengan perundangan yang berbidang kuasa di setiap negeri.

Secara umumnya, pihak pemerintah mensyaratkan tauliah bagi pengajar atau penceramah dalam menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di sesebuah negeri agar kepentingan awan diutamakan agar kandungan pengajaran dan ceramah tidak berunsurkan dakwaan palsu, berbaur hasutan, politik kepartian dan fitnah kepada seseorang yang lain. Begitu juga, penetapan syarat kepada penceramah perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa negeri agar tidak berlaku penyalahgunaan oleh pihak yang berkepentingan kecuali mengajak dan mendidik umat Islam mentaati ajaran agama.

Mengelakkan penyelewengan dalam masyarakat

Kedatangan warganegara asing ke Malaysia dari pelbagai negara seperti Indonesia, Thailand, Pakistan, India dan sebagainya yang mendakwa mempunyai kredibiti untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah melalui ceramah atau forum. Namun, perkembangan ajaran sesat dan fahaman songsang dengan amalan kebanyakkan umat Islam di Malaysia turut terkesan bahkan membimbangkan pihak berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti. Justeru, keperluan tauliah menjadi kepentingan bagi masyarakat awam daripada berlaku penyelewengan fahaman dan adat di Malaysia. Begitu juga, aspek keselamatan dan kawalan kepada penceramah asing dalam menyebarkan ajaran Islam di Malaysia melalui penguatkuasaan undang-undang agar tidak bersalahan dengan hukum syara (Jasri Jamal & Mohd Faiz Abd Rahim, 2012).

Menghilangkan kekeliruan umat dalam agama Islam

Kekeliruan umat dalam ajaran agama Islam berlaku dalam kalangan muslim terhadap ilmu yang diajar atau disampaikan oleh seseorang penceramah. Maka, undang-undang diperuntukkan sebagai keperluan tauliah untuk membendung kekeliruan dalam masyarakat terhadap pengajaran agama Islam. Maka, keperluan tauliah ini menjamin bahawa setiap penceramah mempunyai kelayakan yang sebenar yang mana setiap ilmu yang akan disampaikan adalah selari dengan agama Islam dan juga selari dengan pegangan muslim di Malaysia iaitu mengikut pegangan dan fahaman Asya`irah dan Maturidiah (Ahli Sunnah Wal Jamaah), pegangan dan fahaman (Qaul Muktamad) dalam Mazhab Syafie. Sebaliknya, jika tiada undang-undang yang mengawal selia akan wujud penceramah-penceramah yang mengajar ajaran agama yang bertentangan dengan fahaman dan pegangan mazhab di Malaysia, akhirnya masyarakat berada dalam kekeliruan dan keresahan.

Keabsahan kelayakan dan kecenderungan pengajar

Secara asasnya, peruntukan undang-undang mengenai tauliah mengajar, apabila dinilai pada zahirnya seolah-olah menghalang perkembangan ajaran Islam dan amalan mulia. Namun, masyarakat Islam mesti mendapatkan ilmu dari para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu disampaikan (Etty Zalita Zakaria (2021). Dalam konteks Maqasid Syariyyah iaitu menjaga agama dan akidah umat Islam yang berlandaskan kepada dasar-dasar pemerintah dan hukum syara` yang berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

PANDANGAN KONTRA TERHADAP KEPERLUAN TAULIAH

Secara umumnya, beberapa pandangan yang kontra terhadap keperluan tauliah mengajar di masjid atau surau di negara ini sering mendapat perhatian dan kritikan yang terdiri daripada tokoh politik, ilmuan Islam dan segelintir masyarakat.

Bertentangan dengan metod dakwah islamiah dan hukum syara`

Keperluan tauliah dalam pengajaran ajaran Islam dikatakan bertentangan dengan metod dakwah Islamiah dan tidak selari dengan hukum syara`. Hal ini mendapat perhatian dalam kalangan cerdikiawan agama dan segelintir masyarakat bahawa keilmuan dalam Islam adalah meliputi pelbagai aspek seperti politik (siasah), ekonomi dan sains dan sebagainya. Maka, sewajarnya tanggungjawab pendakwah bagi menyebarkan, mengajar dan menyampaikan dakwah Islam tanpa mengira keperluan tauliah. Selain itu, dikatakan ia bertentangan dengan hukum syara` yang mengutamakan saranan Nabi SAW dengan berpegang kepada hadith Rasulullah SAW bermaksud :

Sampaikanlah daripada apa yang kamu terima dariku, walaupun sepotong ayat.

            (Hadis al-Bukhari: 3461)

Oleh yang demikian, bersandarkan kepada hadith tersebut telah menjadi amanah bagi yang mempunyai ilmu agama seharusnya disampaikan agar penyebaran dakwah Islamiah terus berkembang, terutamanya dalam aspek mendidik masyarakat daripada belenggu kejahilan dalam agama Islam yang dianuti. Tuntutan amanah dan peranan pendakwah menyampaikan, menegah, memberi nasihat dan peringatan dan kefahaman kepada masyarakat telah menjadi hujah dalam mengukuhkan dakwaan bagi sesetengah golongan bahawa menyampaikan kebenaran ilmu lebih diutamakan walaupun pahit untuk disampaikan sekalipun menempuh segala rintangan yang bakal dihadapi (Jasri Jamal & Mohd Faiz Abd Rahim, 2012).

Mengekang Perkembangan Agama Islam

Bagi sesetengah golongan masyarakat menyifatkan bahawa penguatkuasaan oleh Jabatan Agama Islam Negeri yang mengenakan sekatan terhadap guru atau penceramah tanpa tauliah seolah-olah mengekalkan sistem penjajah untuk menyekat perkembangan agama sendiri dan menganggap syarat ini mengokong pendakwah Islam dan membantut pertumbuhan keilmuan Islam di Malaysia. Seharusnya, kebebasan secara menyeluruh diberikan untuk kelangsungan penyebaran dakwah agar agama Islam terus berkembang dan membuka kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam yang dianuti. Kefahaman dalam ajaran Islam secara menyeluruh dapat memantapkan pelbagai ilmu agama terutamanya aspek aqidah, syariah dan akhlak kerana kemantapan aspek tersebut akan memastikan pegangan aqidah, pengamalan syariah dan akhlak tidak mudah dipengaruhi oleh perlbagai aliran pemikiran, doktrin dan pemesongan daripada unsur-unsur ajaran-ajaran yang bertentangan dalam Islam. Oleh yang demikian, sekatan keperluan tauliah merencatkan kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap agama Islam yang mengakibatkan kepada keruntuhan aqidah, pengamalan syariah semakin dipinggirkan dan nilai keperibadian manusia semakin terhakis. Akhirnya, umat Islam semakin jauh dan berpaling daripada ajaran Islam.

Membatasi kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan

Peruntukan keperluan tauliah dalam penyebaran dan pengajaran agama telah mendapat kritikan terhadap perundangan dengan mengatakan sebagai melampaui kuasa (ultra vires) Pelembangaan Persekutuan di bawah perkara 11 (1) memperuntukan bahawa: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya” (Perlembagaan Persekutuan, 2019).

Pandangan sesetengah ilmuan Islam bahawa keperluan tauliah di dalam pengajaran agama Islam kepada masyarakat umum adalah tidak berpelembagaan dan tidak releven. Ekoran tercetusnya kes Pendakwaraya Syarie lawan Mohd Asri Bin Zainul Abidin, responden telah membantah pendakwaan ke atasnya dengan alasan bahawa ultra vires kepada peruntukan Perlembagaan yang memperuntukkan mengenai kebebasan mengamalkan agamanya (Jasri Jamal & Mohd Faiz Abd Rahim, 2012).

KOMENTAR TERHADAP KEPERLUAN TAULIAH

Keperluan tauliah pengajaran dan menjaga agama Islam demi memelihara kesucian agama Islam yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Perlembangaan Malaysia. Dalam hal ini, penulis menyokong dan bersetuju bahawa peraturan keperluan tauliah bagi seseorang individu mendapatkan tauliah mengajar agama Islam melalui Jabatan Agama Islam atau Majlis Agama Negeri tidak bercanggah dengan prinsip kebebasan agama kerana perundangan yang berbidang kuasa ini bertujuan untuk memelihara kesucian agama Islam, memelihara keharmonian umat Islam agar terus terpelihara dengan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Merujuk kepada Akta 505, Seksyen 31 menyatakan Majlis Agama Islam merupakan institusi tertinggi dalam hal ehwal agama Islam sejurus Yang di-Pertuan Agong dan diamanahkan menasihati Yang di-Pertuan Agong pada semua aspek melainkan perkara yang berkaitan urusan keadilan dan hukum syara`. Ini kerana hukum syara` dipertanggungjawabkan oleh pejabat mufti, Manakala, urusan keadilan merujuk kepada Mahkamah Syariah. Dalam Seksyen 31 juga menjelaskan bahawa tiga institusi utama dalam hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, yakni Majlis Agama Islam, Mahkamah Syariah dan Institusi Mufti. Maka, ketiga-tiga institusi berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana semuanya adalah urusan berkaitan dengan agama Islam. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah dan Institusi Mufti tidak merangkumi di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam (Shamrahayu Abdul Aziz (2018).

Oleh yang demikian, kedaulatan undang-undang telah memainkan peranan dalam memelihara agama dan kestabilan serta keharmonian sejagat umat Islam negara kita. Sebaliknya bibit-bibit persengketaan, fitnah, api kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam boleh berlaku apabila tiada kawalan dan penyelarasan kandungan pengajaran yang dilarang oleh agama Islam.  Selain itu, peraturan itu berkuatkuasa sebagai jaminan umat Islam agar tiada sebarang anasir luar yang boleh mengganggu gugat kedaulatan dan kestabilan masyarakat terutama doktrin yang menyeleweng.

Justeru, demi kepentingan masyarakat awam daripada penyelewengan, pemurnian kekeliruan umat dalam agama Islam dan keabsahan kelayakan dan kecenderungan pengajar telah mendasari pihak berkuasa agama negeri dalam mengawal pengajaran tanpa tauliah walaupun terdapat pro dan kontra mengenai keperluan tauliah dalam pengajaran, ceramah atau apa-apa bentuk penyampaian ajaran Islam.

RUJUKAN

Ariffuddin Ishak (2009). “JAIS Bebaskan Bekas Mufti Perlis,” MStar, dicapai pada 23 Disember 2021 dari https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/11/02/jais-bebaskan-bekas-mufti-perlis.

Etty Zalita Zakaria (2021). “Pendakwah Perlu Ada Tauliah Mengajar.” Dewan Tamadun Islam,. Dicapai pada 20 Disember 2021 dari:

https://dewantamadunislam.jendeladbp.my/2021/10/20/pendakwah-perlu-ada-tauliah-mengajar/.

Jasri Jamal & Mohd Faiz Abd Rahim (2021). “Mengajar Tanpa Tauliah: Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia [2012] 4 ShLR xxxi.” Universiti Kebangsaan Malaysia. Syariah Law Report Articles (ShLRA) (2012): 14.

mStar (2009). “Pemberian Tauliah Oleh Jabatan Agama, Undang-Undang Lapuk & Perlu Dihapuskan,” dicapai pada 20 Disember 2021 dari :

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/11/05/pemberian-tauliah-oleh-jabatan-agama-undangundang-lapuk–perlu-dihapuskan–mp-kulimbandar-baru.

Perlembagaan Persekutuan (1963). Selangor Darul Ehsan: International Law Book Services.

Shamrahayu A.Aziz (2018) “Peranan Seri Paduka Sebagai Ketua Agama.” Berita Harian, Dicapai pada 23 Disember 2022 dari:

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/07/450041/peranan-seri-paduka-sebagai-ketua-agama.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.