Jenis kesusasteraan Melayu-Islam

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu. Syed
Muhammad Naquib al-Attas (1972) menjelaskan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu
telah mencetuskan suatu zaman baharu. Dalam bidang kesusasteraan, wujud suatu fenomena
yang begitu ketara terhadap bentuk, corak, gaya bahasa, tema dan persoalan khususnya dalam
aspek pemikiran dan nilai Islam. Dalam bahagian ini, kesusasteraan Melayu-Islam
dibincangkan mengikut jenis iaitu sastera kitab, sastera undang-undang, sastera
ketatanegaraan, dan sastera kreatif prosa dan puisi.

Sastera Kitab


Menurut Othman (2015) kesusasteraan kitab merujuk kepada karya yang ditulis tentang hal
yang berkaitan dengan persoalan agama Islam. Karya ini ditulis oleh para ulama Nusantara
dalam bahasa Melayu dan dijadikan rujukan dan panduan oleh masyarakat Melayu.
Kemunculan kerajaan Melayu-Islam yang silih berganti sejak Kerajaan Islam Pasai,
Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Aceh, Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Kerajaan
Pelembang dan Kerajaan Banjarmasin membolehkan kesusasteraan kitab ini dapat
berkembang dengan pesat.


Kewujudan pusat pengajian Islam, khususnya di masjid, istana dan pondok pengajian Islam
menyebabkan penulisan kitab semakin rancak. Kitab ini dijadikan buku teks untuk kegunaan
pelajar di pusat pengajian berkenaan. Situasi ini menyebabkan ulama Melayu mula giat
menulis dan menterjemah kitab Arab ke dalam bahasa Melayu. Oleh yang demikian, lahirlah
pelbagai bentuk penulisan yang membincangkan persoalan agama Islam seperti ilmu fiqh,
tasawuf dan ilmu tauhid. Ilmu fiqh ialah ilmu yang membincangkan hukum- hakam dalam
kehidupan beribadat masyarakat Islam, manakala ilmu tauhid pula ialah ilmu yang
membicarakan kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan. Kitab tasawuf pula membicarakan
kesucian hati dalam beribadat kepada Tuhan.

Yang berikut ialah ciri-ciri yang terdapat dalam yang terdapat dalam sastera kitab:

i- Sastera kitab dihasilkan oleh golongan ulama yang mempunyai pengetahuan tentang
agama dan menguasai bahasa Arab dengan baik;
ii- Sastera kitab bertemakan agama Islam dan kehidupan masyarakat Islam;
iii- Sastera kitab bersifat benar dengan bersandarkan al-Quran, hadis Nabi Muhammad
SAW dan pendapat ulama;
iv- Karya sastera kitab bersifat terjemahan iaitu diterjemahkan daripada bahasa Arab ke
dalam bahasa Melayu; dan
v- Gaya bahasa penulisannya bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Sastera kitab kebanyakannya ditulis oleh tokoh ulama. Antara tokoh ulama yang giat menulis
dalam sastera kitab ini ialah:
Hamzah Fansuri;
a- Abdul Rauf Singkel;
b- Syeikh Nuruddin al-Raniri;
c- Raja Ali Haji;
d- Abdul Samad al-Palembangi;
e- Syeikh Daud al-Fatani; dan
f- Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain.

Sastera Undang-undang

Sastera undang-undang merupakan sejenis karya bertulis bukan naratif. Tema penulisannya
adalah berkaitan dengan undang-undang dan peraturan dalam sesebuah negeri. Lazimnya,
peraturan atau undang-undang yang tercatat dalam karya ini adalah berkenaan jenis kesalahan
serta bentuk hukuman terhadap pesalah yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Misalnya, hukuman potong tangan kepada pesalah yang mencuri.


Secara umumnya, karya ini merupakan bentuk penulisan masyarakat Melayu tradisional yang
berkisar tentang aspek pemerintahan raja, sistem pentadbiran pembesar negeri seperti
penghulu dan menteri serta gambaran susun lapis masyarakat lama. Dalam naskhah Undang-
undang Laut Melaka, misalnya, terdapat penjelasan tentang tugas nakhoda kapal, jurumudi,
jurubatu dan awak- awak.


Karya jenis ini berfungsi seperti perlembagaan yang memaparkan peraturan, adat istiadat dan
undang-undang yang perlu dipatuhi oleh masyarakat. Selain itu, karya ini turut berfungsi
untuk menjaga sesebuah negeri dan kedudukan raja-raja Melayu. Hal ini disebabkan
kebanyakan penulis sastera undang-undang terdiri daripada golongan bangsawan istana, dan
lazimnya ditulis dan disusun mengikut arahan sultan atau raja. Contohnya, dalam Undang-
undang Melaka memaparkan adat istiadat berlandaskan agama Islam iaitu kandungannya
telah disusun mengikut kehendak Raja Kecil Besar yang telah memeluk agama Islam.

Gaya penulisan sastera undang-undang adalah bercorak sastera tetapi isi kandungannya
berupa undang-undang dan peraturan. Undang-undang dalam karya jenis ini dipengaruhi oleh
Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
Yang berikut ialah ciri-ciri umum sastera undang-undang:

a- Hanya penyusunnya sahaja diketahui berbanding pengarangnya. Lazimnya karya ini
disusun oleh golongan bangsawan daripada kalangan istana;
b- Gaya bahasa dan isi kandungannya mengagung-agungkan dan mementingkan
golongan bangsawan;
c- Isi kandungannya turut bercampur aduk dengan unsur mitos atau unsur luar biasa iaitu
terdapat unsur Hindu dan Islam yang diserapkan bersama- sama;
d- Bentuk penulisannya dalam bentuk prosa serta disulami perumpamaan dan kiasan;
e- Ketentuan undang-undang bercampur dengan adat istiadat. Hukuman yang dikenakan
tidak tegas dan boleh dipinda atau diubah; dan
f- Corak kehidupan, adat istiadat, peraturan dan susun lapis masyarakat Melayu tradisi
jelas tergambar dalam karya jenis ini.


Antara contoh karya sastera undang-undang yang masyhur ialah:
a- Hukum Kanun Melaka;
b- Undang-undang Laut Melaka;
c- Undang-undang Pelabuhan Pahang;
d- Undang-undang Negeri Johor;
e- Undang-undang Negeri Perak; dan Adat Perpatih.

Teknik penulisan karya undang-undang hampir menyamai teks karya sastera sejarah. Dari
segi strukturnya, karya ini dimulai dengan pendahuluan dan, isi kandungannya dibahagikan
kepada beberapa bab atau fasal. Misalnya, Hukum Kanun Melaka terdiri daripada 27 fasal,
manakala Undang-undang Laut Melaka mempunyai 24 fasal.


Walaupun karya ini merupakan karya undang-undang dan ditetapkan peraturan dan hukuman
mengikut sesuatu kesalahan, namun dari aspek hukuman kepada pesalahnya adalah berat
sebelah dan tidak seimbang bagi sesuatu kesalahan yang sama iaitu ia berdasarkan status atau
taraf seseorang. Jika kesalahan tersebut dilakukan oleh rakyat jelata, hukumannya adalah
lebih berat berbanding kesalahan yang sama jika dilakukan oleh golongan bangsawan, pembesar atau kerabat diraja. Hal ini merupakan salah satu ciri sastera undang- undang yang
wujud dalam masyarakat Melayu lama.

Sastera Ketatanegaraan

Sastera ketatanegaraan merupakan karya yang memberi panduan kepada golongan
pemerintah dalam segala urusan pentadbiran negara. Gaya penulisannya adalah berbentuk
penceritaan (naratif) yang berkaitan dengan urus tadbir negara iaitu dengan mengambil corak
pemerintahan raja-raja di Timur Tengah.
Antara contoh karya sastera ketatanegaraan ialah Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari,
Bustan al-Salatin karangan Nuruddin al-Raniri dan Nasihat Segala Raja-raja yang ditulis oleh
Syeikh Abdul Kadir.

Sastera Kreatif Prosa dan Puisi

Kesusasteraan Melayu Islam dalam bentuk kreatif filiah berkembang sejak 600 tahun yang
lalu. Shahnon Ahmad (1981) menjelaskan bahawa tokoh ulama telah memainkan peranan
penting dalam usaha meluaskan fungsi dan peranan kesusasteraan Melayu-Islam sama ada
dalam bentuk tulisan mahupun yang berbentuk ceramah atau bentuk persembahan yang lain.
Antara tokoh penting yang menyuburkan sastera kreatif ini ialah Abd Rauf Singkel, Hamzah
Fansuri, Syeikh Yusof Tagul Khalwati, Syeikh Ahmad Fatani, Sheikh Daun Fatani, Raja Ali
Haji, Amir Hamzah hinggalah yang terkini seperti Shafie Abu Bakar, Ismail Ibrahim,
Dharma Muhammad, Kemala, Rahimidin Zahari, Shamsudin Othman, Azman al-Kurawi dan
Zaid Akhtar.

Contoh karya prosa sebelum merdeka ialah Thuhfat al-Nafis, BustanÊus Salatin, Tajussalatin,
Hikayat Aceh dan Hikayat Raja-raja Pasai. Bagi contoh karya selepas merdeka ialah Al-
Siqaq (Shahnon Ahmad), Ustad (S. Othman Kelantan) dan Musafir (Hassan Ali). Sementara
karya puisi yang dihasilkan ialah Gurindam Fasal 12 (Raja Ali Haji), Syair Nabi Muhammad
dan Syair Nabi Bercukur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.