Kedatangan Islam ke Nusantara telah banyak mempengaruhi cara hidup serta budaya
pemikiran masyarakat Melayu. Dengan kedatangan agama Islam ke alam Melayu pada
abad ke-13, tamadun masyarakat Melayu mulai berubah sedikit demi sedikit.
Perkembangan ini meliputi pelbagai bidang termasuklah ekonomi, politik, kepercayaan,
adat istiadat, undang-undang, kesusasteraan dan kesenian. Akhirnya, menjelang abad ke-14
pengaruh Islam telah menguasai sepenuhnya budaya masyarakat Melayu.

Istilah ‘Sastera’ ialah kata pinjaman bahasa Sanskrit iaitu ‘Susastra’ yang membawa maksud yang luas yang meliputi semua hasil penciptaan yang diungkapkan secara lisan mahu pun dizahirkan melalui penulisan. Kata dasar ‘su’ bererti indah, manakala ‘sastra’ membawa maksud huruf atau tulisan yang mengandungi pengajaran, arahan atau petunjuk cara
bagaimana sesuatu itu harus dilakukan. Menurut Ismail Hussein : 1997 “sastera atau kesusasteraan membawa maksud keindahan bahasa”.

Manakala Rahman Shaari memberi maksud sastera di dalam bukunya (Bimbingan Istilah Sastera : 2001: 89) sebagai karya seni bahasa. Secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa sastera atau kesusasteraan adalah merujuk penghasilan segala karya yang menggunakan bahasa yang indah, halus dan menarik serta dapat mempengaruhi perasaan seseorang itu yang mendengar atau membacanya.

Tulisan ini bertujuan untuk mengetahui tentang penerimaan pengaruh Islam dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Pelbagai fator terutamanya penerimaan pengaruh luar, khususnya pengaruh Islam. Terdapat peringkat-peringkat perkembangan kesusasteraan dengan setiap peringkat menonjolkan tokoh-tokoh yang tersohor. Selain itu, dibincangkan tentang jenis-jenis kesusasteraan Melayu-Islam yang telah dikategorikan oleh sarjana-sarjana sastera. (Jojie, 2009)

Perkembangan kesusasteraan Melayu-Islam sehingga abad ke-19

Menurut Ghazali (2014) kedatangan pengaruh agama dan budaya Islam ke alam Melayu telah
mencorakkan satu bentuk sistem kepercayaan dan kebudayaan baharu dalam kalangan
masyarakat Melayu. Pada awal kedatangan Islam, berlaku perubahan sedikit demi sedikit
dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Banyak hasil karya yang wujud ketika ini
mengalami pelbagai bentuk asimilasi daripada pengaruh Hindu sama ada dari aspek isi, plot,
nama watak dan sebagainya. Zaman ini dikenali sebagai zaman peralihan Hindu-Islam.
Perkembangan sasterawan Melayu-Islam di Nusantara boleh dibahagikan kepada empat
zaman iaitu:
(a) Zaman Samudera-Pasai (dari tahun 1280 hingga 1400);
(b) Zaman Melaka (dari tahun 1400 hingga 1511);
(c) Zaman Acheh (dari tahun 1511 hingga 1650); dan
(d) Zaman Johor-Riau (dari tahun 1650 hingga 1800).

Islam mula tersebar ke alam Melayu setelah tertegaknya kerajaan Samudera-Pasai pada abad
ke-13. Sejak itu, perkembangan sastera Melayu-Islam mula mendapat tempat di alam
Melayu. Mari kita lihat dengan lebih lanjut perkembangan kesusasteraan Melayu-Islam ini
berdasarkan empat zaman tersebut.

Zaman Samudera-Pasai (dari Tahun 1280 Hingga 1400)


Pada zaman Samudera-Pasai ini, bentuk awal kesusasteraan Melayu berunsur Islam yang
terhasil ialah cerita berbentuk lisan. Kebanyakan pendakwah Islam menggunakan pendekatan
penceritaan atau naratif untuk menarik minat masyarakat Melayu untuk mengenali ajaran
Islam.
Pengaruh epik Hindu yang disampaikan secara lisan turut diamalkan setelah kedatangan
Islam. Antara cerita yang sering disampaikan ialah kisah Nabi Muhammad SAW, cerita para
nabi dan rasul serta kisah para sahabat. Misalnya, Qisas al-Anbiya telah diterjemahkan
daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Tidak terkecuali lahirnya Hikayat Nabi Wafat,
Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Kalimah Syahadah dan lain-lain lagi.

Zaman Melaka (dari Tahun 1400 Hingga 1511)

Selepas kejatuhan Pasai, Melaka menjadi pusat perkembangan Islam di Nusantara. Pada
zaman ini, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya sehingga dijadikan sebagai
bahasa lingua franca. Secara tidak langsung, bidang kesusasteraan turut berkembang
dengan pesatnya. Hal ini disebabkan pendakwah Islam telah menggunakan bidang
kesusasteraan sebagai alat penyampaian agama Islam kepada masyarakat Melayu pada ketika
itu.
Antara karya kesusasteraan yang terhasil pada zaman ini termasuklah Hikayat Muhammad
Hanafiah, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Hikayat Amir Hamzah. Kebanyakan karya ini
merupakan karya Arab-Parsi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ada juga epik
Melayu dan Hindu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Ramayana yang diberi nafas
baharu dengan memasukkan nilai dan unsur Islam ke dalam penceritaannya. Antara karya
sastera berbentuk sastera undang-undang yang dihasilkan dalam bahasa Melayu pada zaman
ini ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.


Serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, secara langsung telah mengancam
perkembangan kesusasteraan Melayu di Melaka. Akhirnya, dengan kejatuhan empayar
Kesultanan Melayu Melaka dan perpindahan Sultan Mahmud Syah bersama-sama puteranya
Raja Ahmad ke Johor kerana tewas di tangan Portugis telah menyebabkan pusat
perkembangan Islam dan kesusasteraan Melayu beralih ke Johor. Maka pada masa inilah
dikatakan lahirnya beberapa orang pengarang Melayu yang terkenal seperti Tun Seri Lanang.
Beliau telah menulis Sejarah Melayu sekitar tahun 1612.

Zaman Acheh (dari Tahun 1511 Hingga 1650)

Kejatuhan Melaka telah menyebabkan Aceh muncul sebagai perkembangan Islam dan
kesusasteraan Melayu. Penciptaan karya asli kitab bahasa Melayu dan syair sufi banyak
dihasilkan pada zaman Iskandar Muda iaitu raja yang memerintah Kesultanan Melayu Aceh
tahun 1607 hingga 1636.

Pada zaman itu lahir pengarang yang masyhur seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri,
Abdul Rauf Singkel dan Bukhari al- Jauhari. Antara karya yang dihasilkan pada zaman Aceh ialah Bustanus Salatin, Tajus Salatin, Syair Perahu dan Syair Pungguk. Malangnya, disebabkan berlakunya pertentangan pendapat antara Hamzah Fansuri dengan Nuruddin al- Raniri, maka hampir semua karya Hamzah Fansuri dibakar oleh pemerintah kerana dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar

Zaman Johor-Riau (dari Tahun 1650 Hingga 1800)

Dalam zaman ini, Riau telah bangkit sebagai pusat keintelektualan Melayu yang kukuh.
Peranan pemerintahnya seperti Raja Syahid fi Sabilillah (dari tahun 1778 hingga 1784) dan
Raja Ali Raja Jaafar (dari tahun 1845 hingga 1857) telah meletakkan Kerajaan Johor-Riau-
Lingga sebagai pusat kebudayaan, kesusasteraan dan keintelektualan Melayu. Masjid di
Pulau Penyegat dan kawasan istana yang dikenali sebagai Bait al-Talahah telah menjadi pusat
keilmuan dan pengajian nahu dan morfologi bahasa Arab, usuluddin, fiqh dan tasawuf.

Perkembangan dunia kesusasteraan Melayu dan pengaruh Islam diteruskan oleh penulis
Johor-Riau yang terkenal iaitu Raja Ali Haji (dari tahun 1808/9 hingga 1872). Antara karya
agung beliau ialah Thuhfat al-Nafis serta Salasilah Melayu dan Bugis. Pada zaman ini,
bahasa Melayu mencapai zaman kegemilangannya kerana pelbagai hasil penulisan telah
muncul mengikut laras bidang tertentu seperti sastera, sejarah dan undang-undang. Seperti
Melaka dan Aceh, perkembangan kesusasteraan Melayu turut tergugat ekoran kedatangan
kolonial barat. Kedatangan dan penguasaan Belanda telah memberi tamparan kepada
perkembangan kesusasteraan Melayu ketika itu di rantau Johor-Riau. (Othman, 2015)

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.