Kitab tafsir al-Quran dengan al-Quran yang masyhur di zaman mutakhir ini ialah Adwa al-Bayan yang dikaryakan oleh Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti. Beliau dilahirkan pada 17 Februari 1905 di Mauritania. Peringkat awal pendidikan, beliau mendalami ulum al-Quran, sirah Nabi, adab dan tarikh.

Muridnya yang terkenal Sheikh Atiyyah Muhammad Salim menyatakan pernah mendengar Sheikh Syanqiti menyatakan: “Ayahku meninggal dunia semasa aku masih kecil. Ketika itu aku membaca juzuk Amma. Ayah-ku meninggalkan sedikit harta dan aku tinggal di rumah bapa saudaraku. Semasa usia aku 10 tahun aku menghafal seluruh al-Quran dengan bapa saudaraku Abdullah Ibn Muhammad al-Mukhtar. Kemudian mempelajari rasm al-Quran, tajwid dan juga qiraat”.

Al-Syanqiti menuntut ilmu dengan beberapa guru yang alim antaranya ialah Muhammad Ibn Soleh yang terkenal dengan Ibn Ahmad al-Ahzam, Sheikh Ahmad Ibn Umar, al-Faqeh Muhammad Ni’mah Ibn Zaidan dan lain-lain.

Dalam mendalami ilmu, al-Syanqiti sendiri menulis di permulaan kitab tafsirnya Adwa al-Bayan dengan menyatakan: “Setelah aku selesai menghafal al-Quran dan mendalami ilmu rasm al-Quran aku telah mendahului sahabat yang lain. Ibuku amat mengambil berat terhadapku begitu juga dengan bapa saudaraku. Mereka menghabiskan banyak masa dan harta demi melihat aku berjaya dalam menuntut ilmu. Ibuku menyediakan bagiku dua unta dan seorang khadam. Satu unta membawa kitab dan satu unta lagi membawa bekalan.”

Beliau terkenal dengan rajin menuntut ilmu dan amat sabar. Beliau menyatakan: “Aku pergi kepada Sheikh menuntut ilmu dan beliau menghuraikan kepada ku namun aku merasakan tidak cukup untuk diriku dan tidak menghilang dahaga ilmu.

“Lantas aku pulang dan aku dapati penerangan tersebut tidak boleh menghilangkan kekeliruan dan masalah yang bermain dalam kepala-ku. Pada masa itu adalah waktu zuhur. Aku membuka kitab dan rujukan lain untuk mengkaji sehinggalah waktu asar namun aku belum selesai lagi rujukan sehingga waktu maghrib aku masih belum selesai lakukan rujukan.

“Khadamku menghidupkan api dan aku membaca melalui cahaya rimbunan api yang menyala. Aku meneruskan kajian dan apabila merasa jemu aku minum teh hijau. Khadam-ku bersama ku menghidupkan api sehinggalah terbitnya waktu fajar.

“Aku terus berada di situ dan tidak bangkit atau pergi ke tempat lain kecuali untuk menunaikan solat fardu dan makan sahaja sehinggalah naik matahari. Ketika itu aku selesai membuat rujukan dan segala masalah berkaitan ilmu tersebut aku memahaminya dengan terang”.

Sheikh Syanqiti pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji dan berniat untuk kembali ke tanah airnya Mauritania. Sudah rezekinya untuk menetap di Madinah Munawwarah.

Permusafiranya banyak memberi kesan dari sudut pemikiran dan kesan terhadap ilmu fikahnya. Sheikh Atiyyah Muhammad Salim berkata: “Apabila Allah mahukan sesuatu perkara maka dijadikan baginya asbab”.

Ajaibnya ialah semasa mengerjakan ibadat haji, khemah yang didiami Sheikh Syanqiti berdekatan dengan khemah pemerintah Khalid al-Sudairi sedangkan mereka belum mengenali antara satu sama lain.

Raja Khalid adalah peminat syair Arab dan selalu meminta mereka yang bersamanya membaca syair. Dan akhirnya beliau meminta Sheikh Syanqiti bersama dengannya dalam majlis tersebut dan mendapati ilmu Sheikh Syanqiti seperti lautan yang tidak ada tepian.

Raja Khalid telah memberi pesanan kepada Sheikh Syanqiti jika sampai ke Madinah berjumpalah dengan dua tokoh agamanya iaitu Sheikh Abdullah Zahim dan Sheikh Abdul Aziz Soleh di mana kedua-dua mereka adalah Kadi Madinah dan Imam di Masjid Nabi.

Dalam pertemuan dengan tokoh tersebut di Madinah berlaku perbincangan ilmu yang luas dan akhirnya Sheikh Syanqiti ditawarkan menetap di Madinah dan mengajar ilmu di Masjid Nabi, pensyarah di Universiti Islam Madinah, dilantik anggota fatwa Arab Saudi dan beberapa jawatan lain.

ADWA AL-BAYAN

Sheikh Syanqiti banyak menghasilkan karya penulisan yang menjadi rujukan. Antara yang masyhur ialah Tafsir Adwa al-Bayan. Beliau menyatakan sebab penulisan Adwa al-Bayan adalah kerana ramai umat Islam yang meninggalkan al-Quran dan meletakkan kitab suci itu di belakang mereka.

Mereka hilang rasa kesungguhan untuk mendapatkan janji baik yang Allah janjikan di akhirat dan mereka juga tidak takut kepada janji buruk di akhirat.

Oleh itu beliau merasakan sesiapa yang diberikan ilmu berkaitan al-Quran perlu memberi khidmat dengan menerangkan makna al-Quran, menzahirkan nilai murni al-Quran, menghilangkan permasalahan berkaitan al-Quran, menerangkan hukum-hakam, berdakwah mengajak beramal dengan al-Quran dan meninggalkan perkara yang bertentangan dengan al-Quran.

Kaedah Tafsir Adwa al-Bayan ialah tafsir al-Quran dengan al-Quran. Ijmak ulama menyatakan, tafsir yang paling mulia ialah tafsir kitab Allah dengan kitab Allah juga kerana tidak ada yang lebih tahu makna kalam Allah kecuali Allah SWT jua.

Menariknya dalam Tafsir Adwa al-Bayan ini Sheikh Syanqiti menghuraikan makna ayat dan membuat tarjih atau pilihan pandangan yang tepat.

Sebagai contoh, dalam ayat edah perempuan yang diceraikan suami adakah tiga kali suci atau tiga kali haid. Ayat yang berkaitan disebut thalathata Quru’.

Kalimah Quru’ mempunyai dua makna suci dan haid. Beliau memilih makna suci kerana adanya huruf ta pada kalimah thalathah.

Berasas kepada kaedah bahasa Arab dalam bab penjodoh bilangan. Jika haid kalimah yang digunakan ialah thalatha dan jika suci digunakan thalathah.

Ketika menafsirkan ayat 9, surah Israk yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus .. Sheikh Syanqiti menghuraikan dengan sempurna dan menakjubkan. Dan tafsiran tersebut amat jelas bahawa al-Quran menjadi dustur yang lengkap, tepat dan betul.

Semua aspek kehidupan yang sempurna dijelaskan dalam al-Quran bermula dengan tauhid kepada Allah, kehidupan manusia dengan berkahwin, poligami, mirath dan lain-lain disebut dengan lengkap bahawa al-Quran adalah dustur yang sempurna.

Sheikh Syanqiti menafsirkan al-Quran dari awal sehinggalah sampai kepada ayat terakhir surah Mujadalah juzuk 28 ayat 22 yang bermaksud: mereka itulah penyokong agama Allah. Ketahuilah sesungguhnya penyokong agama Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

Sampai pada ayat ini beliau meninggal dunia. Tafsir Adwa al-Bayan disempurnakan hingga juzuk 30 oleh murid kesayangannya iaitu Sheikh Atiyyah Muhammad Salim r.a.

Sheikh Syanqiti meninggal dunia pada 1974 ketika menunaikan ibadat haji dan solat jenazahnya diadakan di Masjidilharam dan dikebumikan di perkuburan Ma’la. Solat ghaib juga dilakukan di Masjid Nabi.

Ditulis oleh : Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.