Menurut British Phartnacopoea, vaksin untuk kegunaan manusia ialah sediaan yang mengandungi bahan-bahan yang berupaya untuk mempengaruhi imuniti spesifik dan aktif dalam manusia terhadap suatu agen menular atau toksin atau antigen yang terhasil darinya (Abdul Halim Ihsan, 2013).

Di Malaysia, terdapat ijtihad yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam di Malaysia berkaitan dengan vaksin seperti vaksin Rubela (JAKIM, 2012).

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-21 di Dewan Syura, Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 12 September 1988 telah membincangkan isu Ubat Pelalian Rubela (Imimisasi Rubela) dan telah bersetuju memutuskan bahawa Vaksin Rubela yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa ini tidak najis dan hukumnya harus digunakan untuk suntikan dalam badan bagi mencegah penyakit rubela.

Rubela ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus dan ia mempunyai banyak persamaan dengan penyakit campak. Penyakit Rubela amat merbahaya kepada bayi di dalam kandungan dan ia mudah berjangkit melalui saluran pemafasan atau pergaulan yang rapat. Jika seseorang ibu mengandung dijangkiti Rubela dalam tiga bulan pertama, bayi yang bakal dilahirkan mungkin mati dalam kandungan atau jika dilahirkan berkemungkinan akan mengalami terencat akal, cacat mata, jantung, hati, limpa dan jantung.

Ketika Malaysia diserang penyakit Rubela ini sekitar tahun 1978 dan 1981, sebanyak 43 hingga 63 kes kecacatan kelahiran dilaporkan akibat daripada penyakit ini dan ia meningkat dengan mendadak kepada 221 kes pada tahun 1982. Mulai April 1988, Kerajaan telah melaksanakan program suntikan Rubela kepada pelajar perempuan dan wanita yang berusia antara 15 dan 44 tahun.

Vaksin pelalian Rubela yang digunakan diimport dari Itali dan tidak mengandungi sebarang tisu binatang. Walau bagaimanapun, vaksin tersebut diperbuat daripada tisu janin wanita yang mengalami keguguran dan telah melalui beberapa proses termasuk pencerakinan virus yang terdapat di dalam tisu janin tersebut. Vaksin yang terhasil daripada beberapa proses di dalam makmal ini digunakan bagi mencegah komplikasi kepada bayi sekiranya ibu yang mengandung dijangkiti Rubela.

Hasil kajian dan penelitian tersebut adalah didapati bahawa bahan-bahan yang digunakan dan proses pcmbuatan, persediaan vaksin serta bahan penstabil dalam imunisasi Rubela adalah tidak najis. Keseluruhan proses yang digunakan dalam penyediaan vaksin ini tidak melibatkan gelatin.

Oleh itu ianya harus digunakan berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu “Dharurat Mengharuskan Tegahan”, penggunaan suntikan Rubela adalah atas asas keperluan untuk menghindarkan perkara bahaya iaitu penyakit rubela, maka ianya diharuskan oleh syarak.

Berdasarkan kepada prinsip maqasid syariah, al-dharuriyat al-Khams (darurat lima) iaitu menolak kemudharatan terhadap agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah perlu diutamakan. Justeru, di Malaysia penggunaan vaksin Rubela, Hepititis B, vaksin meningococcal meningitis seperti Mencevax, Anthrax dan lain-lain telah digunakan sekarang adalah diharuskan sehingga kini.

Kini, kerajaan Malaysia dan dunia global sedang giat menggalakkan orang ramai untuk penggunaan vaksin Covid-19 bagi mengawal Covid-19 yang merbahaya dan mengacam kehidupan manusia di muka bumi ini. Vaksin yang telah diluluskan oleh Badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU), penggunaan vaksin COVID-19 yang dibekalkan syarikat farmaseutikal, Pfizer-BioNTech dan Moderna yang dihasilkan oleh Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna.

Selain Vaksin Pfizer, Malaysia juga telah memeterai perjanjian untuk pembelian vaksin keluaran Astra Zeneca (UK), Sinovac (China) dan Sputnik V dari Rusia untuk rakyat di negara ini.(Berita Harian, 2020).

IJTIHAD PENGGUNAAN VAKSIN COVID-19

Menurut Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2015), sekiranya diperbuat daripada bahan yang najis, ia terbahagi kepada dua, pertama jika ada alternatif lain, maka tidak boleh menggunakan vaksin yang najis. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ R.A yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.”

Kedua, jika tiada alternatif yang lain, ia dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara darurat. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam hal ini. Kaedah الضرورات تبيح المحظورات iaitu mudarat mengharuskan yang haram. Tetapi kaedah ini diikat dengan kaedah lain iaitu الضرورات تقدر بقدرها yang bermaksud mengambil darurat cukup yang perlu sahaja.

Dalam penetapan hukum yang melibatkan penggunaan konsep dharurah, terdapat beberapa syarat seperti berikut:

i-        Dharurah itu memang benar-benar berlaku, bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa atau pun harta benda. Kalau [un kekhuatiran itu berdasarkan andaian, anadaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

ii-        Orang yang berada dalam keadaan dharurah itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudharatan itu. contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia measti memilih pinjaman tanpa riba’ kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba’.

iii-       Orang yang dalam keadaan dharurah (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara ang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi syariat Islam dan usul akidah Islam, seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, Cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudharat yang lebih ringkas dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.

iv-       Ketika melepaskan keadaan dharurahnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan dharurah diukur dengan tingkatannya.

v-       Dalam isu tepaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil. (Nurdeng Deuraseh, 2016).

PENUTUP DAN KESIMPULAN

Vaksinisasi menurut perundangan Islam adalah tertakluk kepada jenis vaksin yang digunakan. Sekiranya vaksin yang dihasilkan tidak melibatkan bahan yang haram, maka vaksin tersebut boleh digunakan. Namun, sekiranya vaksin tersebut melibatkan bahan yang haram, maka keharusan penggunaannya adalah tertakluk kepada tahap darurat yang disahkan oleh pakar perubatan Muslim yang amanah. Namun begitu, status darurat tentang vaksin tidak boleh secara berterusan dijadikan asas.

Oleh itu menjadi kewajipan fardhu ain ke atas pakar farmasi Muslim semasa untuk menghasilkan vaksin halal dan menjadi kewajipan ke atas pembuat dasar kesihatan di Malaysia untuk membuat polisi hanya menggunakan vaksin yang halal bagi aktiviti vaksinisasi di Malaysia. Ini bagi menjamin vaksinisasi dalam kalangan umat Islam adalah menggunakan vaksin yang halal.

Di samping itu, umat Islam di Malaysia perlu diberi didikan kesedaran untuk melaksanakan proses imunisasi melalui gaya hidup sihat secara Islami dengan mengamalkan rawatan pencegahan yang berasaskan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW seperti menjaga kebersihan, mengambil pemakanan yang halal dan seimbang, serta mengambil makanan tambahan yang sudah terbukti khasiatnya dalam al-Quran, sunnah, dan kajian saintifik seperti madu, kurma, zaitun, minyak zaitun, delima, habbatus sauda’ dai seumpamanya (al-Qudah, 1987).

Jelasnya, ijtihad dan pendapat merupakan sumber yang penting dalam perundangan Islam kerana sumber-sumber ma`thur daripada SAW, para sahabat dan juga tabi`in adalah terhad. Sumber-sumbernya yang sahih pula tidak mentafsir semua ayat-ayat al-Quran, malah terdapat sumber-sumber ma`thur yang bertaraf daif, maudu`, munkar dan berdasarkan data-data yang diambil daripada Bani Israil. Ekoran daripada itu, para mufasir khususnya selepas zaman Rasulullah SAW sehinggalah zaman tabiin kembali kepada ijtihad dan pendapat peribadi apabila tidak menemui maklumat-maklumat yang asli daripada Rasulullah SAW, para sahabat dan juga tabi`in.

Rujukan:

Nurdeng Deuraseh. (2016). Penentuan Halal Haram dan Fatwa-Fatwa Berkaitan Produk Halal. Percetakan Melayu Malaysia.
Muhammad Ikhlas Rosele, Mohd Farhan Ariffin, Mohd Anuar Ramli, & Mohamad Zaim Isamail. (2016). Pendekatan Ijtihad Kontemporari Dalam Isu Semasa Di Malaysia. 13.
Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2015). Hukum Vaksin Daripada Perspektif Islam. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: Irsyad Al-Fatwa Ke-30: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30
H.Said Agil Husin Al-Munawar. (1998). Konsep al-Maslahah Sebagai Salah Satu Sumber Perundangan Islam. Islamiyyat.
Ahmad Nuryani, Nur Pratiwi, & Abdul Basir Mohammad. (2015). Penggunaan Insulin dan Vaksin Meningitis Kepada Jemaah Haji Menurut Perspektif Islam. 3(1), 9.
Mohammad Aizat Jamaludin, Mohd Anuar Ramli, & Suhaimi Ab Rahman. (2014). Ijtihad Kontemporari Dalam Pembinaan Fiqh Kepenggunaan Semasa Di Malaysia. Universiti Putra Malaysia, 16.
Ahmad Munif Suratmaputra. (2018). Vaksin Meningitis Dalam Kajian Fiqh. Misykat: Jurnal Ilmu-ilmu Al-Quran, Hadist, Syari’ah dan Tarbiyah, 3(1), 1. https://doi.org/10.33511/misykat.v3n1.1
Rahimin Affandi Abdul Rahim, Paizah Ismail, & Nor Hayati Mohd Dahlal. (2009). Ijtihad Dalam Institusi Fatwa Di Malaysia: Satu Analisis. 28.
Arieff Salleh Rosman. (2015). Fatwa Berkaitan Vaksin. Fatwa Berkaitan Vaksin. Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak, Sarawak.
Mahmood Zuhdi Ab Majid. (1994). Beberapa Pemikiran Tentang Ijtihad, Islah dan Tajdid. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Berita Harian. (2020, November 16). Vaksin Moderna 94.5 Peratus Berkesan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2020/11/754940/vaksin-moderna-945-peratus-berkesan
Syed Salim Syed Shamsuddin, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali, Mohammad Aziz, & Mohd Mohamed. (2019). Integrasi Ilmu Usul Fiqh, Usuluddin Dan Mantik Dalam Karya Akidah Jawi Untuk Memahami Nas-nas Mutasyabihat: Tinjauan Terhadap Kitab Risalah Manhaj Ahli Sunnah Oleh Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Wangah. Vol 4, 1–16. https://doi.org/10.33102/jsi2019.4.2.01
Farahwahida Mohd Yusof, P.M Amunuddin Ruskam, Azmi Shah Suratman, Mohd Nasir Ripin, Nur Raihan Nordin, & Sharifah Munirah Timmiati. (2020). Kaedah Penyelesaian Dalam Menangani Pertukaran Agama Dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam Di Johor, Selangor Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Universiti Teknologi Malaysia, 208.
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020, Mac). Penyakit Novel Coronavirus (Covid-19). Info Sihat : Kementerian Kesihatan Malaysia. https://www.infosihat.gov.my/
Luqman Arif, A. K. (2020, February 4). Kes pertama 2019-nCov Babitkan Rakyat Malaysia. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/652501/kes-pertama-2019-ncov-babitkan-rakyat-malaysia
Fauwaz Fadzil Noor. (2018). Kuasa Usul Fiqh. Telaga Biru Sdn Bhd.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.