Secara umumnya, pengamalan sesuatu wirid, hizib, selawat dan seumpamanya akan melalui proses pengijazahan yang diberikan oleh seseorang guru yang `alim atau wali Allah yang sememangnya keahlian di dalam bidangnya atas kelazimannya beramal.

Namun, kita mungkin timbul persoalannya, bagaimana pula apabila kita mengamalkan tanpa melalui proses pengijazahan? Adakah amalannya tidak bermakna atau tidak diterima oleh Allah SWT?

Oleh yang demikian, bagi menjawab persoalan tersebut, katakan Zeckry mengalami sakit perut, lalu dia pergi farmasi untuk mendapatkan ubat mengikut kesesuaiannya. Adakah dia dijamin sembuh? Boleh jadi sembuh, boleh jadi tidak atau mungkin sakitnya lebih parah sekiranya ubat yang diambil tidak sesuai dengan dos yang diperlukan.

Perbezaan kita dapat lihat, apabila Zeckry jumpa doktor pakar dan mengadu penyakit yang dihadapinya, kemudian doktor mendengar aduan dan menganalisis kemudian memberikan ubat yang harus diambil oleh Zeckry. Setelah Zeckry mendapatkan satu resit pengambilan ubat dan dibawa ke farmasi, maka dia akan mendapatkan ubat yang betul dan 100% dijamin menyembuhkannya dengan yakin.

Analogi tersebut menggambarkan kepada kita bahawa, amalan wirid yang berfungsi sebagai ubat hati atau jiwa insani. Sebaliknya apabila kita hanya memetik sesuatu amalan dari buku atau kitab tertentu saja (tidak melalui proses perguruan) dan diamalkannya. Maka boleh mendatangkan manfaat atau mungkin juga boleh membahayakan bagi jiwanya. Namun, apabila kita memperolehi dari seorang ahli wirid atau amalan dan melalui proses pengijazahan, maka wirid yang diamalkan sesuai dengan resepi atau keizinan dari ahlinya pasti mendatangkan manfaat besar bagi kesembuhan hatinya.

Namun, jika seseorang yang hanya bermodalkan daripada bacaan buku-buku atau kitab kedoktoran pasti kesukaran untuk diyakini dan dipercayai pesanan-pesanan mengenai kesihatannya. Kefahamannya mengenai dunia kesihatan juga tidak dapat dijamin kebenarannya kerana ia berbeza dengan seseorang yang bertahun-tahun menekuni dalam pembelajarannya di fakulti kedoktoran dan meraih ijazah yang sah, pasti lebih terjamin keahliannya.

Begitu juga seorang pengamal wirid apabila hanya memperolehi daripada kitab-kitab mujarrabat misalnya, tidak akan sama dengan seorang pengamal wirid yang diperolehi ijazah serta bimbingannya daripada para ahlinya.

Bertanyalah kepada Ahli Zikir jika kamu tidak ada pengetahuan tentang hal itu.” (An-Nahl:43) Ayat ini menuntut kita untuk merujuk kepada orang yang dikatakan Ahli Zikir dalam memberi jawapan kepada persoalan kehidupan kita. Ayat ini, sesungguhnya, sangat relevan dalam memberi jalan keluar kepada permasalahan sosial termasuk permasalahan dalam mengekang penularan Covid-19 ini. (Memburu Vaksin Rabbani)

Ahli Zikir inilah yang patut menjadi tempat rujuk semua pihak dalam menyelesaikan masalah masyarakat itu. Malangnya, kebanyakan daripada kita merujuk kepada yang bukan ahlinya dan hasilnya permasalahan tidak dapat diselesaikan, malah semakin hari semakin teruk.

Maka, benarlah kata-kata Rasulullah iaitu: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan yang bakal menimpa.”

Siapakah dia Ahli Zikir yang Allah SWT perintah supaya kita merujuk kepadanya dalam persoalan kehidupan?

Ahli Zikir ini bukanlah orang yang duduk-duduk berzikir atau berjalan-jalan dengan membawa tasbih ke sana sini sambil mulutnya kumat-kamit.

Benar, mereka itu berzikir tetapi belum lagi boleh diiktiraf sebagai Ahli Zikir tetapi untuk mencapai sebagai Ahli Zikir mereka menjalani proses zikrullah.

Oleh itu, dimaksudkan Ahli Zikir ini ialah orang yang hatinya benar-benar sudah terhubung dengan Tuhan dalam semua hal.

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ

Maksudnya: Orang-orang yang hatinya terhubung dengan Allah pada waktu berdiri, duduk dan berbaring (Ali-Imran:191)

Oleh yang demikian, abpabila hatinya sudah terhubung dengan Tuhan, maka jadilah ia sebagai Hamba Allah yang memiliki kesayangan Tuhan seperti yang digambarkan oleh Tuhan dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata:

إنَّ اللَّهَ قالَ: مَن عادَى لي وَلِيًّا فقَدْ آذَنْتُهُ بالحَرْبِ، وما تَقَرَّبَ إلَيَّ عَبْدِي بشَيءٍ أحَبَّ إلَيَّ ممَّا افْتَرَضْتُ عليه، وما يَزالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ، فإذا أحْبَبْتُهُ، كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذي يَسْمَعُ به، وبَصَرَهُ الَّذي يُبْصِرُ به، ويَدَهُ الَّتي يَبْطِشُ بها، ورِجْلَهُ الَّتي يَمْشِي بها، وإنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ، وما تَرَدَّدْتُ عن شَيءٍ أنا فاعِلُهُ تَرَدُّدِي عن نَفْسِ المُؤْمِنِ؛ يَكْرَهُ المَوْتَ، وأنا أكْرَهُ مَساءَتَهُ.

…..“Amalan ibadah fardhu yang Aku wajibkan kepada hamba-Ku yang mereka lakukan untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku dan Hamba-Ku itu sentiasa melakukan ibadah-ibadah sunat (nawafil) untuk mendekatkan diri kepada-Ku hingga Aku mencintainya.

Dan apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi telinga baginya untuk mendengar, mata untuk melihat, tangan untuk memegang serta kaki untuk berjalan. Apabila ia meminta kepada-Ku pasti akan Kuberi. Apabila meminta perlindungan kepada-Ku pasti akan Ku lindungi.” (HR al-Bukhari dan Ibnu Hibban: 6502) Berdasarkan Hadith Qudsi tersebut, menjelaskan kepada kita bahawa mereka yang sudah terhubung hati dengan Tuhan atau disebut juga sebagai Ahli Zikir. Oleh yang demikian, apabila merujuk kepada Ahli Zikir tentang sesuatu masalah, makanya masalah itu diselesaikan mengikut kehendak Allah SWT kerana dorongan hatinya adalah dorongan Allah SWT Bilamana dia berbuat, dia berbuat bagi pihak TuhanNya. Apabila dia berpendapat, dia berpendapat bagi pihak TuhanNya. Kerana kehendak hatinya sudah selari dengan kehendak Tuhan. Tuhan pasti akan membantunya. Doanya cepat dimakbulkan.

Rujukan:

Muhammad Yusuf A Kadir. (2014). Pilihan Hadis Qudsi. Telaga Biru Sdn Bhd.
Abdul Aziz Sukarnawadi. (2019, January 12). Mengamalkan Sebuah Wirid Haruskah dengan Ijazah? https://www.aziznawadi.net/mengamalkan-sebuah-wirid-haruskah-dengan-ijazah/
Mohd Hafizuddin. (2020, May 5). Hamba atau Makhluk. https://www.facebook.com/hafiz.mhmr

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.