Buku yang berjudul “Tuntutan Akhlak Mulia Dalam Kehidupan” tahun 2017 ini ditulis oleh Profesor Madya Dr. Abdul Munir bin Ismail mempunyai sembilan bab yang mengajak umat Islam untuk memenuhi tuntutan individu berakhlak terhadap terhadap diri sendiri, kekeluargaan, sosial, alam sekitar dan kenegaraan sesuai dengan tajuknya.

Dakwah yang disampaikan melalui penulisan buku ini bagi menyedarkan individu bahawa seseorang itu dapat memiliki nilai keperibadian terpuji untuk diterjemahkan melalui karekter apabila mengikut jejak langkah Rasulullah SAW sebagai contoh untuk diikuti. Oleh itu, nilai yang mengikut landasan Islam berdasarkan wahyu dan kehendak Allah SWT berpandukan kepada dua perkara.

Pertama melakukan perkara yang wajib adalah disuruh dan disukai oleh Allah SWT, serta akan mendapat ganjaran pahala atas kebaikan dilakukan.

Kedua, perbuatan yang haram akan dibenci Allah dan akan mendapat pembalasan buruk. Maka, tuntutan dalam buku ini sebagai panduan dalam mengawal diri supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT dan menjauhi perkara yang boleh menjerumuskan diri seseorang kepada nilai yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Buku ini adalah penting sebagai kewajipan dalam memenuhi tuntutan-tuntutan individu berakhlak mulia, penulis membawakan konsep, hujah, dan maklumat. Selain itu, penulis mengupas kaedah untuk meningkatkan akhlak mulia ini dengan mengenali sikap manusia itu sendiri berdasarkan pandangan Ibnu Miskawaih (1398H) yang berpendapat bahawa manusia memiliki tiga sifat utama iaitu, sikap akhlak buruk (al-Nafs al-Bahimiyyah), sikap akhlak mulia (an-Nafs an-Nathiqah) dan sikap akhlak pertengahan yang kadangkala baik dan buruk.

Berdasarkan ciri-ciri akhlak mulia yang dibincangkan dalam buku ini menjadi asas sebagai tuntutan dalam meningkatkan pengetahuan dan pengamalan tuntutan berakhlak terpuji kerana akhlak merupakan kehidupan kita semua agar amanah yang diberikan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi dapat dipelihara oleh semua penghuni.

Walau bagaimanapun, buku ini juga menyingkap daya untuk berfikir yang menjadi persoalan umat Islam dan apakah perkaitan dengan tujuan Allah melantik Nabi Adam AS dilantik sebagai khalifah di bumi ini? Kenapa Nabi dan Rasul SAW diutuskan Nabi atau Rasul SAW sebagai pembimbing manusia di alam ini.

Oleh yang demikian, buku ini memberi penekanan akhlak Rasulullah SAW sebagai model atau sampel yang unggul dan difahami oleh pendidik dan pemimpin ummah dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara agar sentiasa mezahirkan perangai atau sifat yang terpuji sepertimana yang ada dalam diri Rasulullah SAW.

Begitu juga, buku ini juga penting sebagai pendedahan dengan isu-isu dan keruntuhan akhlak semasa yang sering menjadi kepada permasahan umat Islam ketika ini dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mengikut masa dan zaman. Disamping, membincangkan kaedah penyelesaian serta membawa teori pemikiran tokoh silam akhlak yang amat sesuai diperhalusi oleh semua lapisan masyarakat dalam memahami kaedah kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, sasaran buku ini disusun secara umum dan khusus berdasarkan keperluan semasa masyarakat bagi memahami akhlak mulia secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek. Umumnya, buku ini bersesuaian masyarakat dan kenegaraan dan khususnya kepada pelajar yang mengambil kursus major Akhlak, Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Maka, buku ini sesuai dijadikan untuk dijadikan panduan kepada ibu bapa, guru, para pentadbir dan pemimpin politik serta seluruh umat Islam yang cintakan akhlak Rasulullah SAW untuk mendalami akhlak terpuji dengan mendalam bagi membentuk ummah sejahtera dengan mengamalkan dan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Buku ini juga menarik sebagai panduan dan bimbingan kepada bukan Islam dalam memahami konsep akhlak mulia dalam Islam untuk dijadikan pedoman, pembandingan dan kajian Pendidikan Moral.

Justeru, ulasan ini akan memfokuskan pada bab kelapan “ Tuntutan Berakhlak Mulia Dalam Konteks Kenegaraan” di subtopik berjudul “ Akhlak Dalam Berkempen” yang penulis garapkan untuk panduan kepada ahli politik dalam berkempen semasa pihanraya agar mengikuti landasan akhlak Rasulullah SAW sebagai ikutan..

Siapa penulis buku ini ?

Buku ini ditulis oleh Profesor Madya Dr. Abdul Munir Ismail berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Malaya pada 2009 dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan. Berpengalaman luas dalam bidang dakwah dan khidmat masyarakat. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam (1991-1993), Pegawai Dakwah, BAHEIS Sabah (1993-1997), Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM (1997-2011).

Dalam tempoh itu, beliau pernah bertugas di JAWI, Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor. Kini sebagai Pensyarah Kanan dan mengajar kursus Akhlak di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Tuntutan Akhlak Mulia Dalam Konteks Kenegaraan

Bab kelapan yang bertajuk “Tuntutan Akhlak Mulia Dalam Konteks Kenegaraan”, penulis menekankan tentang Akhlak Dalam Berkempen sebagai salah satu dalam subtopik dalam tajuk ini yang jarang dibincangkan secara khusus dalam pendidikan akhlak.

Objektif penulis membincangkan di dalam buku ini adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada golongan pimpinan dan rakyat untuk melakukan penilaian dan menganalisa sewajarnya tentang tabiat pemimpin atau wakil rakyat ketika berkempen dalam memenangi pilihanraya di kawasan masing-masing sehingga melampau batas-batas dengan mengeluarkan berita palsu, fitnah dan mengadu domba, mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat, mengumpat, serangan peribadi, hasutan dan menjatuhkan maruah seseorang yang lain.

Maka, sebahagaian amalan tersebut adalah jauh tersasar dari landasan yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sifat terkeji yang ada pada seseorang pemimpin seharusnya ditolak oleh rakyat agar melakukan pilihan dengan betul dan tepat mengikut cara keperibadian Rasulullah SAW yang telah mendatang contoh kepada umat Islam dan rakyat seharusnya dapat membezakan mana yang terpuji dan terkeji.

Dakwah penulis dalam membincangkan Akhlak Dalam Berkempen ini agar pemimpin semasa berkempen mesti menjaga adab sebagai seorang yang muslim agar ia menjadi contoh kepada orang bukan Islam, agar agama Islam tidak tercemar dengan perkara-perkara yang menjadi tabiat yang buruk dengan cermat dan berfikir dengan rasional sebelum mengeluarkan kata-kata semasa berkempen. Walaupun pemimpin itu bersemangat apabila berada dihadapan rakyat ketika itu, namun, ia tidak boleh menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan atau kesempatan untuk menabur fitnah yang sangat terkutuk dalam agama Islam.

Sedangkan kaedah pemilihan pemimpin dalam Islam adalah wajib dan mendapat rahmat dari Allah SWT tetapi malang, dicemari dengan perbuatan dosa. Jadi, sejauhmanakah kelimpahan rahmat dan keampunannya dapat mengalir kepada semua rakyat dihadapanya untuk mencapai misi negara yang diberkati apabila pemimpin itu sendiri memulakan dengan perkara yang berdosa dalam berkempen dan tidak mengamalkan tuntutan akhlak mulia sebagai sampel untuk rakyat dibawahnya sebagai firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (al-A’raf :96)

Ayat tersebut menjelaskan erti keberkatan serta meraihkannya untuk sesebuah negara. Inilah yang kita cita-citakan agar negara yang kita berada padanya berada dalam keadaan penuh dengan keberkatan dan ketenangan serta keharmonian yang membawa kepada kebahagiaan hidup.

Oleh yang demikian, penulis buku ini menekankan bahawa ciri-ciri pemimpin beretika dan berintegriti akan dihormati oleh rakyat apabila menjauhi sifat-sifat mazmumah.  Maka, segala tujuan yang baik akan menjurus kepada aktiviti dengan cemerlang. Pemimpin mesti menampilkan akhlak yang baik seperti amanah, jujur, ikhlas, tidak mengumpat, tidak memfitnah, tidak rasuah, berlapang dada, menunaikan janji, bertanggungjawab, berjiwa rakyat dan sebagainya (Aminudin Mansor, 2017).

Akhlak dalam berkempen merupakan wasilah kepada pemimpin dan rakyat yang saling perlu memerlukan dalam meningkatkan keperibadian yang mulia agar penerapan budaya hormat menghormati dihormati dapat dipupuk. Maka, pemimpin untuk dihormati, maka akan bermula dari pemimpin menghormati rakyat dengan berlaku adil dengan menjaga nilai keperibadian yang baik dan terpuji. 

Perbincangan penulis pada Akhlak Dalam Berkempen ini untuk memberi kesedaran kepada semua sebenarnya cuma dikhususkan kepada pemimpin menjaga adab apabila berkempen dalam pilihan raya dan rakyat dapat melakukan penilaian dan pemilihan dengan baik terhadap calon yang bakal dipertandingkan. Setiap kali ada pilihan raya, akan adalah kempen untuk memenangi hati pengundi. Bagaimanapun, keadaan dan cara kempen pilihan raya sekarang sudah banyak berubah.

Menurut Aminudin Mansor (2017) jika pada 1950-an dan 1970-an, parti yang bertanding akan berkempen mengenai tujuan dan hasrat serta wawasan parti itu terhadap pengundi, kini strategi dan gaya berpolitik sudah berubah lebih ke arah kepentingan diri kerana kebanyakan calon pilihan raya, baik parti pemerintah atau pembangkang pada masa itu lebih menampilkan perwatakan diri yang baik, karisma sebagai pemimpin, boleh berpidato berjam-jam, prasyarat utama kehebatan seseorang calon. Pada masa itu, liputan akhbar agak kurang, internet dan blog, mahupun media sosial langsung tiada. Zaman sudah semakin berubah, adab dan akhlak ketika berkempen mesti dijaga.

Tulisan pada bab ini, penulis sebenarnya juga ingin merungkaikan tabiat yang berlaku dalam masyarakat melayu apabila berkempen dalam pilihan raya zaman sekarang, memandangkan suatu ketika dulu dalam masyarakat melayu terkenal dengan istilah yang dipanggil Budiman.

Dalam warisan masyarakat Melayu, orang yang mempunyai budi pekerti, budi bahasa, budi bicara, akal budi atau hati budi dan adab sopan yang tinggi dan mulia dianggap sebagai orang yang budiman. Namun tanggapan demikian sudah terhakis disebabkan pengaruh kemodenan. Menurut, Mustafa Daud (1995), menjelaskan bahawa perkataan budi apabila ditambah dengan awal “ber” menjadi berbudi atau “man” di akhirnya menjadi budiman akan membawa maksud seseorang yang mempunyai budi bahasa, adab sopan bersungguh-sungguh dalam pekerjaan, mempunyai daya ikhtiar yang tinggi, matang, bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan yang paling banyak menabur jasa dan bakti.

Jika kita memahami konsep budiman telah menyatakan nilai akhlak yang tinggi, keyakinan diri serta keberanian untuk menghadapi cabaran. Namun, sebagai orang bersahsiah mulia dan memelihara maruah diri seperti integriti, berfikiran jauh, bermanfaat untuk orang lain dan hidup bermasyarakat.

Maka, persoalannya, bagaimana masyarakat memelihara nilai murni tersebut berhadapan dengan era globalisasi yang memungkinkan manusia hilang ciri-ciri budiman dengan sebab perlumbaan hidup yang semakin mencabar sehingga kehidupan msyarakat Melayu telah banyak menyimpang dan terkeluar daripada norma Islam yang terpelihara daripada gejala sosial, perkara menyongsang kehidupan masyarakat melayu dari nilai mulia.

Oleh yang demikian, pada pandangan saya, penghakisan terhadap komponen teras hati budi itu akibat terpengaruh dengan fahaman liberalisme, sekularisme dan materialisme barat sehingga menjelma sifat-sifat dalaman yang buruk iaitu penyakit hati budi misalnya nafsu serakah, dendam kesumat, hasad dengki, iri hati dan fitnah mengakibatkan gejala menabut fitnah yang parah yang melanda kebanyakan orang Melayu dan masyarakatnya pada zaman lampau dan juga kini. Semua penyakit hati ini dizahirkan pula sebagai luahan emosi dalam bentuk ucapan, tindakan dan aksi tertentu misalnya mengumpat, memfitnah, menghasut, mengancam, menghina, mencarut, bersengketa, berkomplot, merasuah, berkonspirasi, memukul, mencedera, membunuh dan lain-lain.

Maka, bagi yang terpengaruh dengan fahaman atau budaya luar dan membiarkan penyakit hati tanpa penyucian (tazkiyatul-nas) mengakibatkan berlaku keruntuhan hati budi dalam masyarakat melayu kerana di sebab keegoan untuk mempertahankan fahaman dan pengaruh masing-masing seperti populariti dan keegoan bagi membuktikan bahawa kita sahaja yang betul orang lain adalah salah.

Justeru, dalam subtopik Akhlak Dalam Berkempen, penulis menyeru kepada semua lapisan masyarakat mesti memahami tanggungjawab dan akhlak dalam kehidupan bernegara agar dapat rakyat membuat pilihan yang bertepatan dengan apa yang Allah SWT redhai agar negara ini diberkati dan mendapat keampunanNya. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

(Surah Saba’: 15)

Ini menjelaskan bahawa, sesuatu negeri itu baik memperolehi keampunan apabila pemimpin dan rakyat sentiasa mensyukuri yang salah satunya apabila mengikut jejak langkah apa yang Allah SWT dan Rasulullah SWT kehendaki,bukan apa yang kita mahu yang sering tergelincir ke arah jiwa kotor sehingga mengakibatkan keluar perkataan dan perbuatan yang negatif seperti mengecam peribadi orang lain, menabur fitnah, mengumpat, dendam, penyebarkan berita tidak benar dan hasutan untuk perpecahan yang sering berlaku dalam berkempen pilihanraya.

Manusia dianugerahkan dengan kesempurnaan anggota tubuh badan oleh Allah SWT sebagai satu nikmat. Sudah tentu anugerah ini mempunyai nilai tertentu dan semestinya ia dipelihara dengan sebaiknya. Antara anugerah yang besar ialah lidah. Namun, dalam keghairahan kita lupa batas agama serta dosa dan pahala sehingga sanggup menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah.

Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita palsu, dokumen palsu dan disebarkan melalui internet serta media sosial hanya semata-mata untuk mencapai kemenangan. Sebagai seorang Islam yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat, kita hendaklah menjaga akhlak dan adab ketika berkempen. Oleh itu, penyalahgunaan pancaindera yang Allah SWT berikan menandakan orang itu tidak bersyukur kepada yang maha mencipta.

Oleh itu, pada bab tersebut menjelaskan kepada tanda orang bertaqwa adalah mereka yang merelakan menjadikan Rasulullah SAW sebagai imam, pemimpin dan contoh teladan mereka, mereka berhukum dengan hukumnya dan meneladaninya dalam segala tingkah-lakunya, mereka juga menjadikan Rasulullah SAW sebagai orang yang paling mereka cintai, bahkan lebih daripada pendengarannya dan penglihatan mereka. Firman Allah SAW:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ

ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا

Maksudnya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan yang banyak mengingati Allah (al-Ahzab: 21)

Sebagaimana dinukilkan oleh Dr `Aidh Abdullah Al-Qarni yang membayangkan kisah Imam Malik Bin Anas RA yang mengajar kitab Muwata` di masjid Nabawi di Madinah, ketika dia sedang tekun membaca kitab tersebut, tiba-tiba digigit seekor kala jengking sebanyak tidak belas gigitan, tetapi dia masih tenang.

Setelah Imam Malik selesai mengajar, dia melihat bekas gigitan kala jengking tersebut pada betisnya, lalu dia mengusapnya dengan ubat penawar racun, lalu salah seorang muridnya berkata kepadanya: “ Wahai tuan, mengapa tidak berhenti tadi, semasa tuan baru digigit oleh kala jengking tersebut ? Lalu Imam Malik menjawab : Maha Suci Allah ! Adakah aku berhenti membaca hadis kekasihku Rasulullah SAW hanya kerana gigitan seekor kala jengking ? cinta apa seperti itu ? dan kerinduan apa kah itu ?…..

Kisah tersebut telah menggambarkan kepada kita bahawa adab Imam Malik terhadap Rasulullah SAW yang boleh tenang dan bersahaja apabila digigit oleh seekor kala jengking ketika sedang membawa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan kepada kita itulah kerinduan dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW sebagai contoh taulan yang begitu kuat kerana mengenali siapakah Rasulullah SAW bukan insan biasa pengorbanannya untuk menyampaikan risalah Islam kepada kita semua yang tidak semudah dan sesukati hati untuk tidak mengikuti ajaran yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maka, penulis mengajak agar tuntutan akhlak berkempen ini mesti ditaati sehingga amalan dosa yang dilakukan melampaui batasan adab dan akhlak oleh pemimpin demi meraihkan sokongan orang ramai untuk menyokong parti masing-masing.

Subtopik ini menjelaskan kepada kita, bahawa akhlak dalam berkempen diabaikan oleh pemimpin yang mengarahkan masyarakat dibawahnya kepada perkara-perkara negatif seperti perasaan dengki, benci, dendam dan hasad sehingga boleh menjadikan kesan kepada perpecahan dan membenci dalam komuniti.

Dr `Aidh Abdullah Al-Qarni (2018) antara kriteria orang bertaqwa adalah hati mereka tidak menyimpan perasaan dengki, dendam dan hasad kepada sesiapa sahaja kepada hamba Allah SWT kerana orang yang bersifat dengki dan menjadikan dengki itu sebagai salah satu sebab untuk memusuhi saudaranya kerana mungkin mereka berselisih faham dalam suatu perkara yang bersifat salah faham sahaja. Namun, sifat dengki dengan kuasa orang lain, maka pemimpin berkempen untuk menjatuhkan dengan cara mempupuk nilai-nilai negatif yang tidak wajar diucapkan dan diperbuatkan.

Selain itu, penulis menyedarkan pemimpin yang mungkiri janjinya sebagai akhlak orang munafik dengan menyarankan ahli politik mestilah menunaikan janji yang telah mereka janjikan kepada para pengundi dan jangan memungkiri janji.

Sebenarnya ketika kempen, penduduk dan pengundi sangat teringin mendengar perubahan setempat berkaitan kemajuan pembangunan pendidikan, kemudahan kesihatan, bekalan air dan api yang lebih baik dan lancar, peluang perniagaan, peluang pekerjaan, pembangunan asas dan infrastruktur yang memanfaatkan rakyat serta kemajuan kampung yang mereka diami sangat sedikit disentuh. Perlu difahami apabila ada pemimpin, maka terpimpin masyarakat dan apa masalah dapat diatasi dan diselesaikan melalui kepemimpinan (Aminudin Mansor, 2017).

Kesimpulan

Hasil daripada perbincangan pada subtopik Akhlak Dalam Berkempen, menjelaskan kepada kita bahawa, peranan yang harus diperlihara oleh ahli politik ketika berkempen bukan saja melakukan perbuatan dosa dengan menabur fitnah, menghasut, memungkiri janji kepada pengundi bahkan boleh mendatangkan kesan kepada masyarakat kepada perpecahan itulah antara hikmah yang menjadi kemestian untuk mengikuti akhlak Rasulullah SAW kerana baginda juga seorang pemimpin yang hebat di Kota Madinah yang dapat menyatupatukan umat Islam dari segi perpaduan, sosial, ekonomi dan memartabatkan Islam yang cemerlang.

Oleh yang demikian, ahli politik wajar mencari jalan yang lebih mengutamakan kebaikan dan menyantuni rakyat setempat dengan perkara yang lebih efisien, kreatif, dinamik, progresif dan bermanfaat sesuai dengan pemikiran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) untuk komuniti daripada berkempen yang melangkaui batasan yang dilarang dalam Islam.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.