TIdak dinafikan bahawa terdapat banyak perbincangan dalam kalangan sarjana-sarjana Islam Nusantara yang mendakwa bahawa idea tasawwuf yang masuk ke Nusantara mengandungi elemen pengaruh Syiah.  Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut bermula daripada kajian permulaan Islam menyerap masuk ke Nusantara yang mempunyai sejarah panjang yang bertali arus dengan dunia Islam luar dan budaya Arab-Parsi. Oleh yang demikian, kemunculan ajaran dan pemikiran budaya Syiah menjadi salah satu aspek perbahasan yang penting dalam kajian para sarjana mengenai sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Pemikiran Syiah telah dibincangkan bersama pengaruh-pengaruh lain seperti Arab dan Parsi yang dianggap penyumbang terbesar dalam pemikiran keagamaan dan budaya umat Islam di rantau ini yang bermula dari Indonesia dan Pattani dan sebagainya.

Menurut Wan Haslan Khairuddin et al. (2020), beberapa sarjana cuba menjelaskan bahawa aliran Islam yang terawal diterima oleh masyarakat melayu di Alam Melayu adalah fahaman Syiah sebelum dikuasai oleh aliran teologi Ashairah bermazhab Syafie. Kenyataan ini telah cuba dinafikan oleh beberapa sarjana yang menganggap bahawa Syiah tidak memiliki pengaruh teologi selain hanya telah bercampur aduk dengan budaya Arab-Parsi yang telah meresap dalam pemikiran tasawuf Sunni dan sastera Melayu klasik. Namun, Terdapat teori yang menolak kewujudan fahaman Syiah secara ideologi agama dan kuasa politik sekaligus menyatakan Sunni merupakan aliran pertama yang tiba ke Indonesia (Alam Melayu) dan terus menerus menjadi pegangan majoriti masyarakat sehingga hari ini. Bagaimana pun mereka tidak menolak kemasukan pengaruh Parsi. Pendapat ini telah dikemukakan oleh Azyumardi Azra dan Hamka. Menurut Azra unsur-unsur pemikiran Syiah yang ada dalam masyarakat Melayu terawal sebenarnya berasal dari Parsi yang tidak semestinya Syiah. Syiah juga tidak pernah menjadi ideologi politik dan doktrin dalam masyarakat Melayu sehingga hari ini.


Azyumardi Azra juga mengkritik pendapat Baroroh Baried, M. Yunus Jamil dan A. Hasjmy yang menyatakan Syiah pernah menjadi kuasa politik di utara Sumatera menerusi kesultanan Perlak dan pertarungan Syiah -Sunnah yang pernah muncul dalam kerajaan tersebut. Azra juga menolak kewujudan perang antara pengikut Syiah dan Sunnah yang berlaku dalam kerajaan Samudera-Pasai. Menurut Azyumardi Azra -M. Yunus Jamil dan Hasjmy telah menggunakan sumber lokal yang belum diuji kesahihannya kerana kedua-duanya tidak menyebutkan sumber ambilan dan kedua-duanya tidak pernah menguji maklumat dari historiografi lokal tersebut dengan sumber-sumber yang lain.

Selain itu, menurut Azyumardi Azra berdasarkan penelitian mutakhir tidak ada bukti kukuh yang boleh dipegang bahawa pada pertengahan abad ke-9M telah wujud satu entiti politik Islam di kawasan Perlak apatah lagi dikuasai oleh Syiah. Azra juga menolak berlakunya persaingan kuasa antara Sunni-Syiah dan perang saudara antara Sunni-Syiah kerana hubungan Syiah-Sunah tidak pernah menjadi rumit sehinggalah munculnya kerajaan Safawiyyah di Iran pada abad ke-16M. Hamka pula telah mendedahkan khayalan yang dicipta oleh Onggang Parlindungan dalam buku ‘Tuanku Rao’ mengenai kewujudan Syiah Karmatyah (Qaramitah) di Minangkabau selama 300 tahun adalah berdasarkan 98% sumber yang sudah terbakar . Bagi Hamka, adalah perkara mustahil pengaruh sesebuah kerajaan Syiah selama 300 tahun dan memiliki 1800 mullah Syiah yang bengis terhadap Ahli Sunnah boleh dihapuskan oleh sebuah mazhab Syafie yang hanya berkuasa selepas itu selama 34 tahun sahaja.


Jelasnya, Azyumardi Azra dan Hamka menolak kewujudan Syiah secara ideology, agama dan politik sepanjang kedatangan awal Islam ke Alam Melayu. Walau bagaimanapun, Azra tidak menafikan pengaruh Parsi yang dianggap tidak semestinya Syiah dalam budaya dan pemikiran agama di rantau ini. Hubungan India-Parsi telah lama wujud antara India-Parsi dan kepulauan Melayu sebelum Islam. Thomas Arnold telah melaporkan kewujudan orang-orang Syiah berketurunan India dan Parsi di kawasan pantai Jawa dan Sumatera pada akhir abad ke-14. Ini telah meyakinkan beliau bahawa Islam telah diperkenalkan kepada masyarakat Indonesia adalah di bawah pengaruh kebudayaan Parsi-India oleh orang-orang Syiah.

Kedatangan para pendakwah Syiah ini sering kali dikaitkan dengan dua alasan iaitu, kekejaman pemerintah terutamanya Bani Umayyah dan aktiviti penyebaran Islam dirantau ini.

Kerajaan Aceh telah didirikan pada 601H / 1205M dengan sultan pertamanya, Sultan Alaudin Johan Syah (601-631H / 1205-1234M). [42] orang Sultan kerajaan ini menganut aliran Ahli Sunah wa al-Jama’ah. Bagaimanapun pengaruh Syiah dapat dikesan menerusi tokoh-tokoh besar ulama yang memegang jawatan penting dalam negara. Pengaruh ini telah mencetuskan pergolakan dalam negeri yang mengakibatkan berlakunya perbezaan pendapat dan pergeseran politik hingga berlaku beberapa peristiwa seperti pembakaran buku-buku, penurunan takhta dan seumpamanya. Di Aceh telah berlaku pertentangan antara konsep wahdah al-wujud dengan wahdah al-syuhud. Fahaman wahdah al-wujud yang berasal dari ajaran Syiah telah diketuai oleh Hamzah Fansuri dan muridnya, SyamsuddinSumaterani. Manakala Nur al-Din al-Raniri dan Syeikh cAbd. Ra’uf Syiah Kuala menganut fahaman wahdat al-syuhud. Kedua-dua belah pihak telah menghasilkan kitab masing-masing.

Wahdatul Wujud, Insan Kamil, Nur Muhammad yang terdapat dalam ajaran tasawuf falsafah merupakan resapan dari ajaran Syiah. Ia telah berkembang semenjak kemasukan kitab Bahr Lahut yang diajarkan oleh Syeikh ‘Abdullah ‘Arif pada abad ke-12M di Kedah, Pasai dan Aceh. Menurut A. Hasjmy pada abad ke-16 dan 17M tokoh-tokoh ulama Syiah dan Sunnah silih berganti datang ke Aceh dari semenanjung Tanah Arab, Parsi dan India dengn tujuan memperkuatkan golongan masing-masing. Tiga ulama Arab dan Parsi telah mengunjungi Aceh, dua orang beraliran Sunnah dan seorang penganut Syiah ghulat. Peristiwa ini berlaku pada abad ke-18M ketika Sultan Ala’udin Riayat Syah memerintah antara tahun 989-995H / 1581-1587M. Ulama Syiah berkenaan ialah Shaykh Abu al-Khayr Ibn Hajar. Beliau membawa fahaman wujudiyyah dan a’yan al-thabitah dan telah disambut baik oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani.

Dua ulama aliran Sunnah ialah Syeikh Muhammad Yamin dan Muhammad Jilani bin Hasan (bapa saudara kepada Nur al-Din al-Raniri) yang datang dari Gujerat. Syeikh Muhammad Yamin membawa ajaran wahdatul syuhud yang bertentangan dengan Abu al-Khayr. Ajaran ini diterima oleh Nur al-Din al-Raniri dan Abd. Rauf Singkel dan pengikut mereka. Kedua-dua ulama’ Sunnah ini telah menyanggah ajaran Abu al-Khayr sehingga menimbulkan pergeseran (Wan Haslan Khairuddin et al., 2020).

Pertembungan ini telah melarat di mana Nur al-Din dan ‘Abd Ra’uf telah menentang ajaran wujudiyyah yang dibawa oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani. Hamzah Fansuri telah menghasilkan karya Ruba’i Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani menulis karyanya Syarh Rubai Fansuri dan Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi yang mengandungi ajaran martabat tujuh. Syamsuddin Sumaterani telah dilantik sebagai kadi semasa pemerintahan Sultan Ala’udin Riayat Shah IV (1598-1604M), namun beliau tidak berjaya mengembangkan ajarannya. Nur al-Din al-Raniri menjadi kadi dalam kerajaan Sultan Ali Mughayat Syah Iskandar Thani (1636-1641M).

Sebelum perlantikannya, pengikut wujudiyyah telah memulakan kekacauan di Acheh. Kerana faktor ini, Nur al-Din al-Raniri menasihati Sultan supaya mengambil tindakan keras dan menekan fahaman wujudiyyah. Hasilnya sultan mengarahkan semua karya wujudiyyah dibakar. Kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani dibakar di Masjid Bayt Rahman. Malah dilaporkan berlaku pembunuhan kejam ke atas penganut wujudiyyah atas arahan pemerintah. Selepas itu ajaran wujudiyyah dikatakan terus berkembang dalam kerajaan Acheh khususnya di bawah pemerintahan empat orang ratu khususnya selepas kematian kadi Syeikh ‘Abd Ra’uf Syiah Kuala pada tahun 1695M, sehingga melibatkan campur tangan Syarif Makkah. [26]

Berdasarkan perbincangan di atas, tulisan ini sekurang-kurangnya telah cuba menunjukkan kewujudan pengaruh Syiah bermula sejak pemerintahan Bani Umayyah lagi. namun pandangan tersebut memiliki beberapa kelemahan, disamping perincian tentang sejarah serta pengaruh Syiah di kawasan tersebut tidak dapat dijelaskan dengan nyata.

Namun kenyataan ini tidak menolak bahawa aliran Syiah juga turut meresapi perkembangan Islam di Alam Melayu secara individu. Kewujudan kerajaan Perlak sebagai negara pertama Syiah pada 840M yang dikemukakan oleh A. Hasjmy dan M Junus Jamil tidak dapat dibuktikan dengan jelas kerana bertentangan dengan sumber-sumber nasab dan arkeologi. Ia boleh dianggap sebagai sumber tidak memiliki autoriti walaupun popular di kalangan sarjana. Merujuk kepada fakta yang lebih jelas, aliran Syiah boleh dikatakan bermula berkembang menerusi ajaran wujudiyyah dan tasawuf falsafah yang lain selepas ketibaan Syeikh ‘Abdullah ‘Arif ke Alam Melayu pada abad ke 12M. Kenyataan ini membuktikan bahawa Sunni merupakan aliran terawal tiba dan menguasai beberapa kerajaan di Alam Melayu sebelum diresapi oleh Syiah (Wan Haslan Khairuddin et al., 2020).

Bacaan Lanjut

http://zeckry.net/2022/04/16/isu-tarekat-di-malaysia-yang-diselewengkan/

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Dakwaan Syiah Bawa Masuk Elemen dan Idea Tasauf”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.