Konsep hukuman dalam jenayah dalam Islam merujuk kepada uqubah yang berasal daripada kalimah bahasa arab bermaksud pembalasan yang bertujuan untuk mencegah manusia daripada melakukan perkara yang ditegah dan meninggalkan yang disuruh. Uqubah disyaratkan untuk mencegah manusia daripada melakukan jenayah, jika mereka telah melakukannya kebiasaannya mereka tidak akan melakukannya sekali lagi kerana mereka telah dikenakan hukuman (uqubah). Inilah yang dikatakan konsep hukuman (uqubah) untuk mencegah perbuatan jenayah sebelum dilakukan dan menakutkan penjenayah setelah dikenakan uqubah.

Pada asasnya, sesuatu kesalahan perlu dibalas dengan hukuman yang setimpal sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu” (al-Baqarah:194)

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sa`id bin Zayd bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah dengan cara zalim, akan dibelitkannya daripada tujuh lapis bumi pada hari akhirat” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan kepada al-Quran dan Hadith tersebut, menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan jahat atau jenayah akan dibalas di dunia lagi dengan hukuman yang setimpal. Bukan setakat itu saja, bahkan di akhirat juga pelaku jenayah akan disiksa dalam api neraka jika mereka tidak bertaubat dan tidak serik dengan perbuatan mereka.

Kebanyakan ulama berpendapat uqubah adalah pembalasan di dunia, manakala iqab pula adalah pembalasan di akhirat. Dalam perundangan moden, uqubah adalah hukuman keseksaan yang dijatuhkan oleh mahkamah setelah seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah. Oleh itu, uqubah dikenakan ke atas orang yang telah disabitkan melakukan sesuatu jenayah. Tetapi disyaratkan bahawa seseorang itu mestilah bersiat mukallaf untuk dipertanggungjawabkan terhadap perbuatan jenayahnya menurut hukum syara`.

Justeru, syariat tidak mengambila kira perbuatan orang yang melakukan sesuatu jenayah dalam keadaan tidak sedar, darurat atau kerana dia tidak tergolong dalam golongan orang mukallaf. Ini menjelaskan bahawa, uqubah dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah mencabul hak Allah SWT, hak manusia atau campuran daripada kedua-dua hak tersebut jika dia seorang yang berakal, baligh, tidak dalam keadaan darurat, tidak dalam keadaan terpaksa dan melakukaknnya dalam keadaan sedar. Islam telah menegaskan bahawa seseorang itu bertanggungjawab di atas jenayah yang dilakukannya kerana seseorang itu tidak dipertanggungjawabkan di atas jenayah yang dilakukan oleh orang lain.

Oleh yang demikian, hukuman jenayah Syariah bertujuan untuk melindungi kepentingan umat manusia,, menjamin kehidupan yang aman di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Setiap sesuatu yang mendatangkan manfaat dan menwujudkan maslahah hendaklah diperoleh dan dipertahankan. Manakala, setiap perkara yang mendatangkan keburukan, maka hendaklah dielakkan dan dijauhkan.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.