Site icon Wacana Zeckry

BANGKIT DENGAN KEBAJIKAN

Salam Ramadhan 2018 kepada pengunjung semua..

Kali ini mengikut pemerhatian penulis, di antara cara mudah untuk mengajak umat Islam setempat agar sentiasa dekati masjid atau surau..Sewajarnya kita realisasikan dan implementasikan dengan berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan secara mudah melalui masjid atau surau. Ayuh bawa perubahan kepada masyarakat Islam setempat kita !

Umum mengetahui, setiap Masjid kita mempunyai dana. Sesetengahnya punya dana yang sangat besar sehingga lebih 20k sebulan hasil derma orang ramai. Setiap Jumaat, masjid yang besar-besar perolehi jumlah kutipan derma mencecah ribuan ringgit.

Saya cadangkan, sisih 10% sebulan dari derma orang ramai untuk beli makanan asas seperti beras, sardin, susu anak-anak kecil, gula dan pampers. Mana-mana penduduk setempat yang kesempitan duit untuk beli makanan asas, boleh ambil di masjid.

Jangan rumitkan prosedur. Jangan tengok gaji dan kerja. Bagi saja. Miskin di bandar ni lain macam dugaannya. Kadang kita tengok orang tu pakai kereta, duduk rumah sewa, kita sangka dia ada duit. Sedangkan beras di dapur telah lama habis. Maka peninglah ketua keluarga memikirkan dengan siapa pula perlu dipinjam. Sedang hutang sudah keliling pinggang.

Orang yang terdesak ni, takkan sesekali tamak. Dia akan ambil cukup-cukup untuk kegunaan keluarganya sahaja. Kalau bulan depan dia ‘lega’ dia tak berbaris untuk ambil bekalan dari masjid lagi. Percayalah!

Malahan, jika dilaksanakan, perasaan malu pasti menusuk kalbu. Yang jarang-jarang ke masjid, mula mendekati masjid kerana rasa malu itu. Kan indah cara dakwah macam ni. Bukan dengan sindiran sinis sehingga orang menjauhi masjid.

Masjid kita, sesetengahnya dana sampai tak tahu nak buat apa. Maka ditukar pagar baru, di’upgrade’ tandas-tandas, ditukar karpet baru, di upah penceramah luar yang bayarannya hingga beribu. Sedang asnaf, rumahnya hanya di depan pagar masjid. Telan air liur tengok masjid elok ditukar cat baru. Sedangkan beras secupak di dapur pun hutang dengan kedai runcit.

Sewajarnya, AJK masjid harus melakukan kebangkitan dalam membangunkan kehidupan sosial setempat dengan lebih baik kerana perkara ini cukup mudah, tapi memberi manfaat besar kepada ramai orang.

Lain lah cerita dana masjid itu cukup-cukup untuk bayar bil api dan air sahaja (maintance) je. Ini kisah masjid yang kaya raya.

Penulis rasa sangat kecewa sebenarnya melihat masjid yang gah-gah, tapi asnaf di depan mata. Rela membayar upah penceramah ternama sedang ahli kariah berlapar dahaga.

Kalau setiap kampung boleh bangkit dan lakukan begini, alangkah indahnya Islam yang berpaksikan masjid itu bukan sekadar untuk melakukan ibadah solat saja. Namun, Si fakir rasa dipeduli, masjid makin didekati oleh ramai golongan Islam setempat.

Ayuh bangkitkan jiwa Muhammad SAW yang pada dirinya keperibadian mulia bersifat memberi dan tidak tahu menerima dalam menyempurnakan kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Exit mobile version