Sebagai rekod dan rujukan pada masa akan datang saya cuba ketengahkan rakan seperguruan bersama Syeikh Mukhtar Ali Muhammad Ad-Dasuqi sejak tahun 1998 (Al-Arif Billah Syeikh Mukhtar ke alam kekal pada jam 1 pagi hari rabu 09 Disember 2020 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1442H) :

Kertas kerja ini dibentang ketika SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN II (PEMIKIR II)

TEMA:
AL-ASHA’IRAH DAN CABARAN MUKTAHIR

DIRASMIKAN OLEH:
Y.B SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
TARIKH: 20 & 21 JULAI 2010
(SELASA DAN RABU)
TEMPAT: AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR

Konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah Dan Awhal Al-Tauhid

Dalam Mentauhidkan Allah SWT Menurut

Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a

1Muhammad Saiful Islami Mohd Taher

Email: msaiful0860@kedah.uitm.edu.my

Tel: 04-4562553

1Siti Aisyah Yusof

Email: aisyah421@kedah.uitm.edu.my

Tel: 04-4562553

2Nik Muhammad Rozi Nik Yusoff

Email: nikmuhdrozi@um.edu.my

Tel: 03-79673090

1Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)

Universiti Teknologi MARA Kedah

Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah.

2Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Timur Tengah

Fakulti Bahasa dan Linguistik

Universiti Malaya

50603 Kuala Lumpur.

Abstrak

Kertas kerja ini bertujuan membincangkan konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid sebagaimana yang dijelaskan oleh Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a. Kajian ini adalah hasil pengajian penulis bersama Syeikh Mukhtar r.a yang digabungkan dengan penulisan-penulisan para ulama’ berkenaan Sifat 20 dalam pengajian ilmu tauhid. Konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid merupakan satu pendekatan baharu yang dipersembahkan untuk memahami ilmu tauhid khususnya Sifat 20 secara lebih mudah dan jelas. Dalam kata lain, Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid merupakan ekstrak atau ‘ain bagi Sifat 20. Kajian ini memfokuskan perbincangan terhadap ciri-ciri yang mesti ada pada tuhan yang dikenali sebagai Muqtadayat al-Uluhiyyah dan juga perkara-perkara yang boleh merosakkan tauhid iaitu Awhal al-Tauhid. Dalam metodologi al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah, hal ini dipelajari sebagai 20 sifat yang wajib bagi Allah beserta 20 sifat yang mustahil bagi Allah. Pemahaman yang jelas terhadap konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid akan dapat memantapkan lagi aqidah serta dapat memberikan satu perspektif baharu dalam pengajian ilmu tauhid. Kajian ini mungkin merupakan pendekatan yang berbeza dalam memahami aqidah. Namun demikian, intipatinya adalah tetap sama dan tidak berbeza sebagaimana aqidah yang dipegang oleh Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Kata kunci: Sifat 20, Muqtadayat al-UluhiyyahAwhal al-Tauhid.

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini timbul kembali suara-suara yang menghentam pengajian tauhid sifat 20 berdasarkan manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Golongan yang mendakwa sebagai Salafi atau hakikatnya adalah Wahabi ini mengatakan bahawa tauhid sifat 20 ini tidak ada di zaman Nabi Muhammad s.a.w bahkan ia diambil dari pengajian falsafah Yunani. Oleh yang demikian, tauhid sifat 20 ini dikategorikan sebagai bid’ah sesat yang akhirnya akan menjerumuskan si pelakunya ke dalam neraka. Sudah tentu pandangan sebegini ekstrim akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam seterusnya mengundang ke arah perpecahan dan ketidakharmonian di kalangan umat Islam yang telah sekian lama mempelajari sifat 20.

Justeru itu, kertas kerja ini dihasilkan dengan tujuan berkongsi ilmu demi mengukuhkan lagi pegangan aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah mengikut aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Penulis akan menghuraikan pendekatan baharu dalam memahami ilmu tauhid iaitu konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid. Kedua-dua konsep ini adalah berdasarkan pengajian penulis dengan Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a. Beliau merupakan syeikh Tariqat Dusuqiyyah al-Muhammadiyyah dan anggota tertinggi Majlis Sufi al-A’ala li al-Turuq al-Sufiyyah di negara Mesir.

Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah: Aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah

Kedudukan Ahli Sunnah wal Jama’ah sebagai golongan yang benar dan berada di atas jalan yang lurus menyebabkan banyak golongan atau firqah yang masing-masing mengaku mereka adalah Ahli Sunnah wal Jama’ah yang sebenar termasuklah golongan Salafi Wahabi. Persoalan mengenai Ahli Sunnah wal Jama’ah dapat ditelusuri daripada penjelasan hadith-hadith Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w:

ان بني اسراءيل تفرقت علي ثنتين وسبعين ملة وتفترق أمتي علي ثلاث وسبعين ملة

كلهم في النار الا ملة واحدة. قالوا: ومن هي يا رسول الله؟ قال: ما أنا عليه وأصحابي.

رواه الترمذي

Ertinya: “Sesungguhnya Bani Israil telah berpecah kepada 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu golongan sahaja. Para sahabat bertanya: Siapakah golongan yang satu itu wahai Rasulullah? Nabi s.a.w menjawab: Yang satu itu ialah orang yang berpegang dengan peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku”.

Riwayat al-Tirmidhi

Istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah sendiri sudah wujud di zaman Nabi s.a.w dan digunakan oleh baginda untuk menunjukkan golongan yang benar. Sabda Nabi s.a.w:

والذي نفس محمد بيده لتفترق أمتي علي ثلاث وسبعين فرقة فواحدة في الجنة

وثنتان وسبعون في النار. قيل: من هم يا رسول الله؟ قال: أهل السنة والجماعة.

رواه الطبراني

Ertinya: “Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad dengan kekuasaan-Nya, umatku akan berpecah kepada 73 golongan, maka satu golongan sahaja akan masuk syurga manakala 72 golongan lagi masuk neraka. Para sahabat bertanya: Siapakah golongan yang masuk syurga itu wahai Rasulullah? Nabi s.a.w menjawab: Ahli Sunnah wal Jama’ah”.

Riwayat al-Tabrani

Berdasarkan dua hadis tersebut, Ahli Sunnah wal Jama’ah dapat disimpulkan sebagai satu golongan yang mengikut perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda yang mana kemudiannya dirujuk kepada aliran yang dibawa oleh dua orang imam agung dalam ilmu tauhid iaitu Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H) (Mohd Zaidi Abdullah, 2000). Kedua-dua imam ini hidup dalam kurun kedua dan ketiga Hijrah yang disebutkan dalam hadith Nabi s.a.w sebagai tiga kurun yang terbaik yakni yang paling murni aqidahnya. Sabda Nabi s.a.w:

خيركم قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم.

رواه البخاري ومسلم وأبو داود

Ertinya: “Sebaik-baik kamu adalah pada kurunku, kemudian kurun yang seterusnya dan kurun yang seterusnya”.

Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud

Oleh itu, Ahli Sunnah wal Jama’ah adalah golongan yang beri’tiqad sebagaimana i’tiqad Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan salafussoleh. Aqidah mereka adalah berdasarkan apa yang diwahyukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan Sunnah. Setelah itu pada kurun kedua Hijrah muncullah Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang mengumpulkan aqidah yang sahih serta menyusunnya dalam bentuk yang sistematik yang dikenal oleh kita pada hari ini sebagai sifat 20. Hasil galian ilmu tauhid dari al-Quran dan Sunnah oleh kedua-dua imam besar tersebut pada hakikatnya bukanlah satu perkara yang di luar ajaran Islam walaupun tidak ada di zaman Nabi s.a.w, akan tetapi mereka berdua hanya mengkaji, merumuskan, memfatwakan, menyebarkan dan mempertahankan apa yang sudah sedia ada di dalam al-Quran dan Sunnah berasaskan i’itiqad Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda (Sirajuddin Abbas, 2006).

Imam Muhammad bin Muhammad al-Husni al-Zabidi di dalam kitabnya Ithaf Sadat al-Muttaqin menegaskan bahawa golongan al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah merupakan Ahli Sunnah. Hal ini memandangkan ilmu tauhid yang disusun oleh kedua-dua orang imam ini adalah selari dengan aqidah yang dipegang oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Kata Imam al-Zabidi:

اذا أطلق أهل السنة فالمراد بها الأشاعرة والماتردية.

Ertinya: “Apabila disebut Ahli Sunnah, maka yang dimaksudkan dengannya ialah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah”.

Golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah merupakan orang yang yang memahami al-Quran dan Sunnah dengan kefahaman yang sebenar berpaksikan kepada tiga komponen utama dalam ajaran Islam. Dari segi aqidah, mereka mengikut manhaj al-Ash’ari dan al-Maturidi manakala dalam mempraktikkan syariat, mereka mengikut salah satu daripada empat mazhab fiqh yang muktabar iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Dari segi tasawwuf pula, Ahli Sunnah wal Jama’ah mengikut jalan oleh Imam al-Junaid r.a dan Imam al-Ghazali r.a atau mana-mana tariqat yang muktabar dan diiktiraf (www.hanputra.blogspot.com).

Institusi al-Azhar al-Syarif di Mesir yang merupakan menara dan sumber rujukan keilmuan Islam sepanjang zaman, yang telah melahirkan ramai alim ulama’ tersohor, yang mempertahankan ajaran Islam, sebagai contoh beraqidahkan Asha’irah yang merupakan aliran Ahli Sunnah wal Jama’ah (www.dar-alifta.org).

Oleh yang demikian jelaslah kepada kita siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai Ahli Sunnah wal Jama’ah iaitu al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Firqah-firqah seumpama Muktazilah, Jabariyyah, Qadariyyah, Syi’ah, Khawarij, Murjiah, Najariyah, Mujassimah, Musyabbihah dan sebagainya tidaklah termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah meskipun mereka juga mengaku sebagai Ahli Sunnah wal Jama’ah yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w (Sirajuddin Abbas, 2006).

Tauhid Sifat 20 Menurut al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah

Setiap orang Islam wajib beri’tiqad dengan i’tiqad yang sahih iaitu i’tiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah. I’tiqad didefinisikan sebagai mempercayai dengan yakin tanpa syak dan ragu-ragu. I’tiqad juga boleh diertikan sebagai iman (Abu al-Baqir Ad-Dusuqi, 2009). Sabda Nabi s.a.w:

فأخبرني عن الايمان. قال أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الأخر والقدر خيره وشره.

رواه مسلم

Ertinya: “Maka beritahulah daku tentang iman. Jawab Nabi s.a.w: Engkau mesti percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar (ketentuan baik dan buruk)”.

Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis tersebut, Rukun Iman mempunyai enam perkara iaitu percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar. Keenam-enam Rukun Iman ini dapat dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu Ilahiyyat (ketuhanan), Nubuwwat (kenabian) dan Sam’iyyat (perkara-perkara ghaib).

Dalam kertas kerja ini, penulis tidak bermaksud untuk menghuraikan perbahasan sifat 20 secara terperinci kerana ia sudah disyarahkan oleh para ulama’ di dalam kitab-kitab turath. Penulis merasakan memadai untuk menyatakan sifat 20 yang wajib beserta 20 sifat yang mustahil bagi Allah SWT secara ringkas sahaja. Fokus penulis adalah terhadap perbahasan Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid dalam mentauhidkan Allah menurut Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a.

Berikut ialah 20 sifat yang wajib dan 20 sifat yang mustahil bagi Allah Taala:

  1. (وجود); ertinya ada, lawannya tiada (عدم).
  2. (القدم); ertinya sediakala, lawannya baharu (الحدوث).
  3. (البقاء); ertinya kekal, lawannya binasa (الفناء).
  4. (مخالفته للحوادث); ertinya berbeza Allah dari segala yang baharu, lawannya menyamai Allah dengan yang baharu (مماثلته للحوادث).
  5. (قيامه بنفسه); ertinya berdiri dengan sendiri-Nya, lawannya berhajat (الاحتياج والافتقار).
  6. (وحدانية); ertinya ertinya Maha Esa, lawannya berbilang (التعدد).
  7. (القدرة); ertinya Maha Berkuasa, lawannya lemah (العجز).
  8. (الارادة); ertinya Maha Berkehendak, lawannya terpaksa (الكره).
  9. (علم); ertinya ilmu, lawannya jahil (جهل).
  10. (حياة); ertinya Maha Hidup, lawannya mati (موت).
  11. (السمع); ertinya Maha Mendengar, lawannya pekak (الصمم).
  12. (البصر); ertinya Maha Melihat, lawannya buta (العمى).
  13. (الكلام); ertinya Maha Berkata-kata, lawannya bisu, gagap (البكم).
  14. (كونه قادرا); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan berkuasa, lawannya sentiasa dalam keadaan lemah (كونه عاجزا) .
  15. (كونه مريدا); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan menghendaki, lawannya sentiasa dalam keadaan terpaksa (كونه مكرها).
  16. (كونه عالما); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan mengetahui, lawannya sentiasa dalam keadaan jahil (كونه جاهلا).
  17. (كونه حيا); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan hidup, lawannya sentiasa dalam keadaan mati (كونه ميتا).
  18. (كونه سميعا); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan mendengar, lawannya sentiasa dalam keadaan pekak (كونه أصم).
  19. (كونه بصيرا); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan melihat, lawannya sentiasa dalam keadaan buta (كونه أعمى).
  20. (كونه متكلما); ertinya Allah tetap selalu dalam keadaan berkata-kata, lawannya sentiasa dalam keadaan bisu (كونه أبكم).

Biodata Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a

Al-‘Arif Billah Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.amerupakan syeikh Tariqat Dusuqiyyah al-Muhammadiyyahyang telah diasaskan oleh wali qutub Sayyidi Syeikh Ibrahim al-Qurasyi al-Dusuqi r.a. Dilahirkan pada 13 Julai 1950 di Muhafazah Asyut, Mesir, Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a adalah Ahli Bait Nabi s.a.w dan merupakan anggota al-Sadah al-Asyraf, sebuah pertubuhan yang mengawal selia keturunan Nabi s.a.w di Mesir. Guru beliau ialah al-‘Arif Billah Sayyidi Syeikh Muhammad ‘Uthman ‘Abduh al-Burhani r.a yang berasal dari Sudan dan merupakan syeikh Tariqat Burhaniyyah, intiqal pada tahun 1983.

Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a adalah anggota tertinggi Majlis Sufi al-A’ala li al-Turuq al-Sufiyyah di Mesir dan mempunyai ramai abna’ di seluruh dunia termasuklah di rantau sebelah Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Abna’ beliau bukan sahaja dari kalangan orang biasa, bahkan terdiri dari ulama’ al-Azhar dan golongan profesional seperti pegawai pentadbir, doktor, pensyarah, jurutera, peguam dan sebagainya termasuklah pelajar-pelajar Universiti al-Azhar dari Malaysia.

Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a merupakan contoh seorang ahli sufi yang benar-benar menonjolkan ajaran Islam dalam kehidupan beliau. Pada siang harinya beliau bekerja dan memiliki sebuah syarikat yang sangat berjaya bernama al-Kirom yang mana beliau sebagai penaung dan pengarahnya. Syarikat ini membangunkan tanah seluas melebihi 600 ekar di Muhafazah Buhairah dan diberi nama Mazra’ah al-Kirom. Tanah yang asalnya tandus di tengah-tengah padang pasir ini dihidupkan dengan aktiviti pertanian serta penternakan ikan dan kambing. Kini kawasan tersebut menjadi sebuah penempatan yang makmur dan tempat abna beliau datang menuntut ilmu agama dari beliau.

Pada malam harinya, Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a memenuhkan masanya dengan zikrullah dan majlis ilmu. Beliau sangat faqih dan ‘alim dalam bidang tafsir al-Quran dan seringkali dalam syarahannya, beliau membawakan makna-makna baharu yang segar terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis, begitu juga dalam ilmu tauhid dan tasawwuf. Kehebatan Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a sebagai seorang tokoh ulama’ terserlah apabila beliau dapat meringkaskan satu maudu’ dalam agama dalam beberapa patah perkataan yang mudah difahami oleh setiap orang, yang mana dapat menyelesaikan permasalahan-permasalahan umat Islam masa kini, sebagai contoh konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini. Beliau dianugerahkan oleh Allah SWT dengan ilmu ladunni, suatu ilmu yang diperoleh oleh hamba-hamba Allah yang bertaqwa sesuai dengan firman Allah SWT: واتقوا الله ويعلمكم الله yang bererti “Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan Dialah yang akan mengajarkanmu”.

Sumbangan Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a adalah sangat besar dalam menghancurkan gambaran-gambaran buruk terhadap tasawwuf dan ahli sufi yang dilemparkan oleh sesetengah pihak, konon-kononnya ahli sufi ini malas bekerja, tidak mempedulikan hal-hal dunia dan sebagainya. Dengan uslub dakwah bi al-hal dan bi al-lisan yang penuh berhikmah, tidak hairanlah ramai hati-hati manusia yang tertarik datang kepada beliau untuk belajar serta mengambil barakah, nafahat, nazrah dan madad daripada beliau.

Keilmuan beliau dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat menerusi penulisan-penulisan dalam ruangan Hiwar Ma’a Sohib al-Samahah di dalam majalah Tasawwuf al-Islami yang diterbitkan oleh Majlis Sufi al-A’ala dan juga dalam beberapa akhbar di Mesir. Di samping itu, ilmu-ilmu beliau juga dapat diakses melalui laman sesawang http://www.lahzetnour.com di internet.

Konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah

Terdapat sesetengah golongan pada masa kini yang sangat mudah mengkafirkan orang Islam dan mengatakan mereka sebagai musyrik oleh kerana mereka bertawassul dalam doa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan para auliya’, serta membid’ahkan beberapa amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam umpamanya sambutan Maulidurrasul, bacaan tahlil dan sebagainya. Justeru itu, sebelum kita membincangkan konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah, sebaiknya kita mengetahui definisi syirik terlebih dahulu.

Menurut Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a, syirik bermaksud menjadikan sesuatu yang hanya layak bagi Allah pada sesuatu selain Allah atau dalam kata lain Muqtadayat al-Uluhiyyah.

هو أن يجعل مع الله غيره فيما لا ينبغى الا له وهي مقتضيات الألوهية الشرك

Menurut beliau, Muqtadayat al-Uluhiyyah atau ketuhanan ini mempunyai empat kriteria / sifat iaitu:

i) السبق : لا أول له فهو الأول بلا ابتداء

yang bererti sediakala / mendahului, Yang Maha Awal tanpa permulaan.

ii) الاطلاق : لا حدود له

yang bererti tidak terbatas sama ada dari segi masa, zaman, tempat, fikiran, ilmu manusia dan sebagainya.

iii) الذاتية : لا معلم له ولا ممد له

yang bererti Maha Kaya, tidak berhajat kepada sesuatu bahkan selain-Nya yang berhajat kepada-Nya sebagaimana diibaratkan di dalam kitab-kitab tauhid .”الافتقار اليه كل ما عداه واستغناؤه عن كل ما سواه”

iv) السرمدية : لا نهاية له فهو الآخر بلا انتهاء

yang bererti berkekalan, Yang Maha Akhir tanpa pengakhiran.

Keempat-empat Muqtadayat al-Uluhiyyah ini diisyaratkan di dalam Hizb al-Saifi yang merupakan amalan wirid di kalangan orang yang bertariqat. Diceritakan bahawa Hizb al-Saifi ini diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a untuk diamalkan sebagai wirid. Matannya di dalam Hizb al-Saifi adalah seperti berikut:

وأشهد أنك حي قبل كل حي (السبق) وحي بعد كل حي (الاطلاق)

وحي بعد كل ميت (السرمدية) وحي لم ترث الحياة من حي (الذاتية)

Untuk lebih memahami konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah, maka penulis memberikan contoh berikut. Jika seseorang mengaku bahawa dirinya adalah tuhan contohnya Fir’aun disebabkan dirinya bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan seperti pemurah (الكريم), kaya (الغني), mengetahui (العليم), kuat (القوي) dan sebagainya, maka kita boleh menafikannya sebagai tuhan dengan menggunakan Muqtadayat al-Uluhiyyah.

Yang pertama iaitu السبق yang sudah tentu tidak ada pada orang yang mengaku tuhan kerana ada orang lain yang mendahuluinya seperti kedua ibu bapanya, tetapi Allah SWT bersifat azali dan tidak ada suatupun yang mendahului-Nya.

Yang kedua ialah الاطلاق juga tiada pada orang tersebut memandangkan sifat-sifat yang dimilikinya adalah terbatas contohnya sifat pemurahnya itu terhad kepada orang-orang yang dikenalinya dan dalam jumlah tertentu sahaja, tetapi sifat pemurah Allah adalah mutlak kepada seluruh makhluk-Nya dan tidak terbatas.

Yang ketiga ialah الذاتية, apabila ditanyakan kepada orang tersebut dari manakah anda bersifat dengan sifat pemurah tersebut? Lalu dijawabnya saya belajar dari guru saya. Maka ternafilah ketuhanan pada dirinya memandangkan sifat pemurah itu tidak datang dari dirinya sendiri tetapi datang daripada orang lain. Hal ini berbeza dengan Allah yang bersifat Maha Kaya dan tidak berhajat kepada sesuatu yang lain.

Yang keempat ialah السرمدية, sifat pemurah seseorang itu sudah pasti mempunyai penamatnya di mana ia mungkin berakhir apabila ia jatuh miskin atau meninggal dunia, akan tetapi sifat pemurah Allah adalah berterusan tanpa pengakhiran.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, ternyata tiada satupun daripada Muqtadayat al-Uluhiyyah yang wujud pada diri seseorang meskipun ia mengaku sebagai tuhan. Oleh yang demikian, Muqtadayat al-Uluhiyyah yang terdiri daripada السبق, الاطلاق, الذاتية dan السرمدية itu hanya layak untuk Allah SWT sahaja walaupun terdapat sesetengah sifat Allah yang turut ada ada manusia sebagai contoh Nabi Isa a.s yang dikurniakan mukjizat dapat menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit dengan izin Allah.

Bagi makhluk pula, mereka mempunyai sifat-sifat yang berlawanan dengan Muqtadayat al-Uluhiyyah iaitu (i) didahului oleh suatu yang lain (المسبوق) (ii) terbatas dan terhad (المقيد) (iii) berhajat kepada yang lain (الاحتياج) dan (iv) tidak kekal dan mempunyai pengakhiran ( له نهاية) sebagaimana yang telah diterangkan dalam contoh-contoh tadi. Kata Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a, jika seseorang itu mempunyai salah satu sahaja daripada empat Muqtadayat al-Uluhiyyah, maka ia adalah tuhan, akan tetapi ternyata hakikatnya tidak ada satupun makhluk yang mempunyai Muqtadayat al-Uluhiyyah walaupun hanya satu.

Konsep Awhal al-Tauhid

Seterusnya penulis akan membincangkan perkara-perkara yang merosakkan tauhid yang disebut oleh Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a sebagai Awhal al-Tauhid. Perkataan Awhal adalah jama’ bagi wahlun yang bermaksud lumpur. Dalam selawat oleh Sayyidi Abdul Salam bin Bashish r.a, kalimah Awhal al-Tauhid disebut begini “وانشلني من أوحال التوحيد”yang bererti “keluarkanlah / cabutkanlah daku dari lumpur-lumpur yang merosakkan tauhid”. Awhal al-Tauhid mempunyai empat perkara iaitu:

i) الحلول : أن يدعى أحد أن الله قد حل فيه أو فى أي من خلقه

ertinya mendakwa bahawa Allah memasuki dirinya atau diri sesuatu. Contohnya seperti air yang dimasukkan ke dalam gelas.

ii) الاتحاد : أن يدعى أحد أن الله قد اتحد معه أو مع أي من خلقه فينشأ كيان جديد يعبد من دون الله على أنه ابن الله

ertinya mendakwa bahawa Allah bersatu dengannya atau dengan sesuatu yang lain. Contohnya seperti air yang bercampur dengan gula lalu menjadi air gula.

iii) التشبيه : أن يدعى أحد أن الله يشبهه أو يشبه أي من خلقه فيعبد على أنه يشبه الله

ertinya mendakwa bahawa Allah menyerupainya atau menyerupai mana-mana makhluk-Nya. Contohnya seperti mentajsimkan Allah dengan mengatakan Allah mempunyai tangan, jari, duduk bersila dan sebagainya.

iv) التعطيل : أن يدعى أحد أن الله يفعل كل شئ بذاته العلية معطلا بذالك فعل الأسماء والصفات

ertinya mendakwa bahawa Allah melakukan sesuatu dengan zat-Nya dan mengabaikan perbuatan bagi Asma’ dan Sifat-Nya. Hakikatnya Allah berbuat sesuatu dengan Asma’ dan Sifat-Nya dan kedua-duanya adalah memberi bekas.

Untuk lebih jelas memahami الحلول dan الاتحاد, kita dapat lihat dalam kes Jesus Christ yang dijadikan sebagai tuhan oleh orang-orang Kristian. Paderi Jimmy Swaggart dalam debatnya dengan Syeikh Ahmad Deedat menghuraikan konsep Triniti (tiga tunggal) seperti berikut (Ahmad Deedat, 2007):

Tuhan mengajar kita bahawa yang wujud hanya satu Tuhan, bukannya dua atau lima atau sepuluh atau dua belas atau lima belas. Tetapi Tuhan menjelma dalam tiga peribadi, tiga peribadi yang berbeza. Kita percaya dengan kewujudan Tuhan di langit, Tuhan Anak dan kita percaya dengan Roh Kudus yang memasuki Maryam. Roh Kudus itu juga Tuhan. Mereka semuanya tidak berasingan dengan erti semuanya bersepakat dari segi kesatuan dan keserasian, mereka tidak berbeza sama sekali”.

Jelas di sini orang-orang Kristian beri’itiqad bahawa Rabb ialah Tuhan, anak (Jesus) ialah Tuhan dan Roh Kudus ialah Tuhan, akan tetapi mereka bukannya tiga tuhan bahkan satu Tuhan sahaja. Menurut pegangan Kristian, Tuhan adalah satu tetapi dimanifestasikan dalam tiga peribadi iaitu God the Father, God the Son dan God the Holy Ghost. Keadaan semacam ini bertepatan dengan Awhal al-Tauhid yang pertama dan kedua iaitu الحلول dan الاتحاد.

Awhal al-Tauhid ketiga ialah التشبيه yang paling banyak berlaku dalam kalangan umat Islam. Golongan yang terlibat dengan التشبيه ini dipanggil sebagai Musyabbihah atau Mujassimah. Mereka digelar sedemikian kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya. Antara contoh i’itiqad golongan Musyabbihah ini seperti Allah bermuka dan bertangan, Allah mempunyai jari, Allah duduk di atas Arasy’, Allah berada di atas langit, Allah bertubuh serupa nur, Allah turun dari langit pada setiap malam dan sebagainya (Sirajuddin Abbas, 2007). I’itiqad sebegini adalah tertolak di sisi Islam memandangkan Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Syura, ayat 11:

ليس كمثله شئ

Ertinya: “Tiada suatupun yang menyerupai-Nya”.

Nabi s.a.w menggelarkan golongan Musyabbihah / Mujassimah ini sebagai “al-Musawwirun” di dalam sabdanya “المصورون في النار”. Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a mensyarahkan perkataan al-Musawwirun ini sebagai “الذين يجعلون لله صورة” yang bererti orang yang menjadikan suatu bentuk rupa bagi Allah SWT. Al-Musawwirun sebagaimana kata beliau bukanlah bermaksud orang yang mengambil gambar fotografi, kerana jika makna al-Musawwirun sedemikian, sudah pasti ramai umat Islam yang akan masuk neraka.

Sungguh menghairankan bagaimana golongan ini boleh memberikan rupa kepada Allah SWT yang merupakan Khaliq sedangkan pada masa yang sama mereka tidak dapat memberikan rupa bagi roh dan akal yang merupakan makhluk. Rupa-rupanya golongan Musyabbihah ini apabila berinteraksi dengan ayat-ayat mutasyabihat, mereka mengambil makna secara zahir semata-mata tanpa mentakwilkannya kepada makna yang lain. Pendekatan ini adalah berbeza sama sekali dengan pendekatan oleh ulama’ salaf yang mentakwilkan nas-nas mutasyabihat secara ijmali (tafwid) ataupun pendekatan ulama’ khalaf yang mentakwilkan nas-nas mutasyabihat secara tafsili.

Seterusnya perkara keempat yang merosakkan tauhid ialah التعطيل. التعطيل bermaksud mendakwa bahawa Allah berbuat sesuatu dengan zat-Nya dan pada masa yang sama menafikan fi’il bagi Asma’ Allah sedangkan Allah melakukan sesuatu dengan Asma’ dan Sifat-Nya. Sebagai contoh Allah SWT menyembuhkan penyakit dengan nama-Nya الشافى, menghidupkan dengan nama-Nya المحيى, memberikan rezeki dengan nama-Nya الرزاق, الوهاب dan sebagainya.

Bagi memahami bagaimana Allah SWT melakukan sesuatu dengan Asma’ dan Sifat-Nya, penulis memberikan contoh Perdana Menteri Malaysia. Beliau mentadbir negara Malaysia, menguruskan hal ehwal negara, membina bandar dan sebagainya bukan dengan zatnya tetapi di atas nama dan sifatnya sebagai Perdana Menteri. Apabila beliau sudah tidak memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri, maka beliau tidak dapat lagi mentadbir negara walaupun zatnya (dirinya) masih kekal ada. Berbeza dengan Allah SWT, zat-Nya kekal, Asma’ dan Sifat-Nya juga kekal dan memberi bekas.

Kesimpulan

Tauhid merupakan ilmu yang paling utama dalam Islam kerana ia berkaitan dengan aqidah. Setiap orang Islam wajib mempelajari ilmu tauhid dan memantapkan pemahamannya agar aqidah tetap teguh dan tidak mudah terpesong. Berdasarkan perbincangan konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah, jelas di sini bahawa kalimah tauhid لا اله الا الله bukan sahaja bermaksud menafikan suatu yang lain selain Allah SWT sebagai tuhan, tetapi ia juga membawa erti bahawa tiada suatupun yang bersifat dengan sifat-sifat al-Uluhiyyah yakni Muqtadayat al-Uluhiyyah melainkan Allah SWT sahaja atau dalam kata lain:

“لا يتصف بالصفات الألوهية من السبق والاطلاق والذاتية والسرمدية الا الله”

Justeru, konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid yang telah dibincangkan mestilah difahami dan dikuasai oleh para ulama’ untuk disampaikan kepada masyarakat awam. Kedua-dua konsep ini walaupun tidak disebutkan dalam kitab-kitab tauhid secara jelas, tetapi pada hakikatnya ia adalah ‘ain kepada sifat 20 itu sendiri. Ia merupakan khulasah yang diperlukan oleh para ulama’ dalam menjawab tuduhan-tuduhan kufur dan syirik yang mudah-mudah sahaja dilontarkan kepada sesetengah umat Islam dari kalangan al-Asha’irah. Konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid yang diajarkan oleh Sayyidi Syeikh Mukhtar r.a ini bukanlah satu perkara yang pelik oleh kerana ia adalah futuhat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Ia juga menunjukkan bahawa ilmu-ilmu dalam Islam adalah bersifat luas dan berkembang, tidak terbatas kepada hanya apa yang telah tertulis dalam kitab-kitab terdahulu.

Cadangan

Dalam kertas kerja ini, penulis ingin mengutarakan beberapa cadangan ke arah memantapkan pengajian tauhid Ahli Sunnah wal Jama’ah seperti berikut:

i) Penulis mencadangkan agar pengajian ilmu tauhid dipermudahkan supaya selari dengan zaman moden sekarang. Sewajarnya perbahasan ilmu tauhid disesuaikan dengan keadaan masyarakat ketika ini agar mereka tertarik untuk mendalami ilmu-ilmu Islam khususnya tauhid, tanpa perlu mengambil masa yang panjang atau pening dengan perbahasan-perbahasan ulama’ yang detail di dalam kitab. Keadaan masyarakat sekarang di mana tidak ramai yang menguasai Bahasa Arab, tidak mahir membaca tulisan jawi, sukar memahami gaya bahasa klasik dalam kitab, sibuk dengan urusan kerjaya dan bermacam-macam lagi menuntut agar ilmu tauhid ini dipermudahkan pengajiannya dan disesuaikan dengan suasana kontemporari.

ii) Dalam mempelajari tauhid, sewajarnya konsep Muqtadayat al-Uluhiyyah dan Awhal al-Tauhid ini difahami sebaik mungkin oleh ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah, kerana ia bukan sahaja ringkas dan mudah dikuasai, bahkan dapat digunakan untuk menangkis tohmahan-tohmahan kufur dan syirik yang dilemparkan kepada sebilangan orang Islam yang beristighathah, bertawassul, bermanhajkan Asha’irah dalam aqidah, membaca selawat Syifa’ dan sebagainya.

iii) Memandangkan fikrah-fikrah Wahabi semakin berkembang menerusi buku-buku, majalah agama, media massa seperti radio dan televisyen, akhbar, laman sesawang dan sebagainya, disarankan agar ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia ini lebih agresif dan pantas dalam menyampaikan kefahaman yang sebenar mengenai Islam kepada masyarakat. Ulama’ Asha’irah perlu bersatu-padu di atas satu platform dan berlapang dada meskipun berbeza fahaman politik demi menyanggah pemikiran-pemikiran Wahabi yang songsang daripada tersebar. Wasilah-wasilah penyampaian ilmu secara moden seperti yang disenaraikan di atas seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

Rujukan

Al-Quran al-Karim.

Abdullah al-Harari (t.t.). al-Sirat al-Mustaqim. Lubnan: Syarikat Dar al-Masyari’.

Abu Abdullah Husain Nasir bin Muhammad Tayyib al-Mas’udi al-Banjari (2009). Hidayah al-Sibyan fi Ma’rifat al-Islam wal Iman, c. 4. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Abu al-Baqir Ad-Dusuqi (2009). Panduan Fardhu Ain Lengkap, c. 2. Kota Bharu: Al-Baqir Enterprise.

Mohd Zaidi Abdullah (2000). Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal Jama’ah: Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup. Kuala Lumpur: Syathariyah Niagajaya Sdn. Bhd.

Mustafa Abdul Rahman (2008). Hadis 40. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

Sirajuddin Abbas (2006). I’itiqad Ahlussunnah wal Jama’ah, c. 9. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Syeikh Ahmad Deedat (2007). Benarkah Bible Firman Tuhan? (terj. Muhammad Ramzi Omar). Kuala Lumpur: Sinar Media Services.

Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani (1428H). Tabsirah al-Adani bi Alhan Bakurah al-Amani. Patani: Matba’ah Bin Halabi.

Syeikh Muhammad al-Fudholi (2000). Kifayah al-‘Awam. Batu Caves: Pustaka Ilmi.

Syeikh Muhammad bin Umar bin Ali Nawawi al-Jawi al-Bantani al-Tanari (1996). Nur al-Zolam Syarh Manzumah ‘Aqidah al-`Awam. Kaherah: Dar al-Hawi.

Syeikh Zain al-Abidin bin Muhammad al-Fatani (t.t.). ‘Aqidah al-Najin fi ‘Ilm Usul al-Din. Patani: Matba’ah Bin Halabi.

http://www.dar-alifta.org, 24 Jun 2010.

http://www.hanputra.blogspot.com, 24 Jun 2010.

http://www.lahzetnour.com, 24 Jun 2010.

Pengajian penulis dengan Sayyidi Syeikh Mukhtar Ali Muhammad al-Dusuqi r.a, syeikh Tariqat Dusuqiyyah al-Muhammadiyyah di Mesir.

Temubual dengan Syeikh Mohd Fadil Ariffin, naib Tariqat Dusuqiyyah al-Muhammadiyyah di Malaysia, 24 Jun 2010, jam 11 pagi, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.