Hawking

Apabila dikatakan pemimpin atau dalam Islam di sebut sebagai khalifah, maka perkaitannya adalah sebagai pemandu yang menunjuk jalan atau pembawa contoh untuk diikuti oleh orang ramai. Maka, penulis juga teringat kepada seorang OKU juga dikatakan sebagai ‘pemimpin’ dan contoh untuk semua golongan sebagai sampel kecerdikannya dalam ilmu kosmologi dan fizik kepada dunia. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, jika kita melihat dengan mata kasar secara fizikal maka kita terus menolak dan mengecam kekurangan yang terzahir itu, tetapi dari segi idea, cara berfikir dan daya ingatan sukar untuk kita lihat dengan mata kasar kerana sesuatu yang abstrak.

Dalam Islam kita diajar untuk mendidik hati sehinggakan Allah SWT tidak memandang kepada rupa paras tetapi Allah SWT memandang kepada hati manakah yang paling bertaqwa yang tidak membezakan dengan fizikal kerana itu, apabila kita menunaikan haji semua adalah sama dari segi pemakaian sebagai tanda atau simbolik bahawa hati itulah Allah SWT melihat hambanya. Kehadiran Rasulullah SWT adalah untuk membawa kebenaran dan menyuruh melakukan kebaikan kepada semua golongan, walaupun kepada orang yang ingkar kepada Allah SWT dengan membawa perangai atau nilai akhlak yang ada pada diri seseorang.

Begitu juga dalam pemilihan untuk memberi ruang kepada golongan OKU mendapat tempat berdasarkan kemahiran dan kepakaran atau nilai dalaman mereka yang mungkin tiada pada manusia yang normal dari segi fizikal, mereka sebenarnya ada idea luar biasa dan cara berfikir yang ajaib, cuma tugas orang normal terus membantu golongan ini memberikan pendidikan kepada mereka.

Dunia mengingati, apabila menyebut Stephen William Hawking yang mempunyai permasalahan dengan dengan fizikal badannya yang disahkan mengidap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) pada ketika usia 22 tahun. ALS ialah sejenis penyakit penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motor yang berpunca dari kerosakan pada sel saraf. Bahasa mudahnya ialah ianya sejenis penyakit neuron saraf. Ketika itu, doktor yang merawat Hawking hanya memberi jaminan masa 2 sehingga 5 tahun untuk beliau terus hidup. Penyakit tersebut telah menyebabkan beliau berkerusi roda untuk tampil di khalayak umum. Sebelum disahkan menghidap ALS, Hawking tidak begitu fokus akan pelajarannya. Ketika menyedari dirinya tidak akan hidup lama untuk melanjutkan Phd, Stephen tidak mahu membuang masa dan mulai menekuni bidangnya serta melakukan penelitian.

Stephen Hawking merupakan individu pertama yang membentangkan teori kosmologi sebagai kebersamaan relaviti dan mekanik kuantum. Di sudut lain, kebijaksanaan milik Stephen Hawkings dapat disamakan dengan apa yang dimiliki oleh Albert Einstein. Perwatakan mereka disamakan dengan gelaran genius dan hidup bermantelkan dunia selebriti kerana tumpuan yang diberikan. Di antara hasil kerja beliau yang menarik perhatian dunia ialah penulisan dengan buku berjudul ‘A Brief History of Time’ yang dijual melangkaui 10 juta naskah di seluruh dunia. Walaupun demikian, ia adalah buku paling laris, yang paling jarang dibaca. Ini berkemungkinan kerana buku tersebut sukar difahami, tetapi hanya mereka yang mengenal nilai atau modal insan yang mengenali siapakah Stephen William Hawking

Jika sebelum ini kita mengenali tokoh fizik adalah Einstein yang memperkenalkan formula e = mc2. Tetapi berapa ramaikah yang memahaminya? Namun. hasil kerja Hawking selalunya sukar untuk difahami dengan IQ biasa. Tetapi Hawking membantu dunia memahami kerja Einstein dengan mudah dengan menghuraikan asas dan permulaan pembentukan sesuatu perkara, antara teori Hawking yang diperakui dunia Sains ialah mengenai kelahiran alam semesta, lohong hitam, dan juga arah masa (direction of time). Di bangku persekolahan, Hawking hanyalah pelajar yang biasa-biasa dengan markah peperiksaan sederhana sekadar menduduki kedudukan ketiga dari belakang ketika persekolahan peringkat rendah. Pada umur 16, Hawking dan beberapa rakannya membina sebuah computer menggunakan peralatan yang belum digunapakai di zaman itu untuk menyelesaikan formula matematik yang belum sempurna. Seorang ahli kosmologi Universiti Chicago, Michael Turner berkata: “Stephen Hawking berjaya menarik perhatian ramai orang dengan penemuan dan penjelasan yang beliau sampaikan.”  Dan beliau melakukannya dengan cara yang luar biasa, menunjukkan nilai kemanusiaan yang tinggi walaupun terbatas pada kerusi roda akibat gangguan saraf degeneratif, ALS.

“Perkara pertama ketika anda hadir ke pembentangan Stephen Hawking ialah penyakit dan kerusi roda beliau. Selepas itu, ia akan didominasi oleh ilmu Sains yang luar biasa.”  Walaupun ramai tidak boleh memahami 100% apa yang Stephen maksudkan pada setiap pembentangan yang disampaikan, tetapi ia telah memberi idea kepada logik yang peradaban manusia cuba rungkai selama ini.

Tahun 2018, Professor Stephen William Hawking meninggal dunia pada usia 76 tahun di kediamannya di Cambridge, England. Hakikatnya, hidup Stephen Hawking penuh dengan keajaiban. Bukan sahaja kerana kebijaksanaan. Bahkan untuk hidup lebih lima dekad melangkaui jangkaan pakar perubatan selepas disahkan menghidap ALS itu sendiri adalah ajaib. Nama Stephen William Hawking pasti akan dikenang sebagai salah seorang ahli cendiakiawan, saintis dan ilmuwan.  Lebih daripada itu, hasil pengajian dan penemuan beliau akan terus menjadi legasi kepada peradaban dan tamadun dunia.

Justeru, Allah SWT menghadirkan individu seperti Stephen William Hawking untuk kita semua berfikir dan menjadikan idola atas kekuasaanNya yang maha mencipta segala sesuatu dan tidak diciptakan sia-sia. Simbol ini tanda kekuasaan Allah SWT untuk memberi semangat kepada golongan biasa dan kelainan upaya.

Rujukan :

Stephen Hawking: Saintis & Cendiakiawan Yang Pernah Cipta Formula Kejayaan England Di Piala Dunia. (2018, March 14). Semuanya BOLA. https://www.semuanyabola.com/stephen-hawkings-england-piala-dunia/

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.