Tarekat merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, namun pengetahuan masyarakat kita tentang tarekat ini agak kurang. Dalam kalangan ahli akademik pula masih belum ramai yang membuat kajian berkaitan dengannya. Akibatnya, ramai yang terkeliru mengenai istilah tasawuf dan tarekat dan ramai juga yang terlibat dengan ajaran sesat yang menggunakan nama tarekat lantaran kurangnya pengetahuan mereka. Tidak kurang pula kumpulan ajaran sesat yang berselindung di sebalik nama tarekat yang sudah terkenal demi mencari pengaruh dan mengumpul kekayaan. Akhirnya persepsi negatif terhadap ajaran tarekat pada pandangan masyarakat adalah ‘sesat’ tambahan pula media berperanan menyiarkan filem pengamalan ajaran tarekat dengan berzikir dalam gelap, menari dan memuja gurunya. Isu tarekat sering dikatakan bertentangan dalam masyarakat Islam di Malaysia dengan persepsi sesat dan bid`ah dan tidak kurang juga dengan dakwaan tarekat berasal dari ajaran Syiah.

Oleh yang demikian, senario tersebut memang tidak dinafikan bahawa kewujudan tarekat sesat (tidak patuh Syariah) dan tarekat yang mengikut landasan Syariah . Namun, persoalan di Malaysia isu tarekat memerlukan kepada keahlian atau badan khusus untuk mengawal selia bagi penentuan patuh Syariah atau tidak untuk menentukan keabsahannya. Kita menerima pelbagai perbezaan pendapat dan tidak dapat menerima perbezaan pada pengamalan selain daripada kebanyakan orang. Maka, pelbagai pertembungan aliran pemikiran berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia masa kini. Pengamalan tarekat memerlukan kepada praktikal bukan teori semata-mata.

Justeru, penulisan kali ini merungkaikan hubungan antara tasawwuf dan tarekat. Perbincangan dakwaan terhadap doktrin tasawwuf dan tarekat yang dibawa masuk ke Nusantara mengandungi unsur ajaran Syiah. Kemudian. Selain itu, perbincangan isu tarekat di Malaysia yang dipercayai telah diselewengkan.

Hubungan Tasawwuf dan Tarekat     

Sebelum membincang hubungan di antara tasawuf dan tarekat, seharusnya kita mendahulukan dengan konsep kedua-dua tema tersebut kerana definisi dan konsep adalah penting untuk kita qiaskan (timbangkan) segala-galanya, apabila jahil tentang ta`rif hilanglah segala kaedah dan neraca.. Secara umumnya, tasawuf melalui amaliah dan penyebaran tarekat.

Konsep Tasawwuf

Tasawuf merupakan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala tarekat berasal daripada perkataan bahasa arab yang bermaksud cara dan jalan yang ditempuh oleh seseorang dalam usahanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Walaupun terdapat pendapat yang berbeza daripada beberapa orang ulama mengenai istilah asal perkataan tasawuf. Antaranya ialah: Tasawuf adalah daripada perkataan ahli suffah, satu golongan yang wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW. Tasawuf adalah daripada perkataan al-safa` yang bermaksud bersih atau suci dan Tasawuf adalah daripada perkataan saf, iaitu barisan pertama dan ini adalah berkaitan dengan hubungannya dengan Allah SWT (Ismail Mamat & Khairul Hamimah Mohamad Jodi, 2011) .

Namun, menurut Wan Haslan Khairuddin, Abdull Rahman Mahmood, & Wan Haslan Khairuddin, (2020) kebanyakan ulama mentakrifkan tasawuf sebagai pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi SAW. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.(Muslim). Oleh itu konsep tasawwuf ini berpunca martabat agama itu sendiri iaitu Islam, Iman dan Ihsan berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Umar RA beliau berkata:

“Sesungguhnya telah datang seorang lelaki bersih, putih pakaiannya, kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Baginda sedang duduk bersama-sama para sahabat RA. Lelaki tersebut terus meluru ke arah Rasulullah SAW, sehingga kedua lututnya menghadap dan bersentuhan dengan kedua lutut Baginda SAW lalu dia bertanyakan Rasulullah SAW, “Wahai utusan Allah, khabarkan kepadaku tentang Islam.” Rasulullah terus menjawab; “Islam terbina di atas lima rukun: Bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah, Mendirikan sembahyang, Menunaikan zakat, Puasa pada bulan Ramadhan dan Menunaikan Haji ke baitullahi al Haram sekiranya mampu.”,

Maka lelaki tersebut berkata,”benar engkau.” Kemudian dia bertanya lagi, “wahai Rasulullah, khabarkan pula tentang iman”. Jawab Baginda, “Iman ialah engkau beriman dan percaya kepada Allah, Para malaikat, Kitab-kitab, Rasul-rasul (utusan Allah), Hari Akhirat dan Qada’ dan qadr, baik dan buruk datang dari Allah SWT. Lalu lelaki tersebut berkata, “benar engkau”. Kemudian ia bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku pula tentang Ihsan.” Lalu Baginda lantas menjawab, “Ihsan ialah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat Nya. Sekiranya tidak, sesungguhnya Dia sentiasa melihat engkau.” Lalu lelaki tersebut terus berkata, “benar engkau wahai Rasulullah.” Begitulah seterusnya, lelaki tersebut bertanya dan Rasulullah menjawab dan diakui kebenarannya oleh lelaki tersebut.

Para sahabat begitu hairan dengan peristiwa ini kerana lelaki tersebut bertanyakan Rasulullah kemudian dia mengiyakan jawapan Baginda SAW. Para sahabat tidak mengenali siapakah lelaki tersebut. Oleh kerana adab para sahabat yang begitu tinggi sekali, mereka tidak bertanyakan Rasulullah, hanya menunggu sesuatu daripada Baginda. Sehinggalah pada suatu hari, Baginda bersabda kepada para sahabat: “Adakah kamu kenal siapa lelaki tersebut?” para sahabat menjawab, “hanya Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui.”  Kemudian berkata saidina Umar Al-Khattab, “sesungguhnya dia (lelaki tersebut) bukanlah daripada penduduk negeri ini, kerana kita tidak mengenalinya dan dia bukan juga orang luar kerana tiada padanya tanda-tanda orang bermusafir.” Lantas Baginda bersabda: “Itu adalah malaikat Jibril datang untuk mengajar kamu agama kamu.”    (Riwayat Muslim)

Jelaslah bahawa agama ini adalah himpunan ataupun ikatan ketiga-tiga martabat tersebut. Maka sesiapa yang hanya beramal pada martabat Islam, belum mencapai martabat Iman dan Ihsan. Sesungguhnya dia hanya telah beramal dengan satu pertiga (1/3) agama. Begitulah juga, sesiapa yang beramal pada martabat Islam.dan Iman, (belum mencapai maqam Ihsan), sesungguhnya dia hanya beramal dengan 2/3 agama. Ketiga-tiga ilmu atau martabat ini dibincagkan dalam ilmu tasawuf dengan mengiistilahkan dengan Syariat ( الشريعة ),  Tariqoh ( الطريقة ) dan Hakikat ( الحقيقة ). Maka, paada hakikatnya, ketiga-tiga martabat ini adalah syariat, cuma untuk memudahkan pada pemahaman orang-orang awam, maka diklafisikasikan kepada syariat, tarekat dan hakikat.

Menurut Mohd Fadil (2011) dan Muhammad Mudarris Nadzir (2006) yang menukilkan daripada Syekh Mokhtar Ali, mengibaratkan permasalahan ini seperti kita melihat satu lembaga dari jarak yang jauh. Pada waktu itu, (jarak jauh), kita tidak boleh membezakan apakah ianya manusia, binatang atau benda. Setelah kita mendekatinya, atau ia mendekati kita sedikit demi sedikit, jelaslah bahawa lembaga itu adalah manusia. Apabila semakin dekat, rupa-rupanya manusia itu adalah sahabat kita si fulan. Jadi keadaan ianya adalah si fulan tidak menafikan yang ianya adalah manusia dan keadaannya sebagai manusia tidak menafikan keadaannya sebagai lembaga yang bergerak.

Oleh itu tidak ada percanggahan antara syariat, tarekat dan hakikat melainkan bagi mereka yang terhijab. Dengan kata lain, kesemuanya adalah syariat yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadith. Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga martabat inilah yang dinamakan agama yang sempurna atau martabat dalam agama.

Firman Allah SWT :

Maksudnya :

 “ Orang-orang Arab Badwi berkata, “kami telah beriman.” Katakanlah (kepada mereka): “kamu belum beriman, tetapi katakanlah `kami telah tunduk (Islam)’ kerana Iman itu belum masuk ke dalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalanmu; sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. Katakanlah (kepada mereka): “apakah kamu akan memberitahukan (mengajarkan) Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keIslaman mereka. Katakanlah: “janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keIslamanmu, sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar. (QS Al-Hujuraat, ayat 14-17)

Firman Allah :

“Kemudian mereka bertakwa dan beriman kemudian mereka bertakwa dan mencapai maqam  martabat Ihsan dan Allah mengasihi orang-orang yang mencapai martabat Ihsan.” (QS Al-Maidah:93)

Berdasarkan kepada apa yang telah diterangkan beserta dalil naqli (Quran dan Hadis) nyatalah pada kita bahawa agama Islam ini hendaklah diukur dengan neraca timbangan tiga martabat ini dari segenap segi. Maka, ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan musyahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian musyahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawwuf.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawwuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis (Wan Haslan Khairuddin et al., 2020).

Konsep Tarekat

Perkataan tarekat berasal dari perkataan Arab “tariqah/tariq”. Perkataan tariqah ini dapat ditemui penggunaannya dalam al-Qur’an dengan makna jalan dan kedudukan. Secara umum bagi tarekat itu ialah “jalan agama Allah” iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun (t.th. hlm, 328) menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini. Beliau menjelaskan, asal ilmu tasawwuf itu ialah bahawa tarekat (tariqah) kaum ahli sufi itu di sisi golongan yang terdahulu dari umat ini dan pemuka-pemukanya dari kalangan sahabat dan tabi`in dan orang-orang selepas mereka itu, sentiasalah merupakan tarekat kebenaran dan hidayah. Asal tarekat tersebut ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling dari perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai yang berupa kelazatan, harta dan pangkat, dan menyendiri dari makhluk dalam khalwah untuk beribadah.

Hubungan Tasawwuf dan Tarekat

Oleh yang demikian berdasarkan konsep tasawuf dan tarekat tersebut, maka kita membincangkan hubungan tasawwuf dan tarekat.

Tarekat adalah wasilah bagi mencapai tasawwuf dan ia mempunyai pengertian yang sama dengan wasilah (perantaraan) yang disuruh di dalam al-Qur’an supaya mengambilnya dalam usaha mendekati Allah dan mencapai keredaan-Nya. Mengenai perkara ini Allah berfirman bermaksud:

 “Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu semua kepada Allah dan carilah wasilah (perantaraan) kepada-Nya”. Kedudukan tarekat sebagai wasilah dapat dirujuk kepada banyak ayat-ayat al-Qur’an. (QS al-Maidah:113)

Berdasarkan ayat tersebut, tarekat sebagai alat untuk menyampaikan tujuan iaitu tasawuf. Oleh itu, merujuk kepada ulasan al-Ghazali dalam karya beliau al-Munqidh min al-Dalal, menunjukkan bahawa beliau mengakui bahawa terdapat sebahagian dari tasawwuf itu yang mampu diperolehi menerusi ilmu iaitu melalui pembelajaran dan pembacaan. Beliau sendiri telah berusaha dan telah pun berjaya mendapatkan bahagian tersebut. Ini dapat dilihat di mana beliau menjelaskan bahawa jalan ahli tasawwuf itu sempurna dengan ilmu dan amal. Oleh kerana ilmu itu lebih mudah dari amal, maka aku memulakan dengan usaha mendapatkan ilmu mereka dengan meneliti kitab-kitab mereka seperti Qut al-Qulub, karya Abu Talib al-Makki, kitab-kitab al-Harith al-Muhasibi dan cebisan-cebisan tulisan peninggalan al-Junayd, al-Shibli dan Abu Yazid al-Bistami, dan ungkapan-ungkapan shaykh mereka yang lain, sehinggalah aku dapat menanggapi intipati tujuan mereka secara ilmu, dan aku telah berjaya mendapatkan apa yang boleh diperolehi menerusi pembelajaran dan pendengaran.

Namun ini tidak menafikan sama sekali adanya orang yang mencapai hakikat-hakikat tasawwuf itu tanpa menerusi tarekat. Dia hanya mengamalkan syariat menerusi perlaksanaan terhadap kewajiban-kewajiban agama yang asas iaitu apa yang diistilahkan sebagai mujahadat taqwa yang menjadi kewajiban ke atas setiap muslim. Orang seumpama ini disebut sebagai majdhub (orang yang mendapat jazbah).

Bacaan Selanjutnya…Tarekat idea daripada Syiah ?

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.