Terdapat perbezaan maksud di antara perkataan samak dan juga sertu.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka, samak didefinisikan sebagai: Zat yang digunakan utk memasak serta mewarnai kulit binatang: kulit ~ kulit yang sudah dimasak dan diwarnai. menyamak 1 memasak kulit supaya lembut dan berwarna. Rujuk  Kamus Pelajar Edisi Kedua.

Manakala kalimah sertu pula membawa maksud:  Menyertu menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sekalipun tidak perlu berbalah dalam istilah, namun dengan mengetahui penggunaan kalimah yang tepat dapat membantu kita dengan lebih lanjut dalam memahami sesebuah permasalahan yang berlaku.

Definisi Sabun Taharah

Penamaan sabun taharah agak berbeza dengan sabun-sabun lain yang boleh didapati di pasaran. Ini mengambil kira intipati kandungan yang terdapat di dalam sabun taharah ini.

Secara umumnya, sabun taharah ini juga dikenali sebagai sabun tanah liat. Jika dilihat dari sudut bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sabun ini, ia terhasil dari campuran tanah liat, dan beberapa mineral semulajadi seperti sodium, kalsium, dan potassium.

Hukum-Hakam Berkaitan Sertu

Sertu adalah proses menghilangkan najis yang berpunca dari jilatan anjing. Hal ini adalah berdasarkan beberapa riwayat daripada Nabi S.A.W berkaitan isu ini. Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.

Riwayat Muslim (279)

Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:

إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.

Riwayat al-Bukhari (172)

Berdasarkan kedua-dua riwayat di atas, dapat kita keluarkan dua perkara berikut:

  • Mafhum daripada hadis menunjukkan bahawa jilatan anjing itu merupakan suatu kotoran dan juga najis. Oleh kerana itu ia perlu disucikan.
  • Perintah membersihkan bekas yang dijilat anjing membawa kepada kewajipan perkara tersebut.

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah berkata: Wajh al-dalalah nya adalah bersuci itu sama ada kerana hadas, atau kotoran, ataupun suatu kemuliaan. Dan tidak ada hadas pada bekas (minuman), begitu juga tidak ada kemuliaan padanya. Maka yang menjadi penentu (bersuci) di sini adalah bersuci daripada al-khubs (kotoran).

Maka sabit kenajisan mulut anjing itu, sedangkan ia (mulut anjing) adalah bahagian paling bersih dari anggota badannya. Maka selain darinya (mulut) adalah lebih utama (untuk dianggap sebagai najis). Begitu juga khinzir, kerana keadaannya adalah lebih buruk berbanding anjing. Rujuk al-Iqna’, Al-Khatib al-Syarbini (1/105).

Hukum Membasuh Dengan Tujuh Kali Basuhan

Para ulama’ al-Malikiyyah berpandangan bahawa membasuh bekas dengan tujuh kali basuhan adalah bersifat ta’abbudiyy maka dengan itu mereka berpandangan bahawa air yang dijilat anjing adalah suci.[1] Adapun jumhur iaitu ulama’ al-Hanafiyyah, al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa ta’abbud hanya pada bilangan tujuh dan bukan pada amalan menyucikan kerana ia adalah mu’allal (bersebab). Di sebabkan itu, air yang dijilat oleh anjing adalah najis.

Di dalam masalah ini juga, para ulama’ berbeza pendapat adakah wajib membasuh sebanyak tujuh kali kepada dua pendapat:

Pertama: Wajib membasuh tujuh kali dan ini adalah pendapat di dalam mazhab Malik,  mazhab al-Syafie dan juga mazhab Ahmad. Mereka ini berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A sebagaimana yang telah kami nyatakan pada permulaan perbincangan.

Kedua: Tidak wajib membasuh sebanyak tujuh kali dan ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah. Ini kerana, mereka mengatakan bahawa air liur anjing seperti najis-najis yang lain cukup sekadar membasuhnya dengan sekali basuhan jika itu telah menghilangkan kenajisannya. Akan tetapi membasuh sebanyak tujuh kali adalah mustahab bukannya wajib. Mereka berdalilkan bahawa Abu Hurairah R.A pernah mengeluarkan fatwa bahawa cukup membasuh sebanyak tiga kali bagi kenajisan air liur anjing seperti yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Thahawi dan al-Daraquthni. Ini menunjukkan bahawa bilangan tujuh itu termansukh.

Pendapat kedua ini boleh dijawab dengan beberapa jawapan. Antaranya:

  • Fatwa Abu Hurairah ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan. Beramal dengan apa yang beliau riwayatkan daripada Nabi S.A.W adalah lebih utama berbanding daripada apa yang beliau fatwakan.
  • Abu Hurairah juga pernah berfatwa agar dibasuh sebanyak tujuh kali dan sanadnya lebih kuat.
  • Membasuh sebanyak tujuh kali itu bertepatan dengan riwayat marfu’ iaitu sampai kepada Nabi SAW.

Hukum Tatrib (Menggunakan Tanah) Pada Menyucikan Najis Anjing

Berikut kami perincikan beberapa pendapat para ulama dalam isu ini:

Pertama: Ulama’ al-Syafi’eyyah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”. 

Riwayat Muslim (279)

Kedua: Manakala mazhab Imam Ahmad menunjukkan bahawa boleh untuk menggunakan selain daripada tanah dalam proses sertu seperti menggunakan sabun dan selainnya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/74).

Ketiga: Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (114/3).

Hukum Menggunakan Sabun Bagi Menggantikan Turab (Tanah)

Dalam isu ini, bertitik tolak dari perbezaan pendapat berkenaan hukum penggunaan tanah dalam proses sertu kepada yang mewajibkan dan pendapat yang mengatakan tidak wajib, maka para ulama terbahagi kepada dua kumpulan yang kami perincikan seperti berikut:

  • Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa tidak boleh untuk menggunakan selain tanah sebagai ganti dalam proses sertu.
  • Manakala sebahagian ulama lain pula berpendapat; Sekiranya sabun itu membawa kepada sampainya maksud penggunaan tanah (untuk menyucikan) maka ianya sah.

Para ulama yang mengatakan penggunaan sabun itu tidak sah, mereka berhujah dengan beberapa noktah berikut:

  • Syarak hanya menaskan tentang turab (tanah). Maka yang wajib adalah untuk mengikut nas.
  • Bidara dan seumpamanya terdapat pada zaman Nabi S.A.W. Tetapi Nabi tidak mengisyaratkan kepadanya (untuk digunakan dalam bersuci). Sebaliknya Nabi menyebutkan tentang tanah.
  • Boleh jadi hikmah penggunaan tanah adalah kerana wujud padanya jirim yang dapat membunuh bakteria yang keluar dari jilatan anjing.
  • Tanah adalah salah satu bahan yang menyucikan selain air. Ini kerana ia mengambil tempat air dalam isu tayammum yang menggantikan wuduk apabila ketiadaan air. Manakala selain darinya seperti bidara dan sabun, tidak dianggap sebagai suatu yang menyucikan.

Fatwa-Fatwa Badan Berautoriti Berkenaan Penggunaan Sabun Untuk Taharah

Pertama: Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat.

Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

Kedua: Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah

Dar al-Ifta’ dalam menjawab soalan berkenaan hukum dan kaifiat menyucikan bekas yang dijilat anjing berkata pada penghujung jawapan: ‘’Dimustahabkan untuk menggunakan tanah pada basuhan pertama. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:

 أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: (Basuhan) pertamanya adalah dengan tanah.

Riwayat Muslim.

Dan dibolehkan untuk mengganti tanah dengan sesuatu yang boleh mengambil tempatnya pada zaman ini dengan benda-benda moden yang dapat menyucikan. Ini kerana yang dimuktamadkan adalah taharah (suci) secara mutlak. Rujuk www.dar-alifta.org.eg, fatwa no. 3799.

Ketiga: Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah

Keputusan akhir fatwa berkaitan isu ini menyebut: ‘’Dan pakaian itu apabila dicampakkan ke dalam air yang suci dan ia dibasuh sehingga hilang kesan-kesan najis darinya, maka ia mensucikan keseluruhannya daripada najis-najis anjing dan selainnya. Dengan syarat  basuhan untuk najis anjing itu berulang sebanyak tujuh kali, dan basuhan yang pertama adalah dengan tanah atau apa-apa yang menggantikan tempatnya seperti sabun dan selainnya’’. Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (4/196).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami cenderung menyatakan bahawa hukum penggunaan sabun taharah atau sabun tanah liat adalah harus. Bahkan proses sertu dan penyucian menggunakannya adalah memadai dan sah sekiranya sabun tersebut mencapai maksud yang sama dengan penggunaan tanah.

Pendapat ini dikemukakan dengan mengambil kira situasi masyarakat kebanyakan terutamanya di kawasan-kawasan bandar yang hidup dalam suasana majmuk, dan terdapat kesukaran untuk mendapatkan tanah bagi tujuan sertu. Adapun penggunaan tanah dalam proses sertu adalah lebih utama sekiranya terdapatnya ia.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

[1] Ini bermaksud, sekiranya jilatan anjing itu terkena pada selain bekas seperti baju, seluar, dan tempat-tempat lain maka hukumnya adalah suci. Ini kerana perintah syarak untuk membasuh bekas yang terkena jilatan anjing itu adalah bersifat sebagai ibadah, dan hanya dilakukan pada keadaan tersebut sahaja.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.