Selawat ni selalu diamalkan yang saya ambil secara berguru dan berijazah untuk amalan, kesannya sebagai pembukaan pintu rezeki zahir dan batin.

Selawat Tafrijiah turut dikenali dengan Selawat Nariyah, Selawat Taziah dan Selawat Qurtubiah. Kepelbagaian nama pada selawat dengan lafaz sighah yang sama ini mengisyaratkan kelebihan mengamal dan membacakan Selawat Tafrijiah.Selawat ini dinamakan sebagai Selawat Taziah, dinisbahkan kepada seorang Ahlillah yang bernama Sayyid Ibrahim al-Tazi.

Sementara nama Qurtubiyah menunjukkan bahawa seorang ulamak tafsir, Imam Abu Abdullah al-Qurtubi merupakan salah seorang yang menjadikan selawat ini sebagai amalan.Selawat ini dinamakan sebagai Selawat Tafrijiah berdasar kepada kesan daripada amalan ini yang membukakan ‘pintu keluasan’ yang besar dan bakal mengembirakan pengamal.

Selawat ini dinamakan sebagai Selawat Nariyah yang menjadi perumpamaan kepada keberkesanan dan kecepatan hasil diperoleh setelah selawat ini diamalkan.Selawat ini boleh dibacakan ketika seseorang berhajatkan sesuatu. Bilangan bacaan bergantung kepada kemampuan, kesungguhan atau hasrat pendoa.

Walaubagaimana pun, ulamak dan para masyaikh menjadikan angka 4444 sebagai bilangan bacaan selawat ini; tanpa kurang atau lebih.Jumlah 4444 kali selawat tidak semesti disempurnakan bacaan dalam suatu masa. Bacaan selawat boleh dilakukan pada bila-bila masa, lalu dihimpun melengkapi jumlah dinyatakan. Begitu juga, jumlah bacaan selawat 4444 boleh dicukupkan dengan dicampur bilangan dibaca beberapa orang; dilakukan secara berjemaah.Keberkesanan amalan lebih bergantung kepada ‘kekuatan’/fokus zikir.

Justeru, ulama` lebih menekankan kualiti bacaan berbanding terburu-buru mencapai jumlah. Sehubungan itu lah, bilangan selawat boleh sahaja dicukupkan sekaligus, atau secara berlain waktu mengikut kemampuan tawajjuh pembaca.Pengamal tidak perlu risau tentang kedudukan amalan Selawat Tafrijiah di sisi syarak. [Sungguh pun lafaz sighah selawat ini didakwa tidak warid secara jelas daripada Baginda Nabi Muhammad atau al-Quran, tetapi] banyak kitab selawat dan doa karangan ulamak merakamkan serta mencatat bahawa sighah lafaz selawat ini adalah maqbul; yakni diterima sebagai suatu amalan yang baik disisi syariat.

Dakwaan yang mengatakan Selawat Tafrijiah haram diamalkan adalah tidak berasas. Bahkan kelebihan atau fadhilat berselawat ke atas Baginda Nabi boleh berhasil secara mutlak dengan apa jua lafaz sighah pilihan.Allah berfirman

:إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Daripada ayat ini, ulamak menyatakan bahawa Allah tidak menetapkan atau mengikat ummah untuk hanya berselawat dengan sighah lafaz tertentu sahaja.Apa jua lafaz selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad adalah diharuskan dan disediakan pahala serta kelebihan.Ulamak hadis turut menyatakan bahawa sebarang zikir boleh dilakukan walau bukan dengan lafaz-lafaz yang diajarkan Baginda Rasulallah.

Hadis pujian Baginda Nabi yang antara lain dirakamkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahih beliau terhadap seorang sahabat yang ‘buat-buat pandai’ melafazkan kata “Rabbana Laka al-hamd, hamdan kasiran tayyiban mubarakan fih’ selepas bangkit daripada rukuk solat menjadi dalil keharusan.Ummah diharuskan syarak untuk berzikir dengan sebarang lafaz asalkan tidak menyalahi zikir-zikir yang disyariatkan secara ma’athur.

Oleh itu, mMajoriti ulama’ berpendapat bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu bentuk ibadat sebagaimana berzikir, tahmid dan tasbih. Hukumnya adalah wajib sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada setiap masa. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim yang bermaksud; “Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah SWT berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud; “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Menurut para ulama, Selawat Tafrijiyyah/Kamilah ini diasaskan oleh Imam Ali Zainal Abidin bin Hussein bin Ali bin Abu Talib (w.95 H).

Selawat ini adalah salah satu cara untuk memohon kepada Alah SWT melalui berkat kemuliaan Baginda, seluruh ahli keluarga dan para sahabatnya pada setiap detik, masa dan nafas bilangan setiap mahluk yang maklum bagi Allah SWT dan disimpulkan dalam enam perkara:

1. Menghuraikan segala masalah yang terikat dan tersimpul

2. Menyelesaikan segala kesukaran yang dihadapi

3. Menunaikan segala hajat yang dipohon

4. Menyampaikan segala impian dan cita-cita

5. Memohon husnul khatimah pada akhir hayat

6. Memohon rezeki yang melimpah ruah dari langit dengan turunnya hujan yang menyuburkan tanah dan tanaman.

Ibadah selawat adalah bahagian dari keindahan, kemanisan, keagungan dan kenikmatan terindah kepada umat Nabi Muhammad SAW, manakala faedahnya sangat besar kerana ia mengandungi pelbagai rahsia dan pancaran cahaya dari Allah SWT. Menurut Ustaz Ahmad Tunggal (2016), berdasarkan pengalaman para pengamal jemaahnya yang lainnya bahawa kesan amalan ini dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT sangat membantu dalam memberikan ketenangan dan ketenteraman jiwa dan perasaan. Selain itu pengamalnya akan turut merasai keberkesanan doa dan hajat terutama hajat menyembuhkan penyakit.

Rujukan : Fatwa Syeikh Ahmad Mamduh,Amin Fatwa, Darul Ifta’a Mesir.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

4 thoughts on “Rahsia Besar Selawat Tafrijiyyah”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.