Hal ini secara tidak langsungnya telah membuka ruang lingkup pemikiran dan perbincangan dalam fiqh ibadah kontemporari yang diijtihadkan oleh fuqaha` di dunia termasuklah di Malaysia. Kesinambungan daripada pandemik Covid-19, maka kami mengutarakan tentang isu keharusan solat jamak yang telah difatwakan oleh beberapa buah negeri yang berasaskan kepada kemaslahatan dan menghindari kemudaratan termasuklah dalam bab ibadah solat bagi petugas perubatan yang telah menggembleng tenaga untuk merawat pesakit Covid-19.

Di samping itu, perbincangan bagaimana kaedah fatwa tersebut dikeluarkan daripada perbincangan mufti tersebut.  

Pada asasnya, solat merupakan suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 103:

فَإِذَا قَضَيۡتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمۡۚ فَإِذَا ٱطۡمَأۡنَنتُمۡ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا١٠٣

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orangorang yang beriman.” [1]

Maka, beberapa pandangan mufti seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Perak, Mufti Pulau Pinang dan Mufti Perlis yang membincangkan mengenai hukum keharusan menjamakkan solat khusus kepada pegawai perubatan yang menjalankan tugas dalam mengawal pandemik demi kemaslahatan umum yang lebih besar dalam menjaga nyawa manusia dan kehidupan lain sekaligus memenuhi tuntutan maqasid syariah. Berikut di antara pandangan mufti yang terpilih dalam membincangkan isu ini:

1.       Mufti Wilayah Persekutuan

Menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum solat jamak khusus untuk petugas perubatan yang merawat Covid 19 secara muktamadnyaadalah harus atau dibolehkan untuk menghimpunkan solat dalam satu waktu seperti waktu asar dihimpunkan ke dalam waktu zohor atau sebaliknya, atau waktu maghrib ke dalam waktu isya` dan sebaliknya. Maka hukum keharusan solat jamak yang telah dimuktamadkan berdasarkan syarat seperti yang berikut:

. Waktu syif petugas perubatan tersebut hendaklah meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tiada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu solat tersebut. Contohnya, petugas perubatan memulakan tugas pada waktu sebelum zuhur sehingga luputnya waktu maghrib. 

  • Petugas perubatan tidak mempunyai pilihan waktu syif lain. Contohnya, waktu syif petugas perubatan diarahkan untuk bertugas tanpa mempunyai pilihan lain yang tiada dua waktu solat yang singkat.
  • Petugasan perubatan tidak dibenarkan untuk membuka pakaian Personal Protective Equipment (PPE) ketika waktu syif. Hal ini bermaksud bahawa petugas perubatan melaksanakan solat dalam keadaan berpakaian PPE.
  •  Petugas perubatan dibenarkan melakukan jamak taqdim jika waktu syif berpanjangan sehingga terkeluar kepada waktu solat kedua. Contohnya, waktu syif petugas perubatan bermula pada jam 8 pagi dan tamat pada jam 10 malam, maka petugas perubatan tersebut diharuskan untuk melakukan jamak taqdim iaitu dijamakkan asar dalam waktu zuhur.
  • Petugas perubatan dibenarkan melakukan jamak ta’khir jika waktu syif bermula sebelum waktu solat pertama dan berakhir sehingga masuk waktu solat kedua. Misalnya, waktu syif petugas perubatan bermula pada jam 6 petang sehingga luput pada waktu isyak, maka petugas perubatan tersebut diharuskan untuk melakukan jamak takhir iaitu dijamakkan maghrib ke dalam waktu isyak.
  • Petugas perubatan hanya dibenarkan melakukan jamak tamam, iaitu melakukannya secara sempurna tanpa menqasarkan solat kerana qasar (memendekkan) solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.[2]

Kesimpulannya, keharusan solat jamak ini adalah khusus kepada frontliner atau petugas perubatan sahaja, di atas kepentingan dan kemaslahatan awam untuk menangani wabak COVID-19di tempat awam seperti hospital dan lain-lain. Hal ini kerana mengambil kira pandangan sebahagian fuqaha dalam mazhab Al-Syafi’i dan juga pandangan fuqaha dalam mazhab Hanbali yang berpandangan keharusan solat jamak disebabkan keuzuran atau tugas yang penting yang menjadikan salah satu asas ijtihad dalam pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

2.       Mufti Perlis

Menurut pandangan Mufti Perlis keharusan untuk solat jamak atas sebab keperluan mendesak seperti mengawal pandemik Covid-19 menjadi asas dalam perbincangan ini. Pada asalnya, hukum solat fardhu adalah wajib ditunaikan pada waktunya selagi mampu dan haram menjamakkan jika tiada keperluan. Sekiranya keadaan petugas perubatan itu terdesak dan mampu untuk melewatkan Zohor atau Maghrib sehingga ke penghujung waktu dan solat Asar atau Isyak ditunaikan pada awal waktu, maka itu lebih utama berdasarkan pandangan Mazhab Syafie yang dikenali sebagai jamak suri (jamak pada gambaran sahaja). Solat jamak suri bermaksud melewatkan solat pertama ke akhir waktu dan menyegerakan solat yang kedua pada awal waktu. Inilah yang menggambarkan seperti jamak dalam satu waktu tetapi waktu tersebut adalah waktu yang berbeza.  

Seandainya, petugas perubatan tersebut tidak mampu untuk melakukan jamak suri terlebih dahulu, maka barulah solat jamak tanpa qasar diberi keharusan untuk melakukankannya sama ada jamak taqdim atau ta’khir bergantung kepada kesesuaian kakitangan yang bertugas dengan syarat keadaan petugas perubatan terbukti terdesak dan mengalami kesukaran serta mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap jangkitan pandemik covid-19 yang sukar dikawal.[3] Ini berdasarkan kepada hadis yang riwayat oleh Ibn Abbas yang berkata:

 صَلَّى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بالمَدِينَةِ، في غيرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ

Terjemahannya: Nabi ﷺ pernah solat Zohor dan Asar kesemuanya di Madinah tanpa ada rasa takut dan musafir. Bila ditanya kenapa baginda melakukan sedemikian, maka Ibn Abbas RA menjawab:

أَرَادَ ألَّا يُحرِجَ أُمَّتَه

Maksudnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” [4]

Kesimpulannya, pandangan mufti Perlis mengutamakan solat jamak secara suri (gambaran) terlebih dahulu yakni melewatkan waktu solat di akhir waktu pada solat yang pertama dan mengawalkan waktu solat pada solat yang kedua, sekiranya tidak mampu untuk menunaikan solat pada waktu yang telah ditetapkan. Seterusnya, mufti Perlis juga mengharuskan untuk menghimpunkan solat (tanpa qasar) sama ada menghimpunkan solat dengan melakukan jamak taqdim ataupun jamak takhir bagi petugas perubatan yang tiada kesempatan untuk melaksanakan solat jamak secara suri.

3.       Mufti Perak

Mufti Perak berpandangan bahawa wajib mendahulukan perlaksanaan solat dengan sempurna (tamam) dan haram serta berdosa besar meninggalkan dan menjamakkannya tanpa sebab yang diharuskan syarak. Sekiranya petugas perubatan Covid-19 dibebani dengan kekangan waktu dan hanya berkemampuan melaksanakan solat pada pengakhiran waktu maka, haruslah dilaksanakan solat dengan cara melewatkan perlaksanaan solat Zohor atau Maghrib sehingga ke akhir waktu serta solat Asar dan Isyak di awal waktu.

Oleh yang demikian, jika petugas perubatan Covid-19 berada dalam keadaan yang terdesak, kesulitan atau kesukaran (masyaqqah) untuk melaksanakan solat secara sempurna (tamam) atau di akhir waktu atas sebab mengawal penularan Covid-19 yang memudaratkan kesihatan khalayak umum. Maka, keringanan diberikan khusus kepada petugas perubatan dengan syarat seperti berikut:

. Melaksanakan solat jamak tanpa qasar sama ada jamak taqdim sekiranya dijangka kesukarannya akan menghalangnya atau menyukarkannya pada waktu asar. Contohnya, jika petugas perubatan Covid-19 menghadapi kesukaran untuk melaksanakan solat asar secara tamam, maka diharuskannya untuk menjamakkan solat asar tersebut ke dalam waktu zuhur.

  • Melaksanakan jamak ta’khir sekiranya dijangka kesukarannya akan menghalangnya atau menyukarkannya pada waktu zohor. Contohnya, petugas perubatan Covid-19 meyakini kesukarannya akan menghalangnya untuk menunaikan solat zuhur secara tamam, maka diharuskan menjamakkan ke dalam waktu asar.
  • Seandainya tidak berkemampuan melaksanakan solat secara tamam atau jamak dengan sebab darurat (terpaksa) menyelamatkan nyawa pesakit sehingga luput waktu solat atau kesukaran menanggalkan pakaian khas (PPE) untuk berwuduk atau bertayammum, maka hendaklah melaksanakan solat hormat waktu secara jamak ta’khir dan hendaklah diulang secara sempurna pada waktu yang lain.[5]

Kesimpulannya, pandangan mufti Perak mewajibkan petugas perubatan Covid-19 mendahulukan solat secara tamam walaupun dengan kaedah melewatkan solat pertama pada akhir waktu dan mengawalkan solat kedua pada awal waktu. Seterusnya, keharusan untuk melakukan solat jamak taqdim atau takhir ke atas petugas perubatan Covid-19 sekiranya berlaku kemudharatan ke atas petugas perubatan Covid-19 disebabkan bebanan tugas dan kekangan waktu dalam mengawal dan merawat pesakit Covid-19. Manakala, jika tiada kemampuan untuk melaksanakan solat secara tamam dan jamak atas sebab (keterpaksaan) demi menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 dan kesukaran menanggalkan pakaian PPE untuk berwudhuk, maka hendaklah solat hormat waktu secara jamak takhir dan kemudian diulang secara sempurna pada waktu lain.

4.       Pandangan Mufti Pulau Pinang

Berdasarkan pandangan Mufti Pulau Pinang mengikut keputusan Irsyadul hukmi yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 24 Mac 2020 mengenai hukum menjamakkan solat khusus kepada Petugas Perubatan Covid-19 dalam mengawal penularan Koronavirus di Malaysia. Maka, mesyuarat tersebut telah memutuskan bahawa hukum menjamakkan solat untuk mereka yang terlibat sebagai frontliner atau petugas bagi menangani wabak Covid-19 khususnya di tempat awam seperti di hospital dan lain-lain adalah harus.

Oleh yang demikian, keharusan tersebut merujuk kepada pandangan sebahagian fuqaha mazhab al-Syafi’i dan pandangan fuqaha mazhab Hanbali yang menyatakan keharusan menjamakkan solat disebabkan terdapat keuzuran atau kepentingan tugasan. Namun begitu, terdapat beberapa garis panduan berkaitan solat jamak yang perlu diikuti oleh para petugas Covid-19 seperti yang berikut:

.Solat hendaklah dilaksanakan secara sempurna di dalam waktunya jika tiada halangan syari’e ataupun dharurat.

  • Jika petugas perubatan Covid-19 terdesak dan mampu melaksanakan solat secara Jamak Suri (صورى), iaitu seseorang itu mampu melewatkan solat Zuhur atau Maghrib sehingga ke akhir waktu solat serta solat Asar dan Isyak di awal waktu, maka itu adalah lebih utama.
  • Jika petugas perubatan Covid-19 itu tidak mampu melaksanakan Jamak Suri, maka diharuskan untuk melaksanakan solat jamak tanpa qasar, sama ada secara takdim atau ta’khir bergantung kepada kesesuaian waktu bertugas.
  • Jika keadaan dharurat sehingga tidak memungkinkan petugas perubatan Covid-19 mengambil wuduk atau bertayammun, maka hendaklah dia melaksanakan solat tanpa kedua-duanya (wuduk atau tayammum) sebagai solat hormat waktu. Ia hendaklah dilaksanakan pada waktu tamat bertugas atau waktu rehat sebelum kembali bertugas. Namun, solat dalam keadaan tersebut hendaklah diqada’ semula.[6]

Kesimpulannya, pandangan Mufti Pulau Pinang, Mufti Perak dan Mufti Perlis membincangkan tentang keharusan solat jamak suri terlebih dahulu yang mana solat suri tersebut menggambarkan solat itu masih lagi diwajibkan walaupun melakukan pada waktu yang hampir luput pada waktu solat yang pertama dan menyegerakan waktu solat yang kedua. Perbezaan yang jelas bahawa Mufti Perlis dan Mufti Wilayah Persekutuan tidak membincangkan solat hormat waktu secara jamak ta’khir.

Berdasarkan perbincangan daripada mufti wilayah persekutuan, mufti perlis dan mufti perak yang telah dikemukakan, maka pokok perbincangan mereka adalah berkenaan isu kelonggaran (rukhsah)khususkepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengawal pandemik covid-19 sahaja yang menjadi sebab untuk mengharuskan solat jamak tanpa qasar dilakukan dalam satu waktu yang bukan musafir, hujan atau ketika berada di Arafah.

KESIMPULAN

Setelah melihat daripada beberapa perbahasan yang timbul berkaitan dengan hukum solat jamak yang secara umunya menyentuh keadaan darurat berdasarkan pandangan sebahagian ulama mazhab Al-Syafi’I dan mazhab Hanbali, begitu juga dengan kaedah fiqh serta beberapa maqasid syariah bagi pegawai perubatan yang merawat pesakit COVID-19 di mana mereka menggunakan pakaian PPE (Alat Pelindung Diri) dalam waktu yang lama sehingga dia sukar hendak melaksanakan solat. Maka dapat kami rumuskan bahawa adanya akan keharusan untuk melakukan solat jamak disebabkan ada keuzuran atau tugas yang penting bagi mereka yang terlibat sebagai pegawai perubatan bagi menangani wabak COVID-19 khususnya di tempat awam seperti hospital dan lain-lain. Jika kita memahami Islam dengan pemahaman yang mendalam maka ia amat mementingkan kehidupan manusia kepada keselamatan, keharmonian dan ketenteraman dengan menolak segala kesukaran dan membendungp erkara-perkara yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain sekaligus memenuhi tuntutan Maqasid Syariah.

Hasil daripada perbincangan Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Perlis, Mufti Perak dan Mufti Pulau Pinang menjelaskan keharusan menjamakkan solat demi kemudahan petugas kesihatan masa kini dalam mengawal Covid-19. Justeru, ini menjelaskan bahawa Islam menjamin kesejahteraan umat dengan menutup segala unsur-unsur yang boleh memberi kemudharatan kepada agama dan mengancam nyawa umat Islam itu sendiri. Maka, kelonggaran diberikan agar petugas perubatan Covid-19 dapat menjalankan tugas dengan jayanya dan dapat menunaikan kewajipan solat dengan tenang walaupun dalam keadaan ketakutan dan getir menghadapi kesukaran menangani penularan Covid-19.

RUJUKAN

Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali. (2010). Usul Fiqh Dan Kaedah Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abd. Rasyid Hj. Ahmad (1995). Aspek-aspek Pendidikan Dalam Solat. Jurnal Usuluddin, Bil.2.

Abdul Aziz bin Abdurrahman Bin Ali Rabi’ah. (2010). ‘Ilmu Maqasid al-Syari’. Riyad, Maktabah al-Abikan.

Abdul Majid Bin Omar (2016). Kitab Solat Panduan Komprehensif Mengikut Mazhab Shafie, Darul Fikir, Kuala Lumpur.

Abdul Qadir ar-Rahbawi. (2009). Fiqh Solat Empat Mazhab. Terj: Nabilah Abd. Jalil. Selangor: Al-Hidayah Publication.

Dr. Holilur Rohman, Vina Azizatur Rachmaniyah Agil Burhan Satia Dewanti Fitriani Putri Lukman Hakim. (2020). Praktek Ibadah Pada Masa Pandemi Virus Covid-19. Jawa Timur: Duta Media

Dr. Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha & Ali Asy-Syarbaji. (2011). Fiqh Manhaji: Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 1. Terj: Ridzuan Bin Hashim, Juanda Bin Jaya, Azizi Bin Ismail, Mohd Asri Hashim, Salehan Bin Ayub.  Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

Eikhwan Ali & Mahirah Rashid. (2020). Pendemik COVID 19: Mendepani Impak Sosial. Terengganu Strategic & Integrity Institut TSIS.5 April 2020.

  Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Ta’Lil Jamak Solat Mengikut Pandangan Empat Mazhab. Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies. Vol. 17. No. 1. January Issue.

Ibn al-Madani (2011) Pedoman Musafir Panduan Dalam Perjalanan, Pustaka al-Ehsan. Batu Caves, Selangor

Johari Yaman (2012), Bimbingan Penghayatan Kesempurnaan Solat, Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor.

  Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). My Health for Life. Putrajaya: Cawangan Media Kesihatan Bahagian Pendidikan Kesihatan.

Laman Sesawang Jabatan Mufti Negeri Perak. (2020). Kenyataan Rasmi Bil. 4/2020: Perlaksanaan Ibadah Ketika Melaksanakan Tugasan Bagi Kes-Kes Yang Kritikal (COVID-19) Bagi Petugas Perubatan. Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak, didapati pada 21 Januari 2020, di http://mufti.perak.gov.my/images/minda_mufti/2020/kenyataan/kr4.pdf

Laman Sesawang Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. (2020). Hukum Solat Bagi Petugas KKK Yang Terlibat Dengan Covid-19. Didapati pada 21 Januari 2020, di https://www.facebook.com/muftipulaupinang/posts/hukum-solat-bagi-petugas-kementerian-kesihatan-malaysia-kkm-yang-terlibat-dalam-/3639038332804078/

Laman Sesawang Muhammad Shahrulnizam Muhadi. (2020). Al-Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, didapati pada 21 Januari 2021, di https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4325-irsyad-al-fatwa-siri-ke-455-hukum-solat-jamak-bagi-petugas-covid-19.

Laman Sesawang: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19

Mohammad Isyraf Ishak & Basri Ibrahim. (2020). Form of Rukhsah for Prayer in Critical Situation. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 10(4).

Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili. (2010.) Fiqh Islam Wa Adillatuhu. Jilid 2. Jakarta: Gema Insani.


[1] Surah An-Nisa’ ayat 103

[2] Muhammad Shahrulnizam Muhadi. (2020). Al-Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, didapati pada 21 Januari 2021, di https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4325-irsyad-al-fatwa-siri-ke-455-hukum-solat-jamak-bagi-petugas-covid-19.

[3] Editor Maktabah. (2020). Al-Irsyad Hukum Jawatankuasa  Fatwa Negeri Perlis, Hukum Jamak Solat Bagi Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia Yang Terlibat Dalam Merawat Peskit Covid-19. Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, didapati pada 21 Januari 2020, di https://mufti.perlis.gov.my/index.php/berita-terkini/273-hukum-jamak-solat-bagi-petugas-kementerian-kesihatan-malaysia-yang-terlibat-dalam-merawat-pesakit-covid-19

[4] Hadis Riwayat Muslim

[5] Jabatan Mufti Negeri Perak. (2020). Kenyataan Rasmi Bil. 4/2020: Perlaksanaan Ibadah Ketika Melaksanakan Tugasan Bagi Kes-Kes Yang Kritikal (COVID 19) Bagi Petugas Perubatan. Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak, didapati pada 21 Januari 2020, di http://mufti.perak.gov.my/images/minda_mufti/2020/kenyataan/kr4.pdf

[6] Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. (2020). Hukum Solat Bagi Petugas Kkm Yang Terlibat Dengan Covid-19. Didapati pada 21 Januari 2020, di https://www.facebook.com/muftipulaupinang/posts/hukum-solat-bagi-petugas-kementerian-kesihatan-malaysia-kkm-yang-terlibat-dalam-/3639038332804078/

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.