Sebelum ini, saya ada catatkan untuk perbanyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW, perlukah kita berselawat di pautan ini http://zeckry.net/2021/01/25/perlukah-kita-berselawat/

Kemudian saya ada juga mencoret di http://zeckry.net/2021/02/02/lalaikah-kita-dengan-selawat/

Teringat saya satu kisah, di bandar Tanta, Mesir ada seorang pensyarah Universiti Al-Azhar bernama Dr. Abdul Fattah Al-Dukhmisi. Beliau ialah seorang pakar dalam Usul Fiqh dan banyak menulis kitab berkaitan Usul Fiqh.

Semasa hari Jumaat, biasanya beliau akan menjadi khatib di Masjid Al-Dakwah, berhampiran dengan sebuah pasar. Beliau menyampaikan Khutbah Jumaat tanpa teks sebagaimana budaya di Mesir.

Selepas Solat Jumaat, beliau akan duduk di tangga mimbar khutbah dan menjawab persoalan hukum yang ditanya oleh jemaah. Soalan diberikan dalam bentuk bertulis atas kertas kecil atau secara lisan.

Ketika sesi soal jawab hukum itu, kadang-kadang beliau berhenti berkata dan memandang jemaah dengan wajah tersenyum sambil menyebut:

“Sollu ‘alal Habib”

Iaitu selawatlah kamu ke atas Kekasih (Al-Habib) iaitu Rasulullah SAW.

Kemudian jemaah yang hadir akan menyebut ungkapan selawat “Allahumma solli wa sallim ‘ala sayyidina Muhammad”, “Sollahu wa sallam ‘alaih” atau lafaz selawat yang lain.

Beliau akan sentiasa mengulang-ulang menyebut “Sollu ‘Alal Habib” semasa sesi soal jawab hukum itu. Kemudian jemaah akan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Semasa soal jawab hukum juga kedengaran banyak kali nama Rasulullah SAW disebut. Maka ketika itu, beliau dan jemaah akan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Jadi semasa sesi soal jawab hukum itu, lafaz selawat kepada Rasulullah SAW disebut banyak kali.

Begitulah kisah seorang pensyarah Al-Azhar yang mengasihi Rasulullah SAW dan mengajak orang lain turut sama mengasihi Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Seseorang yang mengasihi kekasih akan sentiasa ingat kekasihnya di dalam hati, memikir tentang dirinya dan menyebut namanya. Rasulullah SAW adalah insan yang lebih daripada itu dan umat Islam perlu mengasihi Rasulullah SAW.

Tanda kasih kepada Rasulullah SAW ialah sentiasa berselawat kepadanya agar namanya sentiasa mekar dalam hati. Selawat menyebabkan kita sentiasa mengingati sirah hidupnya, perjalanan dakwahnya, pengorbanannya dan kasihnya kepada umatnya.

Sollu ‘alal Habib.

Allahumma solli wa sallim ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala aali sayyidina Muhammad. 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.