Ada akal tapi bodoh menjadi tanda tanya bagi segelintir masyarakat Melayu. Bayangkan kalau Genetik Melayu ni dah berusia 60 ribu tahun. Sedangkan Ijtihad yang dipelopori oleh ulama terdahulu pun masih tidak dibincangkan di zaman sekarang. Lalu terus menghukum sesuatu itu tiada dalam nas. Maka isu khurafat atau bidaah semakin bermaharajalela dalam kalangan masyarakat dengan sebab penyampai yang tidak menyampaikan dengan betul dan terperincil. Hatta al-Quran pun masih ada tafsir bir-ra`yu.

Isu Baba Ismail Sepanjang yang merenjis kereta baru masih hangat diperkatakan oleh ramai masyarakat yang tidak faham konsep ijtihad walaupun bersandarkan dalil atau nas Rasulullah SAW. Akhir diputar belit dengan menghina ulama sehingga mengelirukan ramai orang. Masyarakat sekarang tidak mahu berfikir termasuk ‘tukang sampai’ itu sendiri sebab kepentingan pengaruh dan kepentingan sendiri. Kali ini saya berkongsi mengenai akal supaya bagi jernih [fahamkan apa disebalik akal]. Catatan sebelum ni “Bila Akal Mula Berfikir ? Kali ini saya tertarik dengan tulisan lama sewaktu berada di timur tengah untuk dikongsikan dengan pembaca semua yang ditulis oleh Mohd Zahari Sulaiman (2001).

Kuasa Akal Manusia

Akal manusia merupakan pintu yang boleh digunakan oleh manusia untuk terus wujud. Dengan akal manusia boleh menterjemahkan semua perkara sehingga ia boleh difahami oleh pancaindera mereka seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan dan bauan kepada beberapa pendapat dan pengertian.

Setelah itu berlaku proses penyusunan yang menjadi tugas utama akal manusia untuk menganalisis apa yang boleh diterima oleh akal atau apa yang boleh dipegang oleh diri mereka sendiri.Sebaik-baik pegangan yang boleh digunakan oleh manusia hasil dari pemikiran ini ialah berfikir tentang perkara yang berkaitan dengan alam yang luas di sekeliling mereka seperti penciptaan makhluk , keadaan, permulaaan dan kesudahanya. Perkara ini merupakan perkara yang terhad untuk dihayati oleh pancaindera materialisme manusia yang terbatas jika ia tidak dihayati.

Tanpa Setitik Cahaya Kita Tidak Tahu Apapun

Kita tidak dapat melihat sesuatu benda atau sesuatu yang berjisim kecuali apabila keluar cahaya darinya yang berlegar sepanjang di antara 4 hingga 7 gelombang (iaitu dari 7 hingga 10 meter) dan kita juga tidak boleh mendengar sesuatu bunyi atau suara secara jelas melainkan apabila keluar darinya kadar getaran di antara 2500 hingga 4000 getaran sedetik.

Sekiranya lebih dari kadar itu samada suara atau sesuatu benda, kita tidak mampu untuk melihat dan mendengarnya walaupun ia berada di jarak yang boleh dilihat dan di dengar serta hidup dan bergerak di sekitar kita.

Seandainya kita meninjau ke ruang angkasa yang jauh dari penglihatan kita atau kita menggunakan alat pembantu penglihatan (seperti teleskop) atau menggunakan alat pendengar ( seperti telefon yang menggunakan gelombang), mata dan pendengaran kita terlalu terhad pada masa kecepatan cahaya atau gelombang yang terbatas bahkan cahaya dan gelombang ini memerlukan kepada masa yang begitu lama malah apabila kita melihat ke angkasa kita dapati ianya semakin jauh dan bertambah jauh.

Tetapi cahaya matahari yang merupakan bintang yang paling hampir dengan planet bumi mengambil masa hanya lapan minit untuk cahayanya sampai ke bumi sedangkan untuk sampai kepada bintang-bintang yang lain cahayanya memakan masa selama bertahun-tahun lamanya.

Begitulah juga dengan cakerawala-cakerawala lain yang jaraknya dari bumi sejauh beribu-ribu, berjuta-juta malah berbilion-bilion tahun perjalanan cahaya.

Pancaindera sebagai alat

Dari sini jelaslah bahawa pencaindera kita serta peralatan yang lain walaupun secanggih mana sekalipun tidak akan mampu untuk mengetahui apa yang ada dan berlaku di alam buana ini.

Kemungkinan pernah berlaku sesuatu perkara atau peristiwa di angkasa atau di sekeliling kita, tetapi kita tidak dapat melihatnya sehinggalah kesannya terserlah kepada kita dalam jangka masa yang singkat ataupun dalam jangka masa yang lama.

Itulah realiti keadaan manusia, betapa lemahnya manusia berhadapan dengan kekuasaan Allah yang Maha Esa, kekal mutlak sifat, masa, tepat dan kejadiaNya tidak akan berakhir.

Allah Wujud Sejak Azali

Allah tidak memiliki zaman Dia berakhir. kerana Dialah yang pertama semenjak azali lagi dan Dialah juga yang terakhir akan kekal abadi malah perkara ini boleh di terima oleh akal yang sempurna bahawa alam buana ini ada penciptaNya. Dia juga tidak berakhir pada tempat yang boleh kita lihat hari ini melalui sedikit ilmu yang ada pada kita dan membuktikan keluasannya yang dirasakan seolah-olah tiada kesudahan, seumpama penghujung yang tidak diketahui.Begitulah keadaan kita, sekalipun penglihatan kita dapat melihat ke angkasa luar, ke planet-planet yang lain dalam jarak cahaya beribu-ribu atau berjuta-juta tahun dengan bumi, ini bermakna kita melihat benda itu selepas beribu-ribu dan berjuta-juta tahun ia berada di sana.

Oleh yang demikian walaupun kita diberi kelebihan dan kecanggihan, secara saintifiknya kita tidak akan mampu untuk mengetahui apa yang terkandung di angkasaraya sekarang ini. Selama keadaan ini ada pada kita, selagi itulah akal kita tidak akan mampu untuk mendapat gambaran sebenarna mengenai alam ini (penciptaan, keluasan, kejadian, dan masa depannya).

Akal semata-mata terlalu lemah untuk mengetahui hakikat agama. Oleh sebab itulah Allah menurunkan rahmatNya kepada manusia yang telah dianugerahkan sebelum dari itu, akal dan pancaindera sebagai pemandu awal bagi manusia ke arah mengenal agama yang benar melalui Nabi-nabi dan para RasulNya.

Bukti untuk kebenaran

Bahkan untuk membuktikan lagi kebenaran mereka ini supaya dapat di terima oleh akal manusia, dianugerahkan pula beberapa mukjizat yang boleh dilihat malah difahami oleh pancaindera manusia bahawa ia tidak akan berlaku dan terjadi kecuali dengan kekuasaan Pencipta Yang Maha Agung. Sehinggalah pemikiran dan pengetahuan manusia meningkat ke tahap yang menjadikan manusia itu mampu untuk menerimma dan bersedia untuk difahamkan dengan hujah, samada akal mahupun nas-nas pemikiran. Setelah itu barulah Allah menurunkan kitab-kitabnya. Bermula dengan Taurat, Zabur, Injil kemudian Al-Quran sebagai penutup dan sebagai dalil akal sehinggalah ke hari kiamat.

Apa beza risalah-risalah terdahulu

Sebenarnya tiada perbezaan di antara risalah yang diturunkan, kesemuanya mempunyai matlamat yang satu walaupun caranya berlainan dan berbeza. Iaitu memahamkan sistem dan cara kehidupan yang dikehendaki oleh Allah supaya boleh diterimapakai oleh manusia. Sasaran utama kajian ini ialah membetulkan akal pemikiran manusia dan membebaskan diri mereka dari belenggu kejahilan dan penyelewengan hawa nafsu. Perkara ini dilakukan dengan berdebat secara baik dan berhikmah sebagai cara dakwah dan seterusnya membebaskan diri mereka dari berpegang dengan fahaman sesama manusia (bangsa, kabilah, nenek moyang dan orang-orang tua mereka) yang digunakan tanpa berfikir dan mengkaji terlebih dahulu.

Kecetekan akal

Oleh kerana kecetekan akal, manusia mudah dipengaruhi dan terpedaya terhadap sesuatu yang boleh disentuh dan dilihat sahaja sehingga mereka mengingkari perkara ghaib yang wajib dipercayai walaupun tidak dapat dilihat oleh mata. Sebab itulah, mereka terus menggantung nasib mereka kepada berhala yang berupa patung dan gambar manusia yang disembah dan disucikan atau dijadikan perantaraan di antaranya dengan Allah atau tuhan-tuhan yang lain..Tiada sesuatu pun yang boleh mengeluarkan mereka ini dari kesempitan kejahilan yang mereka alami ke puncak hakikat yang luas kecuali petunjuk dan hidayah daripada Allah yang telah mengutuskan para Rasul bagi setiap umat dengan membawa dalil-dalil akal yang bersesuaian dengan akal pemikiran manusia.

Pada permulaan dakwah, dalil dan mukjizat yang berbentuk kebendaan atau sesuatu yang luar biasa ini telah memberi kesan positif kepada umat Nabi dan Rasul tersebut sehinggalah apabila berlalu masa yang lama, kesan tersebut terus hilang dan kaumna kembali semula kepada penggunaan hawa nafsu mereka yang asal, kemudian tibalah masana bagi akal manusia untuk sampai ke arah kematangan dan menjadikan dirinya layak untuk menerima dalil-dalil yang berterusan selagi adanya kehidupan, malah setiap kali ilmu dan makrifatnya maju ke hadapan setiap kali itulah menambahkan keyakinan dirinya.

Di mana perkara yang demikian itu merupakan petanda berakhirnya zaman kenabian dan telah sempurna petunjuk dan hidayah Allah terhadap makhlukNya di muka bumi ini. Risalah Allah pada hakikatnya adalah satu walaupun berbeza pada masa dan tempat serta apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w adalah penyambung kepada risalah yang telah dibawa oleh Nabi-nabi sebelum baginda dan memperbahui mengikut kesesuaian zaman dia berada, sehinggalah risalahnya itu (Al-Quran) menjadi risalah yang terakhir sebagai penutup dan penyempurna kepada risalah-risalah sebelumnya, nasnya diperlihara dan dijamin oleh Allah seperti ia diturunkan dan juga seperti yang ada ditangan kita sekarang ini sehinggalah ke hari kiamat.

Al-Quran diturunkan berperingkat

Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun. Pada peringkat awal ia dijaga secara hafalan oleh Nabi SAW serta para sahabat. Kemudian tidak memadai dengan hanya menghafal dan menyampaikan ayat-ayatnya, malah Nabi memerintahkan agar ia ditulis pada kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar setiap kali ia diturunkan mengikut susunan ayat satu-persatu kemudian susunan ayat satu-persatu kemudian susunan surah-surah Al-Quran.

Kesemuanya itu diajar oleh Nabi Muhammad SAW sebelum baginda wafat. Kemudian pada zaman pemerintahan Khufak Ar-Rasyidin Saidina Abu Bakar AS telah mengeluarkan arahan kepada Zaid bin Thabit dan beberapa orang para sahabat supaya menghimpunkan kesemua nas-nas Al-Quran yang tertulis di kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar termasuklah apa yang dihafal. Begitulah juga pada zaman pemerintahan Saidina Uthman Bin Affan (Khalifah ke-3) di mana beliau sekali lagi bangkit menyusun dan mencetak kembali sebanyak tujuk naskhah dan diedarkan ke setiap tempat. Sehingga kini, masih kekal satu naskhah asal berasa di Tashkent dan darinya pula dicetak beberapa naskhah untuk digunakan oleh umat Islam di setiap zaman dan tempat.

Taurat dan Injil

Perkara ini terlalu jauh perbezaannya dengan nas-nas Kitab Taurat dan Injil yang sampai kepada kita. Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS tidak pernah ditulis walaupun satu nas darinya kecuali selepas tiga kurun kebangkitan Nabi Musa (lebih kurang 1300 Sebelum Hijrah). Malah penulisan dan perubahannya terus berlaku hampir seribu tahun nas Kitab Taurat yang ada sekarang adalah nas yang terdapat pada kurun yang ke-5 Masihi iaitu Taurat Al-Qadis Ibrunimas yang dikenali sekarang dengan nama cetakan VULGATE dan dipercayai bahawa ia diambil dari nas yang hilang semenjak kurun yang ke-3 Masihi iaitu nas ang dinamakan dengan Al Masuri, Al`Ibri dan As Samiri. Di dalam kitab ini pengajaran Allah dicampurkan dengan warisan kanun, politik, adab sejarah dan bangsa untuk Bani Israel ke dalam kata-kata Nabi Musa.

Kitab Taurat yang akan kita jadikan bahan kajian dalam perbincangan ini ialah apa yang terkandung di dalam kitab Al-Muqaddas yang dimiliki oeh orang-orang Kristian ang diberi nama Perjanjian Lama yang turut memuatkan 5 Sahifah Nabi Musa AS seperti : Sahifah Kejadian, Keluaran, Immamah, Bilangan Pulangan di samping Kitab Sejarah, Kitab Syair, Kitab Hikmah dan Kitab Nabi-nabi Bani Israel.

Kedudukannya sama dengan kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS di dalam bahasa Al-Aramiyah dan ia juga tidak pernah ditulis malah tiada satupun dari nas-nas kitab tersebut dibukukan. Sehinggalah pada kahir kurun pertama da npada kurun yang ke 2 barulah bermula penulisan Injil-Injil atau apa yang dinamakan dengan Kitab Injil iaiitu Kebenaran yang mutlak (Gospels). Ia merupakan satu himpunan perjalanan Nabi Isa AS serta pengajaran-pengajarannya yang diriwayatkan oleh para sahabat beliau. Perkara sedemikian sama kedudukannya mengikut pandangan Ilmu Islam iaitu himpunan sirah-sirah dan hadis-hadis Nabi.

Berpuluhan jenis Injil

Berdasarkan fakta sejarah terdapat berpuluh-puluh Injil dari jenis ini atau (Gosples) sehinggalah berlaku perhimpunan Naikiyah pada tahun 325 Masihi iaitu pada ke 4. Perhimpunan ini dianjurkan oleh Maharaja Konstantinople untuk meleraikan pertelingkahan yang berlaku di antara orang yang menyeru ke arah tauhid yang berpendapat bahawa Nabi Isa AS adalah manusia luar biasa dan mereka ini kebanyakannya terdiri daripada pengikut-pengikut Arius dengan satu golongan lain yang berjumlah lebih sedikit. Mereka mengatakn bahawa Nabi Isa sebagai Tuhan. Akhirnya mereka berjaya menewaskan pengikut-pengikut Arius. Selepas kemenangan tersebut mereka menetapkan hanya empat Injil sahaja yang boleh diterima pakai iaitu : Mata, Markus, Luka dan Yuhana, manakala kitab Injil selain daripada itu semuanya ditolak.

Kajian sejarah penulisan kitab Injil

Ulama` Kristian dan pengkaji-pengkaji sejarah telah membuat kajian mengenai sejarah penulisan Injil-injil ini dan mengenal pasti sumber asalnya secara membuat perbandingan ibarat dan gaya bahasa yang terdapat di dalam empat buah kita injil dan kitab Injil yang lain dengan bantuan nas-nas agama dan sejarah yang lain. Mereka berpendapat bahawa kandungan keempat-empat Injil ini diambil dengan berbagai cara dari beberapa catatan2 lain ang juga telah hilang sebagaimana yang dinyatakan oleh Muris Bukai di dalam kajiannya.

Kesimpulannya

Akal adalah satu aradh/ sifat yang dikaitkan dengan otak (jirim), seumpama satu ujud, berupa daya kepintaran/ kecerdasan berfikir. Tidaklah wajar dikatakan jirim (otak: cecair/urat / darah/ daging iaitu rumusan biologi) ini berfikir dengan hal yang demikian, tanpa satu kuasa Yang Maha Sempurna, yang menyusun kepintaran fikir ini. Adapun Al’Aqliyah/ akal/ fikir itu bermaksud dikehendaki instink/ fitrah/ tabiat/ gharizah yang azaliyat, tanpa mendengar dan belajar.

Rujukan:

Mohd Zahari Sulaiman. (2001). Konsep Syahadah di dalam Kitab-Kitab Samawiyah. Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Februaru/Mac, 51.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan Sains Sosial [Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah] di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial dan Perujuk Amanah Raya Berhad (ARB). PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.